Carian
Atas Permintaan Tinggi, Pelanggan Akan Menerima Pixel 6 Pro Selewat Januari 2022
October 26, 2021 Fahim Zahar

Selepas sekian lama menanti, Google akhirnya melancarkan peranti mercu sebenar mereka – Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Buat pertama kalinya juga Google menggunakan cip pemprosesan tersendiri Google Tensor, hadir dengan sensor kamera sehingga 50MP, memori mencapai 12GB RAM, dan menawarkan banyak ciri dan fungsi berasaskan kecerdasan buatan.

Promosi yang Google lakukan kali ini adalah begitu unik dan hebat, sehinggakan ada penawaran pelan langganan, menyokong pengecasan nirwayar pantas, kemaskini sekuriti lima tahun, fungsi Call Screen yang diperkembangkan, dan banyak lagi.

Walaupun peranti ini tidak mempunyai cip pemprosesan yang berkuasa menandingi Apple A15 Bionic, ia masih menjadi permintaan ramai. Google pun hanya bandingkan dengan Pixel 5 sahaja untuk perbandingan prestasi. Pra-tempahan bagi Google 6 Pro dilihat mempunyai minat yang paling tinggi sehinggakan pelanggan yang menempahnya akan menerima tempahan mereka pada sekitar Januari 2022.

Pixel 6 yang biasa dilihat tidak begitu menarik perhatian ramai, kerana sehingga hari ini jika melakukan tempahan pelanggan masih boleh terima pada sekitar November. Malah pelanggan yang bertuah sudah menerima Pixel 6 dan Pixel 6 Pro pada minggu ini.

Di Malaysia, walaupun Google tidak menjual kedua-dua peranti ini secara rasmi – pemantauan yang kami lakukan melihat ia turut menerima permintaan ramai. Harga jualan di Malaysia untuk set import dilihat bermula sekitar RM2900 untuk Pixel 6 dan sehingga RM5000 untuk Pixel 6 Pro 512GB. Dengan beberapa fungsi menarik yang tidak boleh digunakan di Malaysia, ada atau tidak di kalangan pembaca Amanz sanggup mengeluarkan duit untuk membelinya?

Komen