Carian
Peranti Terbaik Amanz 2023 – Telefon Skrin Lipat Terbaik
December 30, 2023 Effi Saharudin

Kategori terakhir dalam senarai peranti terbaik Amanz 2023 ialah telefon skrin lipat terbaik. Ia menggantikan kategori peranti flex terbaik kerana pada tahun ini telefon skrin mula dipasarkan dalam jumlah yang besar. Kecil, besar, mahal dan murah semuanya ada dalam kategori ini. Malahan ada yang harganya lebih murah berbanding peranti candybar kelas mercu. Maka yang manakah yang terbaik tahun ini?


Kriteria Pemilihan

  • Perlu mempunyai skrin boleh-lipat.
  • Hadir dengan inovasi menarik.
  • Dilancarkan pada tahun 2023.
  • Dijual secara rasmi di Malaysia.
  • Tiada had harga jualan.

Tempat Ketiga – Samsung Galaxy Z Flip5

Samsung Galaxy Z Fold5 pada asalnya menjadi pilihan kami di tangga ketiga tetapi apabila dibincangkan sesama ahli editorial, kami sedari satu peranti dalam kategori skrin lipat kompak perlu dimasukkan dalam senarai tiga yang terbaik 2023. Maka Samsung Galaxy Z Flip5 kami nobatkan di tangga ketiga. Ia layak kerana adalah yang terbaik dalam kelasnya. Skrin luar paling besar digunakan dengan sokongan aplikasi yang lebih pelbagai serta kemampuan kalis air IPX8.

Saiznya kompak tetapi masih dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 2 yang cukup berkuasa tetapi kurang menggunakan tenaga. Prestasi baterinya adalah paling baik dalam kelasnya juga walaupun tidak sebaik jenis Fold. Kamera juga boleh tahan dengan kemampuan mengambil swafoto tanpa perlu membuka peranti terlebih dahulu. Kekurangan ialah pengecasan perlahan dan ketahanan bateri yang masih belum cukup mercu.

Spesifikasi: 6.7” Dynamic AMOLED, HDR10+, 120Hz, 3.4 SAMOLED, Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) (1x 3.36 GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3 2.0 GHz Cortex-A510, 8GB RAM, storan sehingga 512TB, 12MP (sudut lebar) + 12MP (sudut ultra lebar), 10MP (Swafoto), 3700 mAh (25W), IPX8, OneUI 6.1 Android 14.

Harga: Bemula RM4,499 (8/256 GB)


Tempat Kedua – Honor Magic Vs

Honor Magic Vs ialah peranti skrin lipat terbaik di pasaran pada pertengahan 2023. Ia dilengkapi skrin luar yang boleh digunakan dengan selesa kerana nisbah yang sama dengan sebuah peranti candybar. Dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 serta 12GB RAM, Magic Vs boleh menjalankan pelbagai aplikasi dengan lancar. Prestasi menjalankan permua juga amat memberangsangkan.

Kekuatan lain ialah kemampuan mengambil gambar yang memuaskan serta prestasi bateri yang terbaik dalam kelas. Bateri 5000 mAh yang digunakan juga paling besar pada peranti skrin lipat dan hadir dengan sokongan pengecasan 66W yang pantas.

Kekurangan ialah perisian yang belum cukup lengkap serta tiada sebarang kemampuan kalis air. Tetapi apabila melihat harga jualan serta spesifikasi yang cukup lengkap kami nobatkan Honor Magic Vs sebagai peranti skrin lipat kedua terbaik 2023.

Spesifikasi: 7.9” OLED,120Hz, HDR10+, 6.45″ OLED, 90Hz, Snapdragon 8+ Gen 1 4nm (1x 3.19 GHz Cortex-X2 + 3x 2.75 GHz Cortex-A710 + 4x 1.8 GHz Cortex-A510, 12GB RAM, storan 512GB, 54MP (Sudut lebar) + 50MP (Ultra sudut lebar) + 8MP (telefoto), 16+16MP (Swafoto), 5000 mAh (66W), MagicOS 7 Android 13.

Harga: Bermula RM5,999 (12/512 GB)


Juara – Oppo Find N3

Oppo Find N3 ialah peranti skrin lipat terbaik 2023 kerana ia adalah yang paling lengkap apabila semua parameter diambil kiri. Skrin luarnya paling sama nisbahnya seperti sebuah telefon pintar jenis candybar. Skrin dalam juga cukup besar dengan sokongan Dolby Vision yang jarang ditawarkan pada peranti Android. Menonton kandungan HDR pada Find N3 amatlah memuaskan kerana terasa seperti retina terbakar. Find N3 juga mempunyai kekuatan pada prestasinya kerana boleh menjalankan TIGA permua serentak.

Kamera pula adalah terbaik dalam kelas lengkap dengan sistem Hasselblad. Audio pada Find N3 terasa lantang tetapi jelas walaupun pada kekuatan tertinggi. Bateri walaupun sederhana sahaja boleh dicas pantas menggunakan pengecasan 67W. Malahan dari segi perisian ia mempunyai lebih banyak ciri menarik berbanding pesaingnya dalam kelas peranti skrin lipat. Oleh itu jika anda mahukan peranti skrin lipat terbaik 2023, jawapannya ialah Oppo Find N3.

Spesifikasi: 7.6 + 6.2” AMOLED LTPO 120Hz, Dolby Vision, Snapdragon 8 Gen 2 4nm (1x 3.2 GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3x 2.0 GHz Cortex-A510), 16GB RAM, storan 512GB, 48MP (Sudut lebar) + 48MP (Ultra sudut lebar) + 64MP (Telefoto) , 32+20MP (swafoto), 4800 mAh (67W), IP68, Android 13.

Harga: RM7,999 (16/512 GB)


Lengkaplah sudah senarai 15 Peranti Terbaik Amanz dalam lima kategori utama. Kepada pemenang. kami ucapkan tahniah dan kepada yang kalah diharap penambahbaikan boleh dilakukan tahun depan untuk menjadi juara.

Komen