Carian
Kereta Apple Mungkin Ditangguh Ke 2028 Dengan Swapandu Tahap 2+ Sahaja
January 24, 2024 Effi Saharudin

Project Titan ialah inisiatif Apple untuk melancarkan kereta elektrik swapandu pertama mereka. Walaupun ia sudah 10 tahun diusahakan, Apple masih belum melancarkan kenderaan ini selepas usahasama dengan Kia dan Hyundai menemui jalan buntu beberapa tahun lalu serta Sir Jony Ive yang terlibat dengan rekaan telah meninggalkan syarikat.

Menurut laporan Bloomberg projek ini semakin bermasalah dengan pelancaran ditangguh ke 2028 berbanding sasaran asal yang dipercayai pada tahun 2025.

Antara isu paling utama ialah sasaran swapandu Tahap 4 yang tidak memerlukan sebarang campur tangan manusia. Sasaran kini telah direndahkan ke Tahap 2+ yang setanding dengan beberapa kenderaan swapandu di jalan raya sekarang. Teknologi swapandu tidak berkembang dengan pesat seperti yang disangka. Mercedes ialah satu-satunya syarikat yang menawarkan swapandu Tahap 3 pada siri EQS mereka tahun lalu.

Pembangunan EV swapandu Apple ini amatlah bermasalah dengan ramai pekerja dibuang pada tahun 2019 dan projek dimulakan semula pada tahun 2016. Berlaku juga skandal apabila bekas pekerja telah mencuri teknologi yang dibangunkan.

Jelas dunia automotif adalah lebih sukar untuk Apple berbanding produk-produk yang pernah dilancarkan sebelum ini. Ia berbeza sekali dengan Xiaomi yang berjaya melancarkan EV pertama mereka dalam masa hanya empat tahun selepas pengumuman dilakukan.

Komen