Mengingati 5 Usaha Mempopularkan Peranti Modular Yang Gagal
Effi Saharudin
CMF Phone 1 dilancarkan minggu lalu sebagai telefon pintar dengan aksesori modular yang menarik. Di peringkat awal ia ditawarkan dengan panel belakang, tali lanyard, tongkat dan bekas menyimpan kad yang boleh ditukar ganti.

Dalam landskap telefon pintar hampir semuanya kelihatan sama, keputusan CMF melancarkan telefon dengan aksesori modular adalah cukup berani kerana beberapa percubaan-percubaan sebelum ini kesemuanya menemui kegagalan. Berikut ialah 6 peranti modular yang pernah dihasilkan tetapi kini hampir dilupakan.
ASUS PadFone – 2011

Idea telefon pintar modular paling awal pernah kami laporan di Amanz ialah ASUS Padfone. Ia sebuah telefon pintar yang hadir dengan aksesori skrin besar. Apabila PadFone dimasukkan ke dalam aksesori skrin ini, ia secara automatik berubah menjadi sebuah tablet. Kemudian wujud juga aksesori papan kekunci fizikal yang membolehkan PadFone digunakan seperti sebuah komputer riba.

Menurut ASUS, peranti mereka menyelesaikan isu perlu membeli sebuah telefon pintar dan tablet yang harganya mahal. Beli PadFone dan anda dapat memiliki kedua-dua peranti pada harga yang jauh lebih murah hanyar RM2399. Sambutan ke atas siri ini adalah agak menggalakkan pada peringkat awal, tetapi siri ini dihentikan pada tahun 2015. Sebabnya ialah kerana pada waktu ini skrin sudah semakin besar membuatkan keperluan memiliki tablet berkurangan.
Project Ara – 2013

PadFone memulakan idea modular secara kecil-kecilan. Project Ara pula boleh dinobatkan sebagai yang pertama mempopularkan idea telefon pintar modular secara menyeluruh. Menurut konsep yang diketengahkan oleh Google dan Motorola pada tahun 2013, Project Ara membolehkan komponen telefon pintar dinaiktaraf mengikut keperluan.

Bosan perlu membeli telefon pintar baharu semata-mata untuk cip pemproses dan kamera yang lebih berkuasa? Dua komponen ini boleh dibeli untuk Project Ara yang akan menjimatkan kos membeli sebuah telefon pintar baharu.
Pada tahun 2016 selepas tiga tahun dibangunkan dan prototaip diperlihatkan, Project Ara ditamatkan oleh Google kerana mereka gagal menghasilkan sebuah telefon pintar yang tahan lasak untuk dipasarkan kepada umum.
Motorola Moto Z Dengan Moto Mods – 2016

Selepas Project Ara ditamatkan, ia diteruskan oleh pula oleh siri telefon Motorola Moto Z juga pada tahun 2016. Pada ketika ini Motorola telah dijual oleh Google kepada Lenovo. Motorola Moto Z dilancarkan dengan 5 aksesori modular yang dipanggil Moto Mods yang bersambung kepada panel belakang telefon menggunakan magnet.

Aksesori yang ditawarkan ialah kamera Hasselblad True Zoom, Moto Insta-Share Projector, speaker JBL Soundboost, pek bateri Incipio offGRID dan panel belakang Moto Style Shells yang konsepnya kini dipinjam oleh CMF Phone 1. Kemudian Motorola memberikan pula aksesori papan kekunci fizikal, antena 5G, mesin pencetak gambar, radio dua hala, kamera 360 darjah dan speaker pintar Alexa.
Walaupun ekosistem yang ditawarkan adalah menarik dan sokongan diberikan selama tiga tahun, siri Moto Z dengan sokongan Moto Mods dihentikan pengeluarannya sejak 2019. Seperti Project Ara, Moto Mods juga akhirnya berkubur.
LG G5 – 2016

Tahun 2016 mungkin ialah tahun telefon pintar modular kerana tujuh bulan sebelum Moto Z dilancarkan di IFA, LG G5 dilancarkan di MWC Barcelona. Aksesori modular yang ditawarkan adalah terhad dalam bentuk LG Cam Plus dan LG HiFi Plus. LG Cam Plus menambah tempat pemegang yang memudahkan G5 digunakan seperti sebuah kamera digital.

Harus diingatkan, G5 ialah peranti terawal hadir dengan dwi-kamera dengan lensa ultra sudut lebar. Sementara itu LG HiFi Plus pula ialah aksesori yang memberikan sokongan audio beresolusi tinggi dengan sokongan talaan audio oleh Bang&Olufsen.
Jika Moto Z disokong selama tiga tahu, aksesori modular G5 hanya disokong selama setahun. Ia satu-satunya usaha LG untuk menawarkan telefon modular. Sambutan yang sangat sendu daripada orang ramai sekali lagi mematikan impian mempopularkan telefon pintar modular.
RED Hydrogen One – 2017

Selepas berjaya dalam arena kamera video digital, RED memasuki pula arena telefon pintar pada tahun 2017 dengan Hydrogen One. Ia hadir dengan beberapa aksesori modular untuk pek bateri dan juga kamera yang boleh melakukan rakaman 8K secara 3D. Pelancaran Hydrogen One tertangguh selama setahun dan oleh sebab itu ia dilengkapi pemproses yang kurang berkuasa apabila sampai ke tangan pemilik. Usaha sulung RED mengalami kegagalan teruk dan pembangunan Hydrogen Two dihentikan selepas RED menutup perniagaan telefon pintar mereka pada tahun 2019 sehingga CEO terpaksa meletakkan jawatan.

Hydrogen One ialah kali terakhir telefon pintar modular ditawarkan kepada umum sehinggalah CMF Phone 1 muncul bulan ini. Persoalannya ialah adalah usaha Nothing kali ini berjaya sedangkan usaha-usaha sebelum ini semuanya gagal?
Terdapat petanda mereka mungkin akan berjaya kerana Phone 1 dijual pada harga yang mampu milik (RM1099) dan aksesori juga dijual pada harga yang munasabah (RM99 sebuah). Kesemua usaha-usaha sebelum ini adalah terlalu mahal, kompleks dan tidak praktikal. Ketika ini dilaporkan 100,000 CMF Phone 1 berjaya dijual selepas hanya 3 jam jualan dibuka.
Hanya masa akan menentukan kejayaan masa panjang telefon ini. Yang pasti jika ia gagal, satu lagi artikel seperti ini akan kami terbitkan dalam masa beberapa tahun sahaja lagi.