Carian
10 Berita Teknologi Paling Aneh 2024
December 17, 2024 Effi Saharudin

Tiba masa untuk senarai berita-berita yang paling aneh sepanjang 2024. Ini kerana teknologi bebas digunakan untuk pelbagai kegunaan lain yang dirasakan sesuai. Kita melihat teknologi baharu digunakan untuk membunuh banduan bilik akhir, dron digunakan penjenayah dan korupsi menyebabkan telefon pintar diharamkan penggunaannya oleh kakitangan kastam di KLIA. Ini dia senarai 10 berita teknologi paling aneh tahun ini.


1.Dron Digunakan Untuk Menyeludup Dadah Ke Dalam Penjara Tapah

Dron telah digunakan untuk menyeludup dadah ke dalam Penjara Tapah, Perak. Menurut laporan Bernama, seorang anggota polis menemukan dron di atas bumbung penjara semalam. Turut ditemukan ialah beg plastik yang mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 122 gram dan amfetamin seberat 12.9 gram.

Dalam gambar yang dikongsi oleh pihak PDRM, dron dari jenis kuad kipas digunakan untuk membawa kargo dadah ke dalam penjara. Pihak Polis percaya ini ialah insiden pertama dron digunakan untuk menyeludup masuk dadah ke dalam penjara di Malaysia.

Sejak 2020 sudah muncul laporan dron digunakan untuk menyeludup dadah menerusi sempadan negara. Sementara itu di Mexico, dron kerap kali digunakan kartel untuk menyeludup dadah ke dalam penjara negara tersebut. Dalam kesemua kes, dron komersial yang sepatutnya digunakan untuk rekreasi diubahsuai untuk kegiatan jenayah.


2.Pegawai Imigresen KLIA Diharamkan Menggunakan Telefon Selular Bagi Menghalang Penyeludupan Warga Asing

September lalu kegiatan sindiket melibatkan pegawai imigresen di KLIA telah dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dua kakitangan imigresen berpangkat rendah ditangkap dengan wang tunai hampir RM800,000 di rumah mereka dipercayai adalah suapan yang diterima daripada sindiket yang menyeludup masuk pekerja asing.

Sindiket “Menetapkan Kaunter” mengarahkan pekerja asing menggunakan kaunter laluan khas di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 bagi melicinkan proses menyeludup walaupun tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak imigresen. Oleh sebab itu, pegawai imigresen di kedua-dua terminal KLIA kini diharamkan daripada menggunakan telefon selular ketika menjalankan tugas.

Pegawai imigresen yang telah menerima rasuah akan menghantar mesej kepada ketua penyeludup untuk mengarahkan pekerja asing yang ingin diseludup menggunakan kaunter di mana mereka bertugas. Ini adalah sebahagian perubahan yang telah dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengelakkan taktik penyeludupan ini diteruskan


3.Enam Syarikat Malaysia Dikenakan Sekatan Amerika Kerana Berurusan Dengan Rusia

Tujuh syarikat Malaysia dimasukkan ke dalam senarai sekatan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat kerana berurusan dengan operasi sektor pembuatan Rusia tahu ini. Sejak sekatan teknologi dikenakan ke atas Rusia disebabkan konflik Ukraine, Rusia menggunakan pihak ketiga bagi memenuhi keperluan teknologi domestik khususnya dalam sektor ketenteraan.

Syarikat tersebut adalah Jatronics Sdn Bhd , Zeolite Mansford Sdn Bhd (Zeolite), Centrina United Sdn Bhd (Centrina), Gyntec Carbon Sdn Bhd (Gyntec), Moralability Industry Sdn Bhd (Moralability) dan Melix Global Sdn Bhd (Melix Global).

Rusia dipercayai menggunakan syarikat dari Malaysia, China, India, Thailand, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu untuk memintas sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Ini menjadi sebab walaupun sekatan telah dikenakan lebih dua tahun, komponen seperti cip pemproses buatan Barat masih ditemukan dalam peluru berpandu Rusia.


4.Jepun Akhirnya Menamatkan Penggunaan Cakera Liut Untuk Urusan Kerajaan

Jepun akhirnya berjaya menamatkan penggunaan cakera liut bagi menjalankan urusan dengan agensi-agensi kerajaan. Menteri Digital Jepun, Taro Kono berkata penggunaan cakera liut secara rasmi tidak lagi dilakukan pada 29 Jun. Lebih 1000 peraturan yang mengawal penggunaan cakera liut dalam urusan kerajaan akhirnya telah dipinda.

Langkah digitalisasi urusan kerajaan Jepun telah dimulakan oleh Taro Kono pada tahun 2022Tokyo menjadi bandar pertama di Jepun yang menghentikan keperluan storan fizikal dalam urusan pada tahun 2021. Agak mengejutkan keperluan untuk berurusan dengan jabatan kerajaan menggunakan mesin faks juga hanya ditamatkan pada tahu 2021 tetapi menerima bantahan pelbagai agensi. Generasi tua misalnya tidak bersedia untuk melakukan perubahan di tempat kerja dan mempelajari teknologi baharu memerlukan masa untuk melatih kakitangan.


5.Jepun Ingin Menggantikan Pemandu Lori Dengan Sistem Tali Sawat Sepanjang 500 KM

Jepun mempunyai masalah peningkatan jumlah penduduk tua dan penurunan kadar kelahiran secara serentak. Oleh sebab itu mereka juga berhadapan kekurangan tenaga kerja. Antara yang terjejas ialah industri logistik kerana kurangnya pemandu lori. Penyelesaian kepada isu ini ialah dengan membina Autoflow-Road yang merupakan rangkaian tali sawat sepanjang 500 km yang menyambungkan Tokyo dan Osaka.

Kargo sehingga 1 tan boleh dibawa oleh Autoflow-Road bagi menggantikan lori. Ia bakal beroperasi 24 jam sehari dan boleh menggantikan tugas lebih 25,000 pemandu lori manusia. Jalan raya, terowong dan median jalan raya sedia ada akan digunakan untuk membina Autoflow-Road. Kargo besar akan dibawa menggunakan sistem terowong bawah tanah sebelum sistem tali sawat kecil atas tanah pula digunakan untuk penghantaran bungkusan lebih kecil kepada penerima.

Jepun mempunyai sekitar 660,000 pemandu penghantaran pada tahun 2020 tetapi ia akan berkurangan ke 480,000 menjelang 2030. Tidak seperti negara lain, Jepun tidak menggunakan pekerja asing untuk memenuhi keperluan buruh industri tempatan.


6.ATM Di Jepun Memainkan Video Khas Jika Mengesan Pengguna Yang Mungkin Mangsa Scam

Ratusan juta ringgit hangus disebabkan oleh pelbagai skim penipuan atas talian di Malaysia. Di Jepun mereka juga menghadapi masalah yang sama tetapi di kalangan warga emas. Oleh itu polis Jepun dengan bantuan Japan Post Bank memulakan inisiatif menentang penipuan dengan kempen video.

Menerusi kecerdasan buatan dan kamera, ATM Japan Post Bank akan memainkan video memberikan amaran kepada pengguna mereka mungkin mangsa scam lengkap dengan bunyi siren polis yang nyaring. Di Jepun antara teknik yang digunakan ialah menelefon warga tua bahawa terdapat ahli keluarga dalam bahaya dan memerlukan wang segera. Apabila di ATM penipu akan memberikan arahan untuk memindahkan wang.

AI pada ATM akan memainkan video amaran sekiranya mengesan pelanggan menggunakan telefon ketika ia sedang digunakan. Video pendek ini menampilkan selebriti Keita Tachibana yang menyuruh pelanggan meletakkan telefon segera bagi mengelakkan diri terus ditipu.


7.Pemacu USB Mengandungi KPOP Dihantar Ke Korea Utara Menggunakan Belon Sebagai Perang Psikologi

Perang Korea yang meletus pada tahun 1950 sebenarnya tidak pernah berakhir. Korea Selatan dan Korea Utara sekadar bersetuju untuk melakukan gencatan senjata pada tahun 1953 sehingga sekarang. Pertarungan di medan perang mungkin terhenti selama 71 tahun tetapi perang psikologi antara Seoul dan Pyongyang kini berterusan menggunakan belon.

Pada bulan Jun, Pejuang Korea Utara Merdeka (FFNK) menghantar 10 belon ke Korea Utara yang mengandungi 200,000 risalah mengkritik Kim Jong Un, wang Dollar Amerika dan 5000 pemacu USB yang mengandungi muzik Kpop serta video Kdrama. Ini adalah balasan kepada tindakan Korea Utara yang menghantar 3500 belon berisi sampah dan najis ke Korea Selatan.

Perang belon ini dimulakan oleh FFNK pada 10 Mei lalu apabila mereka menghantar 2000 pemacu USB mengandungi muzik video Kpop menggunakan belon. Penggunaan belon untuk menghantar kandungan propaganda sudah dilakukan sejak 1950an lagi sebelum dihentikan oleh kerajaan Korea Selatan bagi menjaga hubungan baik.

Ia kemudiannya diteruskan oleh NGO yang menghantar buku, video dan kemudiannya DVD mengandungi kandungan kpop serta kdrama. Penggunaan pemacu USB ialah selari dengan peredaran zaman dimana lebih mudah menghantar propaganda dalam bentuk digital.


8.Dadi Cinemas Akan Membuka Panggung Wayang Dengan Stimbot Pertama Di Malaysia

Gambar – Dadi Cinemas

Di Malaysia bertih jagung dan nuget ayam ialah makanan lazim dalam panggung wayang. Sebelum itu kuaci, jeruk, jagung dan buah-buahan segar ditawarkan tetapi kini sudah semakin pupus di bandaraya utama. Bagi yang mencari kelainan dan pengalaman baharu, Dadi Cinemas membuka panggung wayang pertama di Malaysia yang menawarkan tempat memasak stimbot pada setiap kerusi penonton.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, panggung pertama ini terletak di Dadi Cinemas Pavillion KL dengan ia menawarkan menu yang ditawarkan oleh Shu Daxia Hot Pot, sebuah rangkaian kedai stimbot makanan cina. Setiap kerusi penonton akan mempunyai satu dapur stimbot dengan pelbagai makanan yang boleh direbus diberikan dalam bekas berbentuk kotak.


9.Amerika Negara Pertama Menghukum Mati Banduan Menggunakan Gas Nitrogen

Amerika Syarikat menjadi negara pertama menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang banduan menggunakan gas nitrogen pada Januari lalu. Kenneth Eugene Smith (58) dijatuhkan hukuman mati di Alabama kerana kesalahan membunuh pada tahun 1988. Gas nitrogen digunakan menghasilkan kekurangan oksigen (hipoksia) yang menyebabkan Smith meninggal dunia secara perlahan-lahan.

Pada tahun 2022 beliau menjalani hukuman mati menggunakan suntikan beracun tetapi kesukaran mencari saluran darah menyebabkan ia dihentikan. Smith menentang hukuman mati menggunakan nitrogen digunakan ke atas beliau kerana mendakwa ia belum dibuktikan boleh membunuh secara berperikemanusiaan. Rayuan beliau ditolak dan hukuman diteruskan

Menurut saksi, Smith meronta-ronta selama beberapa minit selepas gas nitrogen disalurkan ke topeng yang dipasang ke kepala beliau. Selepas beberapa minit pernafasan semakin perlahan dan akhirnya beliau disahkan meninggal dunia oleh doktor.


10.Warga Emas Jepun Digalakkan Menyertai Acara Esukan Bagi Mengelakkan Nyanyuk

Di media sosial kerap kali kami melihat pendapat yang mengatakan apabila anda sudah dewasa anda perlu berhenti menikmati permainan video. Golongan ini percaya permainan video hanyalah sesuai untuk kanak-kanak kerana ia membuang masa. Tetapi di Jepun, wujud pendapat berbeza dengan warga emas digalakkan pula menyertai acara esukan.

Warga emas yang menetap di Wilayah Kumamoto digalakkan menyertai acara sukan bagi mengelakkan menjadi nyanyuk menurut laporan NHK. Permainan Taiko no Tatsujin: The Drum Master  menjadi pilihan penganjur yang ingin mencari pemain terbaik yang akan mewakili wilayah mereka ke peringkat nasional.

Taiko no Tatsujin: The Drum Master dipilih kerana ia memerlukan pemain mengingati pola paluan gendang dan pada waktu yang sama menggerakkan tubuh pemain. Dengan ini minda dan tubuh akan sentiasa bergerak aktif walaupun di usia tua. Jepun mempunyai lebih 30 juta penduduk berusia 65 tahun dan ke atas. Statistik yang membimbangkan kerana ia hampir sama dengan jumlah penduduk Malaysia yang kini mencecah 33 juta.


Komen