Carian
10 Berita Automotif Paling Menarik 2024
December 20, 2024 Effi Saharudin

Tahun ini kami menggandakan laporan dunia automotif khususnya kenderaan elektrik (EV). Ia adalah tahun yang sangat menarik bagi peminat EV di Malaysia dengan semakin banyak kenderaan di bawa masuk dan pelancaran model pertama EV oleh Proton. Berikut ialah 10 berita automotif paling menarik sepanjang 2024.


1. Proton e.MAS7 Dilancarkan – Kereta Elektrik Pertama Proton

Proton e.MAS7 yang merupakan kereta elektrik pertama mereka telah dilancarkan pada harga bermula RM 109K untuk model Prime dan bermula RM 123K untuk versi Premium. Kedua-dua versi Prime dan Premium ini mempunyai prestasi yang sama, iaitu kuasa maksimum 160 kW dengan tork 320 Nm, yang memberikan pecutan 0-100 km/j sepantas 6.9 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 175 km/j. 

Versi Prime dilengkapi dengan bateri berkapasiti 49.25 kW, yang memberikan jarak perjalanan 345 KM WLTP dan menyokong pengecasan DC 80 kW. Manakala Versi Premium pula mempunyai bateri berkapasiti 60.22 kW dengan jarak perjalanan 410 KM WLTP dan menyokong pengecasan DC 100 kW. 

Untuk kelengkapan, kedua-dua versi mempunyai Swapandu tahap 2, fungsi Vehicle-to-load, penghawa dingin dengan penapis udara N95, paparan inforia 15.4-inci 2K, paparan kluster pemanduan bersaiz 10-inci, dan bermacam-macam lagi.


2. Prototaip EV Perodua EMO II Diperlihatkan – Harga Disasarkan Sekitar RM 50-90K

Gambar – Nextrift

Proton telah melancarkan EV pertama mereka sementara Perodua masih lagi di peringkat kenderaan konsep. Di Malaysia Autoshow Mei lalu Perodua, EMO-I diperlihatkan, dan awal bulan ini giliran prototaip EMO-II pula diperlihatkan ketika acara KLIMS.

Menurut Perodua, buat masa ini mereka sedang dalam tahap akhir sebelum pengilangan dan akan ada ‘Episod ke-3’ sebelum ia benar-benar dilancarkan dengan spesifikasi yang dinyatakan mempunyai perbezaan sekitar 2-3% daripada versi akhir kelak. EV pertama Peroedua kelak menyasarkan jarak perjalanan 410km dan harga jualan dalam julat RM 50K-RM90K selari dengan aspirasi Perodua untuk menjadi pengeluar EV paling mampu milik di Malaysia.


3. Kenderaan NGV Tidak Lagi Boleh Digunakan Di Malaysia Bermula Julai 2025

Gambar oleh – Pengguna NGV Malaysia

Tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggi kepada era kenderaan gas asli (NGV) di Malaysia pada 1 Julai 2025. Pada tarikh ini kenderaan NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftarkan atau dilesenkan di dalam negara. Pengumuman tarikh ini telah dilakukan pada November lalu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan ini dilalukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna serta orang ramai. Pihak PETRONAS juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di pasaran sebelum penawarannya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025.

Pada waktu ini terdapat 44,383 kenderaan aktif menggunakan NGV di Malaysia. 9,509 daripadanya ialah teksi serta kereta seru pandu, 32,137 kenderaan pendaftaran persendirian, 2,150 bas serta lori dan 587 unit kenderaan/jentera. Sekitar 2008 penggunaan NGV meningkat disebabkan oleh harga petrol dan diesel yang diapungkan kerajaan. Selain tiada lagi kenderaan EV akan dibenarkan, jualan NGV secara runcit juga ditamatkan sekali.


4.Plat Pendaftaran Elektronik JPJePlate Digunakan Bermula Hari Ini

Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan untuk nombor plat EV yang khusus untuk kenderaan-kenderaan elektrik baharu di Malaysia pada 9 September. Serentak dengan pengumuman in, JPJ turut mengesahkan kenderaan dengan nombor plat ini juga akan menjadi kumpulan rintis menggunakan plat pendaftaran JPJePlate yang mempunyai pelbagai ciri pintar terbina.

Plat pendaftaran baharu ini diperbuat daripada logam dengan nombor plat ditekan terus pada permukaannya. Bahagian nombor yang timbul ini juga mempunyai permukaan yang memantulkan cahaya supaya ia dapat dilihat jelas pada waktu malam.

Selain itu ia hadir dengan ciri RFID secara terbina untuk pelbagai sistem pengangkutan masa depan. Tidak perlu lagi menampal pelekat RFID pada tingkap dan lampu kereta seperti sekarang. Hologram terbina mengelakkan pemalsuan nombor pendaftaran dan kod QR terbina pula memudahkan pihak berkuasa menyemak nombor pendaftaran dan nombor siri JPJePlate.


5. BYD Hasilkan Sistem Hibrid Dengan Jarak Perjalanan 2100 KM

Mei lalu, BYD mengumumkan trend kuasa terbaru mereka yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 2100 kilometer. Sistem hibrid generasi ke-lima BYD ini juga hanya menggunakan 2.9L petrol untuk perjalanan sejauh 100 km. Sebagai perbandingan enjin 1.5 Liter Proton S70 menggunakan 6.2L/100 km. Tahap penggunaan petrol yang rendah ini dicapai kerana enjin BYD mempunyai kecekapan 46.06%.

Apabila digabungkan dengan sistem bateri dan motor elektrik, kenderaan dengan sistem DM (Dual Mode) ini boleh melakukan perjalanan sehala tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Hanoi, Vietnam. Sistem baharu ini juga bukan sekadar konsep tetapi telah digunakan pada model kereta Qin L DM-i dan Seal 06 DM-i yang juga baru dilancarkan minggu ini. Di China harga jualan kedua-dua kenderaan ini bermula daripada RMB 99,800 (~RM65,000) sebuah.


6.Apple Menghentikan Projek Menghasilkan EV

Kali pertama ura-ura mengenai Apple ingin menghasilkan EV mereka didengari ialah pada tahun 2015 di bawah nama Project Titan. Projek ini menghadapi pelbagai rintangan seperti kehilangan rakan pengeluaran Hyundai, Sir Jony Ive meninggalkan syarikat, rahsia dicuri kakitangan dan pihak pengurusan meletakkan jawatan. Tetapi pada Februari lalu Apple telah menghentikan Project Titan secara rasmi.

Skop Project Titan telah beberapa kali diubah daripada sasaran asal menghasilkan EV swapandu sepenuhnya. Tetapi teknologi swapandu pada ketika ini masih terhad ke Tahap 3 sahaja menyebabkan Apple mengubah sasaran ke swapandu Tahap 2+ sementara kereta ditangguh pelancarannya ke 2028.

Penangguhan demi penangguhan dilakukan dengan projek dipercayai dimulakan semula beberapa kali dan tidak dibantu oleh Sir Jony Ive yang meninggalkan Apple dan ketua projek pula berhijrah ke Rivian.


7.Honda Dan Nissan Dilaporkan Memulakan Perbincangan Untuk Bergabung

Honda Motor dan Nissan Motor dilaporkan akan melakukan perbincangan dengan hasrat untuk menyatukan menggabungkan syarikat. Dengan menyatukan syarikat, kedua-dua nama besar dalam arena automotif ini boleh menyatukan renaga dan sumber, serta pada masa yang sama bersaing dengan lebih baik dengan jenama lain di pasaran.

Sekiranya perbincangan ini berjalan lancar, Honda dan Nissan akan beroperasi di bawah sebuah syarikat induk baharu, yang mana mungkin turut menyertakan Mitsubishi Motor pada masa akan datang. Untuk makluman juga, Honda dan Sony turut mempunyai syarikat kerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik.

Pada hari ini, Honda dan Nissan masing-masing menghadapi cabaran sengit dari pengeluar kenderaan China, terutamanya EV. Sebelum ini sendiri, Honda dan Nissan sedia mengumumkan kerjasama untuk kenderaan elektrik.


8.Motosikal Elektrik Terbesar Dunia Menawarkan Jarak Perjalanan 720km

Felo TOOZ – gambar New Atlas

Jarak perjalanan yang terhad menjadi batu penghalang EV dijadikan kenderaan pemanduan jarak jauh. Di Malaysia dengan infrastruktur pengecasan yang masih belum matang, perjalanan dengan EV hadir pula dengan masalah perlu menanti giliran yang panjang. Felo TOOZ ialah motosikal elektrik terbesar dunia dengan ia menyelesaikan isu di atas kerana mempunyai jarak perjalanan sehingga 720km dengan sekali caj.

Ini meletakkan jarak perjalanannya lebih jauh berbanding motosikal petrol seperti BMW R80 G/S Paris Dakar (672 km). Bukan setakat itu, TOOZ juga boleh memecut sehingga kelajuan 205 kmj. Motosikal buatan Thailand ini diperlihatkan ketika acara Bangkok Auto Show pada April lalu. Maklumat lengkap masih belum dikongsi oleh Felo kerana pada ketika ini hanya prototaip TOOZ sahaja diperlihatkan.

Yang didedahkan ialah motosikal ini adalah dari jenis touring yang menumpukan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh. Terdapat skrin LCD 12″ untuk paparan maklumat pemanduan dan sistem audio 6 saluran untuk pengalaman audio yang baik. Ia turut menyokong pengecasan TYPE2 yang membolehkan bateri dicas daripada 20% ke 80% dalam masa 30 minit sahaja.


9.Perlumbaan Kereta Lumba Swapandu Pertama Dihantui Pelbagai Isu

Perlumbaan Abu Dhabi Autonomous Racing League (A2RL) berlangsung di litar lumba Yas Marina pada April lalu adalah perlumbaan kereta lumba swapandu pertama di dunia. Ia walau bagaimanapun tidak berlangsung dengan lancar dengan pelbagai isu timbul sepanjang sesi kelayakan serta perlumbaan.

Walaupun perlumbaan hanya melibatkan lapan pusingan, acara ini berlangsung lebih dua jam kerana isu teknikal. Beberapa kemalangan berlaku menyebabkan perlumbaan dihentikan seketika. Bendera kuning dikibarkan sebagai arahan memperlahankan kenderaan tetapi kesemua kereta lumba berhenti mengejut kerana undang-undang perlumbaan mengharamkan memotong apabila bendera ini dikibarkan.

Terdapat lapan pasukan mengambil bahagian iaitu Fly Eagle (China dan UAE), Humda Lab (Hungary), Code19 (USA), Constructor (Jerman), Technical University of Munich (Jerman), Kinetiz (Singapura dan UAE), Polimove (Itali), dan Unimore (Itali). Mereka diberikan dua minggu untuk melatih sistem swapandu di Abu Dhabi. Selepas peringkat kelayakan, hanya empat pasukan dipilih untuk perlumbaan akhir.

Pasukan diberikan kenderaan lumba Dallara EAV4 yang sama dengan enjin 2 liter 550 kuasa kuda. Perbezaan hanyalah terletak pada perisian swapandu yang perlu dibangunkan sendiri oleh setiap pasukan. Setiap kenderaan turut dilengkapi tujuh kamera Sony IMX728 yang memberikan pandangan 360 darjah, empat radar ZF ProWave, tiga LIDAR Seyond Falcon Kinetic FK1 dan sebuah komputer Neousys RGS-8805GC dengan GPU NVIDIA.


10. Elon Musk Dinafikan Ganjaran $56 Bilion Oleh Mahkamah

Elon Musk

Februari lalu hakim daripada mahkamah Delaware menafikan Elon Musk ganjaran $56 bilion (~RM250 bilion) oleh Tesla selepas beliau berjaya memenuhi sasaran jualan kenderaan. Keputusan diambil selepas beberapa pemegang saham Tesla mengatakan nilai ganjaran yang diberikan adalah melampau dan sepatutnya dilaburkan semula ke dalam syarikat dan bukannya diberikan kepada Musk. Rayuan telah dilakukan oleh Musk tetapi ia dinafikan sekali lagi bulan ini.

Hakim mengatakan bukti baharu daripada peguam Musk gagal menunjukkan beliau layak menerima ganjaran dijanjikan. Walaupun majoriti pemegang saham Tesla kemudiannya mengundi untuk memberikan ganjaran kepada Musk, hakim mengatakan ia tidak boleh digunakan untuk melanggar keputusan asal mahkamah.

Walaupun gagal menerima ganjaran lebih RM250 bilion, Elon Musk masih berjaya menjadi manusia pertama mempunyai nilai kekayaan melebihi $400 bilion tahun ini.


Komen