Carian
Google Memperkenalkan Alatan Untuk Mengurus Storan Google Photos Anda
May 25, 2021 Fahim Zahar

Apabila produk percuma sudah matang dan mereka pembangun atau syarikat tahu strategi menjana pendapatan, produk itu tidak lagi akan menjadi percuma. Ia akan dinaiktaraf menjadi langganan, bayaran premium atau versi percuma akan menjadi hambar secara automatik. Itulah spekulasi yang muncul pada Google Photos, apabila Google bercadang untuk menghentikan sokongan storan tanpa had pada pelan sandaran kualiti tinggi. Bermula 1 Jun, gambar baharu yang disimpan melalui sandaran kualiti tinggi akan mengira kuota storan Google Drive anda.

Sehingga hari ini, sudah lebih 4 trilion gambar dan video disimpan dalam Google Photos. Google Photos adalah aplikasi dan perkhidmatan yang cukup popular dan memudahkan pengguna. Sebagai persediaan terhadap tiada lagi kuota percuma untuk Google Photos, Google memperkenalkan beberapa alatan untuk membantu pengguna mengurus storan Google Photos masing-masing.

Anggaran Jangka Hayat Baki Kuota Storan Bertahan

Untuk membuatkan anda berasa gerun kerana storan Google Drive semakin sempit kerangan penuh dengan memori manis dan pahit yang tidak ingin dilupakan, Google hadir dengan anggaran kiraan – berapa lamakah baki storan anda boleh bertahan. Contohnya jika 80% storan digunakan daripada 15GB kuota percuma, Google menganggarkan pengguna boleh gunakan baki storan sehingga 3 tahun jika kekal menggunakan pelan sandaran kualiti tinggi

Contoh pada akaun saya yang kerap menggunakan kualiti atau saiz asal, daripada 204GB baki saya telah menggunakan 145GB. Baki 59GB saya dianggarkan akan bertahan lagi lapan bulan. Ia akan berubah bergantung kepada apa yang saya simpan.

Pengurusan Storan Bijak

Animated GIF showing a Pixel phone with the personalized estimate tool running.

Memudahkan lagi pengguna untuk menjimatkan kuota storan masing-masing adalah, Google kini memaparkan kategori khas pada Review and delete untuk buang gambar atau video. Kategori yang diperkenalkan adalah seperti imej-imej kabur, tangkapan layar atau saiz media yang besar.

Pelan High Quality Berubah Menjadi Pelan Storage Saver

Animated GIF showing the storage management tool in use.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Google Photos akan hadir dengan nama baharu bagi pelan kualiti tinggi mereka. Daripada High quality kini menjadi Storage saver. Perubahan pelan ini akan dilihat oleh semua orang dalam masa terdekat. Storage saver mungkin asing bagi kebanyakan pengguna Android, tetapi Pixel sudah hadir lama dengan nama ini pada aplikasi Google Camera. Di mana pada Pixel, dalam Google Camera pengguna boleh tetapkan siap-siapa saiz imej atau video yang diingini.

Hanya Gambar Baharu Sahaja Akan Memakan Kuota Anda

Agak leceh jika anda hanya ada pelan percuma 15GB, kemudian Google Photos anda penuh dengan pelbagai imej serta video yang melebihi 15GB. Syarikat lain biasanya akan padam terus baki lebihan yang anda guna dan 15GB pertama sahaja dikekalkan. Tetapi Google baik, jika imej dan video lama sudah disandarkan menggunakan pelan Storage saver – ia akan kekal percuma. Hanya imej baru dan video yang ingin disandarkan sahaja mengira kuota storan anda.


Google Photos ada banyak ciri dan fungsi menarik seperti penuras HDR terbina, menjana animasi berdimensi daripada imej pegun, pengguna Google One ada akses eksklusif untuk suntingan video dan gambar atau mengasingkan imej dan dokumen. Untuk privasi dan sekuriti, semasa Google I/O 2021 Google memperkenalkan folder yang boleh dikunci dan juga paparan memori yang dikawal oleh pengguna.

Komen