10 Berita Teknologi Terbesar Dunia Separuh Pertama 2026
Effi Saharudin
Separuh tahun pertama 2026 telah berlalu dan dalam tempoh ini, terdapat banyak berita menarik berlaku yang mendatangkan impak ke atas dunia. Awal 2026 membawakan pelbagai cabaran dan rintangan. Ini tidak dibantu oleh peperangan serta krisis RAM semakin meruncing. Berikut ialah 10 berita teknologi terbesar dunia setakat ini.
1.Elon Musk Trilionwan Pertama Dunia

Elon Musk menjadi individu dengan nilai kekayaan terbesar dalam sejarah dunia pada 13 Jun 2026 dengan harga mencecah $1.1 trilion. Kekayaan beliau melonjak $300 bilion semalaman selepas IPO SpaceX ditawarkan ke pasaran saham. IPO SpaceX juga menjadi IPO paling bernilai dalam sejarah dengan ia mengumpul dana $75 bilion sehingga jauh meninggalkan IPO Saudi Aramco ($29.4 bilion), Alibaba Group ($25 bilion), SoftBank Corp $23.5 bilion (2018) dan General Motors ($20.1 bilion).
Sungguhpun begitu status trilionwan Musk hanya kekal kurang dua minggu. Pasca IPO saham SpaceX susut semula ke sekitar $152 sebuah berbanding $225.64 pada hari pertama. Tetapi semasa artikel ditulis, saham SpaceX kembali meningkat dan kekayaan Musk kini “hanya” sekitar $1 trilion.
2.Apokalips RAM Berterusan

Apokalips bekalan RAM sejak Oktober 2025 berterusan tahun ini menyebabkan harga jualan semua peranti pintar dan elektronik meningkat dengan mendadak. Secara purata di awal 2026, harga jualan peranti baharu adalah sehingga RM700 lebih mahal berbanding konfigurasi RAM/storan sama tahun 2025.
Masa depan dunia peranti global nampak gelap sehingga sekurang-kurangnya 2028. Minggu lalu Apple terpaksa menaikkan harga MacBook, iMac, Mac Studio, iPad, HomePod dan Apple TV 4K sehingga ribuan Ringgit kerana kos yang tidak lagi boleh ditanggung. Awal tahun ini ASUS, Acer, Microsoft, Sony, Samsung, Xiaomi dan banyak lagi telah lebih awal menaikkan harga produk.
CMF by Nothing mengangkat bendera putih kerana tidak mampu mendapatkan bekalan memori. Diramalkan harga RAM akan naik sehingga 50% pada Q3 sebelum naik lagi sebanyak 40% pada Q4 2026.
3.Perang Asia Barat

Perang Asia Barat membuatkan situasi RAM menjadi semakin serius. Kos bahan api naik menyebabkan semua harga komponen terus naik. Walaupun Iran dan Amerika bersetuju untuk berdamai beberapa minggu lalu, perang belum berakhir dengan kedua-dua pihak masih berbalas serangan minggu lalu.
Kekurangan bekalan bahan mentah juga mengancam pengeluaran cip pemproses yang diperlukan. Kos sara hidup global terjejas menyebabkan kuasa membeli akan terjejas. Diramalkan kombinasi apokalips RAM dan kos sara hidup akan menyebabkan jualan peranti jatuh tahun ini. Tahun lalu Tarif Trump membuatkan dunia sakit kepala. Tahun ini, Perang Trump Netanyahu pula membuatkan satu dunia mengamuk.
4. Artemis II Mengelilingi Bulan

April lalu kapsul angkasa lepas Integrity misi Artemis II mencatatkan rekod perjalanan baharu paling jauh pernah dilakukan manusia daripada bumi. Ia mengembara sejauh 406,771 km daripada bumi sekaligus memecahkan rekod 400,171 km yang dicatatkan misi Apollo 13 pada tahun 1970. Ini merupakan kali pertama sejak 1972 manusia kembali mengorbit bulan.
Krew yang terdiri daripada Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen turut mencatatkan rekod wanita pertama, lelaki kulit hitam pertama, dan warga selain Amerika Syarikat pertama mengorbit bulan. Mereka juga yang pertama pergi ke bulan menggunakan telefon peribadi dalam bentuk iPhone 17 Pro Max dan Google Pixel 6 Pro.
5.Claude Mythos dan Mythos 5 Berbahaya

Pada April juga model Claude Mythos dilancarkan oleh Anthropic dengan kemampuan mencari kelemahan serta kerentanan pad kod sistem dan perisian. Athropic berkata dalam ujian dalaman yang dilakukan, Mythos telah menemukan ribuan kelemahan zero-day, termasuk yang berusia 1–2 dekad. Oleh sebab kemampuan ini serta impaknya terhadap sekuriti, Mythos tidak dibuka kepada umum.
Sebaliknya pratonton untuk Mythos adalah hanya menerusi Project Glasswing yang merupakan inisiatif keselamatan siber melibatkan 11 organisasi rakan kongsi Amazon Web Services, Apple, Broadcom, Cisco, CrowdStrike, Google, JPMorganChase, the Linux Foundation, Microsoft, NVIDIA, dan Palo Alto Networks. Selain 11 rakan kongsi ini, 40 organisasi tambahan akan turut diberikan akses kepada Project Glasswing.
Di bawah Glasswing, puluhan ribu lagi kerentanan ditemukan. Kemudian Fable 5 pula dilancarkan dengan kemampuan sama dengan Mythos 5 tetapi dengan ciri keselamatan terbina. Akses kepada Fable 5 pula kemudiannya diarahkan disekat Amerika Syarikat kerana risiko penyulingan dilakukan untuk negara lain mempunyai model yang setanding dengan Mythos. Akses hanya dikembalikan semula pagi ini selepas beberapa lagi ciri keselamatan diperkenalkan.
6. Sony dan Panasonic Jual Perniagaan TV, Samsung Tarik Diri

Pasaran TV didominasi syarikat Amerika Syarikat di peringkat awal kerana ia negara paling awal menyedari potensi medium TV di rumah. Dominasi Amerika Syarikat kemudiannya dipatahkan oleh syarikat Jepun seperti Sony dan Panasonic. Sony Trinitron yang dipasarkan pada tahun 1968 menjadi batu loncatan Sony menguasai pasaran TV selama 30 tahun. Tetapi kemudian Samsung dari Korea Selatan pula mencantas Sony kerana mereka paling awal menawarkan TV panel nipis LCD.
Tetapi kini era dominasi Jepun dan Samsung pula di ambang akan berakhir. Sony menjual perniagaan TV mereka kepada TCL dan membentuk syarikat baharu Bravia Inc. Teknologi terus dibangunkan tetapi TCL menguruskan pengeluaran dan pemasaran. Kemudian Panasonic pula menjual perniagaan TV kepada Skyworth pada Februari.
Samsung masih bertarung dengan syarikat China yang mempunyai kelebihan rantaian bekalan dan harga lebih murah. Mereka masih belum mengibarkan bendar putih tetapi pada Mei, Samsung menarik diri daripada pasaran TV dan kelengkapan elektronik rumah kerana tidak lagi mampu bersaing dengan pengeluar China. China ialah pasaran TV kedua terbesar selepas Amerika. Dengan penarikan diri ini, hanya menunggu masa sahaja status Samsung sebagai pengeluar TV terbesar dunia digantikan oleh syarikat China.
7.Pusat Data Angkasa Lepas

Pusat data AI ialah projek yang mempunyai reputasi negatif kerana mengambil ruang, menggunakan air yang banyak, mengeluarkan bunyi bising dan menelan kuasa yang tinggi. Penyelesaian popular kepada isu pusat data di muka bumi ialah membinanya pula di orbit bumi rendah (LEO).
Google, NVIDIA, dan SpaceX masing-masing meningkatkan komitmen untuk membina pusat data angkasa lepas. SpaceX menjadikannya antara projek utama untuk menarik minat pelabur semasa IPO dibuka kepada umum. Elon Musk percaya sumber tenaga tanpa had dan tiada keperluan penyejukan air akan menjadi SpaceX syarikat pusat data LEO terbesar dunia. NVIDIA tahun ini mengumumkan platform NVIDIA Space-1 Vera Rubin Module untuk pelanggan yang berminat.
Ramai yang melihat pusat data LEO adalah sekadar angan-angan Mat Jenin kerana kos melampau yang diperlukan, kesukaran melakukan penyeliaan jika berlaku kerosakan, radiasi tinggi dan masa pendam penghantaran data menjadikannya idea tidak praktikal. Sungguhpun begitu pusat angkasa LEO menjadi semakin mainstream awal tahun ini.
8. Seorang Lagi Individu Dikatakan Adalah Satoshi Nakamoto

Hampir dua tahun lalu, identiti sebenar Satoshi Nakamoto didedahkan ialah Peter Todd seorang pembangun perisian dari Kanada dalam dokumentari Money Electric: The Bitcoin Mystery.The New York Times pada April mengatakan identiti sebenar pencipta mata wang kripto Bitcoin ini ialah Adam Back, seorang ahli kriptografi British dan tokoh penting dalam komuniti Bitcoin.
Dalam siasatan yang mengambil masa setahun, wartawan John Carreyrou menemukan beberapa persamaan antara Back dan Satoshi. Antaranya ialah penggunaan Hashcash yang merupakan komponen penting yang digunakan Satoshi dalam Bitcoin. Hashcash dicipta oleh Black.
Back juga merupakan ahli awal pergerakan Cypherpunks terdiri daripada kumpulan aktivis, ahli teknologi dan ahli kriptografi yang membincangkan strategi untuk meningkatkan privasi dan menentang pengawasan kerajaan serta korporat. Arkib Cypherpunks menunjukkan Back berkongsi idea mirip Bitcoin (10 tahun sebelum ia wujud) seperti wang elektronik tanpa bank, sistem teragih yang tahan serangan, mekanisme “proof-of-work” dan kawalan inflasi melalui peningkatan kesukaran menghasilkan Bitcoin.
Kajian linguistik menemui persamaan lain seperti Satoshi dan Beck menggunakan ejaan Bahasa Inggeris British, kesilapan tatabahasa yang sama, penggunaan frasa unik, tabiat menaip dua ruang selepas noktah dan penggunaan istilah teknikal yang tidak lazim.
Walaupun laporan ini mendakwa Adam Back ialah Satoshi Nakamoto, Back sendiri tidak mengaku beliau adalah pencipta Bitcoin yang penuh misteri apabila disoal oleh penulis. Maka untuk waktu ini identiti sebenar Satoshi Nakamoto yang memegang 1.1 juta Bitcoin bernilai sekitar ~RM 266 bilion masih belum benar-benar disahkan.
9. NASA Sahkan Teknik Filem Armageddon Boleh Mengubah Haluan Asteroid

Pada tahun 2022, satelit DART dihempaskan ke permukaan asteroid Dimorphos pada kelajuan melebihi 22,000 km/j. Misi ini dilakukan bagi melihat sama ada teknik menghentam DART yang sebesar mesin layan diri ke permukaan Dimorphos selebar 170 meter akan mengubah hala tujunya.
NASA pada Mac menerbitkan laporan akhir yang mengesahkan teknik hentaman DART adalah kejayaan pertama manusia memesongkan objek angkasa lepas daripada orbit mengelilingi matahari.
Bukan sahaja orbit Dimorphos diubah, orbit asteroid induk Didymos yang berhampirannya juga berubah. Secara keseluruhan orbit kedua-dua asteroid kini berubah pada kadar 1.7 inci setiap jam. Walaupun perubahan ini kecil, jika diberikan masa dapat memesongkan asteroid yang dalam perjalanan menghentam bumi di masa depan.
Ini menjadikan plot filem Armageddon lebih mudah. Tidak perlu menghantar pekerja pelantar minyak menggerudi asteroid untuk menanam senjata nuklear. Sebaliknya angkasawan hanya perlu meletupkan senjata nuklear untuk menyelamatkan diri daripada dihentam asteroid.
Ledakan Teknologi Robot Humanoid

Selain mengejar model AI terkini dan pusat data AI angkasa lepas, teknologi yang menerima perhatian ramai awal tahun ini. Robot di China mencatatkan rekod berjalan paling jauh dengan satu caj bateri, semakin hampir memecahkan rekod larian 100 meter, dan memecahkan rekod maraton.
China menjadi negara yang paling bersemangat membangunkan robot humanoid. Seawal Februari lagi sebuah liga pertarungan robot – Ultimate Robot Knockout Legend – mirip Real Steel ditubuhkan di Shenzen. Kerana ia adalah trend hangat, Xiaomi dan BYD turut mengumumkan akan membina robot humanoid sendiri mengikut langkah Tesla.
Bagi memudahkan kawalan penggunaan robot humanoid masa hadapan, China mula memberikan ID digital kepada setiap robot menjadikannya negara pertama dunia melakukannya. Dalam filem fiksyen robot humanoid akan menyebabkan kepupusan manusia. Di dunia sebenar ia kini menjadi trend hangat dengan China semakin jauh ke depan.