Cari @ Amanz

Seminggu lalu kami menerbitkan artikel 10 perkara paling membanggakan dunia teknologi 2020. Kami mulakan dengan berita baik sebelum hari ini menyenaraikan pula berita kurang baik dalam dunia teknologi yang berlaku tahun lalu. Terlalu banyak untuk disenaraikan kesemuanya maka kami memilih 10 yang paling mengecewakan di bawah.

1.Pelancaran Rangkaian 5G Ditangguhkan Di Malaysia

U Mobile 5G

Tahun lalu hampir kesemua peranti yang dilancarkan di Malaysia mampu menyokong rangkaian 5G kerana pada asalnya teknologi selular terkini ini akan ditawarkan pada tahun 2021. Ramai yang merasakan membeli peranti 5G tahun lalu sebagai pelaburan yang baik. Tetapi kerana pelbagai komplikasi akibat Covid-19, kerajaan kini mengatakan rangkaian 5G akan dilancarkan pada penghujung 2022 atau awal 2023. Ini adalah mengecewakan kerana secara lazimnya Malaysia hanya terlewat setahun dan bukannya 2-3 tahun berbanding negara maju.

Kekecewaan ini hanya sedikit terubat kerana kerajaan kini menumpukan perhatian untuk mengembangkan kawasan rangkaian 4G terlebih dahulu. Wabak Covid-19 mendedahkan kerompongan serta jurang akses kepada Internet pantas sehingga tidak lagi boleh disorok. Kes Veveonah dan penduduk luar bandar perlu memanjat pokok semata-mata untuk menghadiri kelas atas talian cukup memalukan kerana ia berlaku pada tahun 2020 bukan 2010.

2.Kegagalan Dan Jurang Infrastruktur Internet Negara Terdedah

Seperti kami katakan di atas, pengenalan 5G di Malaysia tertangguh kerana wabak Covid-19. Kerajaan Malaysia akan menumpukan usaha untuk memperbaiki rangkaian 4G terlebih dahulu dan menjadikan Internet sebagai utiliti ketiga. Kesemua ini berlaku selepas Covid-19 menunjukkan “kemewahan rata dirasai bersama kita nikmati” dalam lagu Wawasan 2020 menyimpang dari realiti dunia sebenar.

Ramai anak-anak watan ketinggalan kerana tidak mampu menghadiri kelas atas talian kerana tiadanya capaian Internet yang pantas dan kekurangan peranti di rumah. Kami sendiri mendengar cerita seorang saudara yang mempunyai tiga orang anak yang terpaksa berkongsi satu peranti untuk menghadiri kelas atas talian. Kemudian OpenSignal menunjukkan kelajuan purata Internet selular di Malaysia juga adalah rendah sekitar 12.7 Mbps sahaja. Kelajuan yang tidak mencukupi untuk menikmati kelas atas talian dan semakin perlahan apabila berkongsi dengan beberapa peranti lain dalam rumah.

3.Pembatalan Pelbagai Acara Teknologi

Pembatalan acara besar seperti MWC, Photokina, Unpacked, dan banyak lagi menjadi berita besar sepanjang 2020. Sebagai wartawan teknologi, acara seperti ini menjadi tempat kami mengakses produk terkini lebih awal dari orang ramai. Dengan pembatalannya, produk hanya dapat dinikmati dari jauh sehingga sukar untuk memberitahu pembaca seperti anda sama ada ianya berbaloi ataupun tidak untuk dimiliki.

Kualiti pelancaran atas talian juga secara majoritinya amat mengecewakan. Audio dan visual kurang memuaskan dapat dilihat serta pembentangan yang kurang menarik. Apple harus diberikan pujian kerana boleh dikatakan satu-satunya pengeluar yang melakukan pelancaran atas talian yang menarik, lain dari yang lain, unik dan berjaya menarik minat.

Yang merisaukan bagi wartawan ialah mungkin pengeluar akan melihat produk mereka masih mendapat perhatian orang ramai tanpa menggunakan perantara. Mengapa berbelanja lebih untuk menerbangkan media sekiranya pelancaran atas talian mampu memberikan impak yang sama.

4. Cip Mercu Android Tewas Lagi Kepada Apple

Ketika artikel ditulis, Apple A 14 Bionic masih lagi pemproses paling berkuasa di pasaran sekarang. Walaupun sekadar dilengkapi 6 teras, untuk tiga tahun berturut-turut cip untuk iPhone dapat mengalahkan cip terbaik Android setakat ini iaitu Snapdragon 888. Harapan kini terletak di tangan Exynos 2100 keluaran Samsung.

Harapan yang tinggi diletakkan pada Exynos 2100 dan Snapdragon 888 kerana maruah Android yang sudah lama tercabar. Pengguna iPhone akan menggunakan markah penanda aras bagi membuktikan platform pilihan mereka adalah yang terbaik. Kesemua ini dilakukan dengan teras lebih sedikit dan saiz RAM yang lebih kecil.

5. Lenyapnya Huawei Sebagai Kuasa Besar

Huawei China

Mungkin ada di kalangan pembaca yang tidak menggemari Huawei kerana dilihat sebagai syarikat yang angkuh. Tetapi kita tidak boleh menafikan kemunculan mereka dalam arena telefon mudah alih memaksa syarikat lain untuk melakukan inovasi ke atas produk masing-masing. Hanya lapan tahun lalu mereka mengeluarkan siri Ascend yang dilihat sebagai peranti murah yang tidak berkualiti. Tetapi sejak bekerjasama dengan Leica menerusi siri P9 pada tahun 2016, landskap telefon mudah alih dunia berubah.

Mereka mempopularkan penggunaan dwi-kamera, mod malam terbaik di dalam kelas, zum periskop sehingga 30X, pengecasan berbalik dan banyak lagi. Samsung dan Apple yang lama selesa tanpa pencabar sebenar mula mengubah penawaran peranti mereka untuk kekal produktif. Malahan Huawei hampir memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar pada tahun 2019.

Dengan perniagaan telefon pintar Huawei kini dihalang oleh pelbagai halangan oleh Amerika Syarikat, terdapat ramalan mereka jatuh ke tangga ke-7 pada tahun 2020. Yang rugi ialah pemilik peranti Huawei yang tidak lagi mendapat sokongan sistem operasi Android terkini sehingga sekarang. Tanpa persaingan dari Huawei, tugas memberikan persaingan kepada Apple dan Samsung kini jatuh ke tangan pengeluar lain.

6.Peranti Semakin Mahal

Harga peranti di Malaysia meningkat naik tahun ini atas faktor ekonomi yang lemah dan juga komponen peranti yang semakin mahal. Buat pertama kalinya dalam sejarah, kos untuk cip pemproses dan sistem frekuensi radio menjadi komponen termahal peranti pada tahun 2020. Semuanya adalah kerana teknologi 5G yang mula diperkenalkan.

Kos turut meningkat kerana telefon pintar kini dilengkapi sehingga lima kamera dan harga kos sensor juga adalah tinggi. Pada peranti kelas permulaan sekalipun kita sudah dapat melihat penggunaan tri-kamera utama. Pada tahun 2021 kos peranti akan naik lagi dengan nilai Ringgit masih belum menunjukkan trend pemulihan. Maka oleh sebab itulah sebelum ini ada kami katakan tahun 2021 ialah tahun penting untuk Xiaomi kerana mereka sahaja yang mampu menawarkan peranti pada harga yang mesra ekonomik era wabak Covid-19.

7. Penyebaran Berita Palsu Tanpa Batas

Penyebaran berita palsu adalah isu besar sepanjang 2019 tetapi menjadi semakin serius sepanjang 2020 kerana mungkin yang ramai kebosanan di rumah. Masa yang terluang dihabiskan di atas talian dan menyebarkan mesej yang diterima di media sosial tanpa usul periksa menjadi mudah. Ketika Covid-19 masih lagi di peringkat awal, heboh berita kematian yang didakwa akibat virus ini disebarkan. Kerajaan tangkas mendakwa individu yang terlibat pada separuh tahun pertama 2020.

Penyebaran maklumat palsu berjaya dihalang seketika sebelum mencanak naik pada separuh tahun kedua. Sehingga kini kami boleh membuka laman media sosial dan membaca teori konspirasi Covid-19, 5G, anti-vaksin, Illuminati dan bumi leper bertebaran di susur masa. Langkah yang diambil pelbagai media sosial untuk menentangnya gagal kerana lebih tertumpu kepada berita bahasa Inggeris.

Tidak ramai yang ingin mengambil langkah pro-aktif memeriksa sebelum menyebar. Tambah kronik apabila ditegur kita pula dibantai kerana dikatakan diperdaya. Akibatnya kami mengibarkan bendera dan langsung tidak lagi peduli untuk membasmi kebathilan. Kita di Malaysia masih boleh bernasib baik kerana golongan “pencinta fakta alternatif” masih belum bertindak ganas. Di UK, lebih 100 menara telekomunikasi diserang kerana didakwa menyebarkan Covid-19 menerusi teknologi 5G. Sementara itu di Amerika Syarikat serangan bom telah dilakukan oleh pencinta konspirasi dan penyokong Q-Anon pula telah menyerang bangunan Capitol.

8.Google Photos Tidak Lagi Percuma

Antara berita yang paling mendapat komen tertinggi di Amanz apabila kami melaporkannya ialah Google Photos tidak lagi akan menawarkan storan tanpa had secara percuma bermula 1 Jun 2021. Pengumuman November lalu adalah mengejutkan kerana selama ini Photos adalah perkhidmatan storan atas talian yang menjadi pilihan ramai kerana ianya percuma.

Google mengesahkan selepas 1 Jun 2021, kesemua gambar, video, dokumen Docs dan emel Gmail akan menggunakan kuota data 15GB yang diberikan kepada semua pengguna. Pengguna Pixel juga tidak lagi diberikan layanan istimewa storan percuma tanpa had. Ramai pengguna Photos kini cuba mencari alternatif kepada Photos. Kami ada menerbitkan artikel beberapa alternatif yang boleh digunakan tetapi yang pasti selepas ini era perkhidmatan percuma akan berakhir.

9.Bonggol Kamera Telefon Semakin Besar

Kamera pada telefon pintar semakin kompleks dan menyertakan pelbagai ciri yang hanya lima tahun lalu langsung tidak disangka boleh dilakukan. Jumlah sensor pada kamera juga meningkat mendadak selari dengan keperluan pasaran. Satu trend tahun lalu yang cukup tidak kami senangi ialah bonggol yang semakin besar terutamanya pada peranti mercu.

OnePlus 8T edisi Cyberpunk, Poco M3, Samsung Galaxy S20 Ultra, Galaxy Note20 Ultra dan iPhone 12 Pro Max adalah sebahagian peranti yang sedar serta merta mempunyai panel belakang yang kini menyerupai unta. Imej pengolokan rasmi Galaxy S21 Ultra dan Mi 11 Pro telahpun mengesahkan bonggol yang besar akan terus wujud tahun ini. Malang sekali kepada bakal pembeli, penggunaan kerangka tebal akan menjadi norma baharu jika trend bonggol ini berterusan.

10. Selamat Tinggal Pengecas Percuma

Trend yang dimulakan Apple kelak menjadi bahan ketawa sebelum pengeluar lain turut akur menjadi tikus lemming. Ini dapat dilihat dari penggunaan USB, membuang pemacu cakera fizikal, takuk skrin dan bicu audio sebelum ini. Apple memulakan trend tidak menyertakan pengecas serta fon kepala dengan pembelian iPhone tahun ini. Kesemua model lama dan baru hadir dalam kotak lebih nipis atas nama mengurangkan pencemaran.

Xiaomi telah memulakan langkah nir-fon kepala sejak empat tahun lalu dan menerusi Mi 11 menjadi nir-pengecas juga. Setakat ini di China sekurang-kurangnya pengecas percuma akan diberikan berasingan kepada pelanggan yang memerlukannya. Samsung akan menyusul dengan Galaxy S21 kelak berdasarkan beberapa maklumat yang tertiris. Di atas ada kami katakan harga peranti menjadi semakin mahal tahun lalu. Tahun ini ia akan meningkat TANP pengecas. Ini satu lagi norma baharu yang tidak dapat dihalng dan perlu diterima semua pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd