Carian
12 Perkara Menarik Dalam Android 12
February 20, 2021 Fahim Zahar

Google baru sahaja memperkenalkan Android 12 baru-baru ini. Ia adalah sistem operasi baharu Google, yang mana akan membawakan lebih banyak perubahan berbanding Android 10 dan Android 11. Tetapi kali ini, Android 12 hanya ditawarkan kepada peranti Google Pixel terlebih dahulu. Masih tiada khabar sama ada ia boleh diuji pada peranti jenama lain seperti sebelum ini.

Antara perkara yang akan dibawakan adalah sokongan codec AV1 untuk fail-fail media. Ini akan menjimatkan ruangan storan sambil kekal dengan kualiti media yang tinggi. Sistem notifikasi serba baharu, sedikit perubahan antaramuka, serta kemampuan mengemaskini sistem terus dari Play Store. Dalam artikel ini akan saya kongsi kepada anda dua belas perkara menarik dalam Android 12.


1. Antaramuka Mesra Satu Tangan

Semasa Samsung memperkenalkan sistem operasi One UI yang lebih mesra penggunaan satu tangan untuk peranti dengan skrin bersaiz besar. Selepas Samsung mempopularkan antaramuka ini, OnePlus juga mula dilihat menggunakan konsep yang sama. Bahagian atas mempunyai ruang lebar dengan saiz teks besar, diikuti dengan kandungan selebihnya di bahagian bawah.

Untuk Android 12, antaramuka ini atau dikenali sebagai silky home kini ditawarkan secara terbina. Ia perlu diaktifkan dalam tetapan pembangun, tetapi untuk Google sendiri terus tawarkan dalam sistem operasi mereka, ini adalah perkara yang baik. Kita tahu yang Samsung sejak kebelakangan ini banyak bekerjasama dengan Google – termasuk Galaxy Fold pertama yang ketika itu Android belum lagi menyokong peranti seperti itu tetapi Samsung telah berjaya hasilkannya.

Jadi tidak pasti jika ini kerjasama dengan Samsung atau Google tiru Samsung.

2. Kemaskini Sistem Melalui Play Store

Ini mungkin bukan perkara besar untuk semua orang. Tetapi ia adalah kaedah mudah untuk mengedarkan kemaskini dengan saiz yang lebih kecil, kaedah pengedaran yang lebih pantas serta penggunaan data yang kurang. Ia adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat.

ART kini sebahagian dari modul Project Mainline. Melaluinya Google akan mempunyai lebih kawalan terhadap perisian. Ini bermakna, pengeluar peranti tidak perlu melakukan sebarang modifikasi untuk aplikasi-aplikasi berjalan pada peranti mereka. Sebaliknya, Google mungkin boleh terus berikan kemaskini ini melalui Play Store sahaja.

3. Sistem Notifikasi Yang Lebih Hebat

Sejak Android 10 dan Android 11, Google bersungguh-sungguh membawakan sistem pemberian notifikasi yang lebih mudah, efisien, membantu pengguna dan lebih banyak maklumat dapat dipaparkan. Sekali lagi dalam Android 12, Google memfokuskan juga kepada notifikasi. Antaranya apabila notifkasi ditekan, aplikasi akan lebih pantas dibuka.

Pertama sekali, notifikasi yang dipaparkan di talam notifikasi kini mempunyai lebih banyak kandungan dan informasi dapat dilihat. Ini kerana, Google menggunakan perubahan rekaan sedikit agar ia tampak lebih moden serta dengan menggunakan saiz teks dan ikon yang lebih kecil – lebih banyak kandungan dapat dimuatkan. Butang snooze baharu turut disertakan yang mana boleh membisukan notifikasi selama 15/30 minit atau 1/2 jam.

Warna latar belakang juga sudah berubah, jika mod cerah ia akan menjadi kebiru-biruan dan mod gelap tidak lagi berwarna hitam OLED – sebaliknya kelabu gelap. Ini mungkin berkaitan dengan khabar mengenai sistem tema baharu.

4. Sokongan Codec AV1

AV1 adalah salah satu format video baru yang memfokuskan kepada penawaran video melalui internet yang terbuka dan bebas-royalti. Ia dibangunkan untuk meneruskan kejayaan format video VP9, selain bersaing dengan format video popular H.265/HEVC. Fokus utama AV1 adalah untuk penjimatan data sambil mengekalkan kualiti yang baik.

YouTube sudah mula menggunakannya, Android TV, perkhidmatan Google lain yang ada video/imej turut menggunakan codec ini dan Netflix juga sama. Untuk Android 12, ia kini menyokong format fail AVIF untuk imej. Imej ini menggunakan teknik memampat video, yang mana saiz fail adalah kecil tetapi kualiti adalah jauh berbeza dan lebih baik.

5. Perkongsian WiFi

Sejak Android 10, Google mula menawarkan klon AirDrop – iaitu Nearby Share. Ia adalah satu sistem perkongsian fail yang pantas dan mudah digunakan. Baru-baru ini, Nearby Share mula menyokong perkongsian aplikasi dari Play Store dan boleh digunakan tanpa Internet.

Android 11 sudah pun memudahkan pengguna berkongsi WiFi melalui kod QR. Dalam Android 12, bukan sahaja ia akan dipaparkan dalam bentuk kod QR – tetapi pengguna boleh terus kongsi dan penerima boleh terus sambung ke WiFi dengan perkongsian melalui Nearby Share.

6. Pemain Media Di Talam Notifikasi/Kunci Skrin Yang Lebih Spesifik

Jika anda buka sahaja video atau muzik pada peranti Android, pemain media akan muncul di talam notifikasi dan juga kunci skrin. Pemain media ini adalah untuk semu tidak kira apa aplikasi anda buka ia akan dipaparkan, termasuk Chrome atau laman-laman web yang spesifik.

Terkini dengan Android 12, pengguna boleh tetapkan sendiri aplikasi apa yang boleh mengakses pemain media ini. Ini bukan bermakna media dari sesuatu aplikasi itu terus dihalang. Ia cuma akan dihalang di talam notifikasi dan kunci skrin sahaja. Ini bagi memudahkan pengguna setia dengan jumlah aplikasi media yang terhad berbanding segalanya dipaparkan.

Pengguna hanya perlu tekan ikon “audio” di mana boleh memilih sumber media yang akan dimainkan. Lebih kurang seperti iOS.

7. Kawalan Gestur Skrin Penuh Yang Lebih Mesra Pengguna

Ikon Android 10

Android jika ditetapkan di mod landskap dan skrin penuh, kawalan gestur akan sukar untuk digunakan. Contoh, anda sedang bermain permua atau memainkan video dari pelayar web pada skrin penuh – tatal kembali akan padam mod skrin penuh dan tatal sekali lagi baru ia kembali.

Terkini, satu tatal adalah kembali.

8. Mod Permua Terus Terbina Secara Natif

Sejak Android 10, sistem operasi ini mula memfoksukan kepada permainan video. Ini kerana Google mempunyai platform penstriman permainan video – Stadia. Tetapi bagi pengguna yang tiada akses Stadia, alat kawalan permainan seperti Xbox atau PlayStation DualShock boleh ditambat pada peranti Android 10. Selain awal kawalan Stadia yang boleh digunakan melalui WiFi.

Alat kawalan PlayStation DualSense, mempunyai sokongan haptik yang gila hebat dan cuba memberikan pengalaman seakan rasa sesuatu di dunia sebenar. Ini adalah antara langkah awal game mode untuk tiba secara natif.

Dalam Android 12 ada kod  haptic-coupled audio effect(s) yang membawa maksud pengguna boleh mengguna audio untuk diselarikan dengan getaran. Ini adalah sama seperti peranti Xperia yang ada sokongan ini. Kemudian Android 12 turut boleh mengenalpasti sistem getaran alat kawalan, agar permainan yang sedang dimainkan turut mempunyai kesan ini ketika menggunakan apa jua jenis alat kawalan.

9. HEVC Disokong Pada Aplikasi Yang Tidak Menyokong

HEVC atau H.265 adalah codec yang menggantikan AVC, H.264 atau MPEG-4 10 yang lebih digunakan secara meluas. Berbanding dengan AVC, ia memampatkan 25%-50% data dengan mengekalkan kualiti. Ia juga menyokong video beresolusi 8K. Tetapi pada peranti Android, tidak banyak aplikasi yang menyokong fail media ini.

Dalam Android 12, mana-mana fail HEVC yang tidak boleh dibuka oleh sesebuah aplikasi – fail ini akan diubah kepada format AVC. Menurut Google, pada Pixel 4 fail video 1080p 30fps HEVC boleh diubah ke AVC dalam masa 9 saat. Perkara ini turut membenarkan para pembangun untuk hadir dengan aplikasi mengubah format seperti ini dengan mudah.

10. Penggunaan Satu Tangan Seakan iPhone

Sejak Android 10 lagi, banyak yang fungsi dan ciri diambil inspirasi dari iOS. Perkara ini tidak terkejut, kalau iOS oleh tiru Android – kenapa Android tidak boleh tiru iOS?

Salah satu ciri yang jelas sekali mirip iOS adalah, penggunaan satu tangan baharu Android 12. Mod penggunaan satu tangan Android 12 adalah dengan mengecilkan tetingkap separuh ke bawah, sama seperti yang anda lihat dalam iPhone. Google tidak megikut kebanyakan peranti Android lain seperti tetingkap terapung atau dikecilkan ke penjuru. Untuk kembali ke skrin penuh, tekan sahaja ruangan kosong di bahagian atas.

Tidak dinafikan yang penggunaan seperti ini adalah amat mudah. Dengan penawaran secara natif, kelas penggunaan satu tangan ini akan menjadi lebih baik, ditambah lagi dengan idea kreatif pengeluar peranti – pasti menakjubkan.

11. Tangkapan Layar Yang Lebih Baik

Android asli tidak mempunyai sokongan tangkapan layar yang menarik. Biasanya pengeluar peranti akan menawarkan sokongan yang lebih hebat dan memudahkan pengguna seperti kemampuan terus menyunting, tangkapan layar memanjang, kawalan gestur dan banyak lagi.

Terkini dalam Android 12, tangkapan layar mempunyai kemampuan menyunting seperti menambah teks, emoji, selepas melakukan tangkapan layar ia boleh ditatal ke tepi agar tidak mengganggu skrin dan kelak mungkin akan menyokong scroll screenshot. Cuma sekarang ia tidka berfungsi dengan baik lagi.

12. Pengurusan Memori Yang Lebih Baik

Dalam memastikan sistem operasi ini semakin pantas dan lancar, Google turut mengubah cara aplikasi di latar bertindak. Dalam Android 12, sistem akan menghalang sesuatu aplikasi menjalankan perkhidmatan di latar belakang. Ini kerana Google memperkenalkan sistem baharu JobScheduler, untuk memastikan semua aplikasi boleh berjalan dengan baik dan walaupun bateri lemah – prestasi tidak terjejas.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan yang aplikasi ingin jalankan di latar juga akan dilewatkan prosesnya selama 10 saat. Secara tidal langsung aplikasi akan berjalan dengan lebih pantas atau seperti yang disebut di bahagian atas – apabila notifikasi ditekan aplikasi boleh terbuka dengan lebih pantas tanpa sela masa.


Ada banyak lagi yang Google belum dedahkan. Antaranya yang kita denngar dari khabar angin, ada juga yang ditemui dari kod AOSP dan pelbagai perkara menarik seperti sokongan hibernasi aplikasi, memudahkan penggunaan gedung aplikasi lain selain daripada Play Store, sokongan multi-tugasan baharu, auto-putar mengikut posisi wajah pengguna, kustomasi tema yang lebih mendalam atau juga perubahan antaramuka serba baharu.

Android 12 seperti biasa akan ditawarkan kepada peranti Google Pixel terlebih dahulu. Terdapat tiga fasa iaitu tiga kali fasa pembangunan (berbaki lagi dua), empat fasa percubaan dan sekitar selepas Ogos 2021 – barulah versi stabil akan diperlihatkan.

Jadi, apa kata anda mengenai Android 12 ini? Adakah ianya cukup menarik? Pada hemat saya sendiri, jika benar antaramuka nanti berubah sepenuhnya – ini adalah satu perkara yang saya tidak sabar untuk cuba apabila sudah stabil.

Komen