Sony Xperia Pro-I diumumkan minggu ini sebagai kamera digital Alpha dalam bentuk sebuah telefon pintar mercu. Sensor 1″ dari siri kamera RX100 dipadankan dengan cip pemprosesan imej Bionz X membuatkan gimik jualan yang digunakan Sony kali ini bukanlah janji kosong. Bagi menyokong Xperia Pro-I, aksesori untuk videografi ditawarkan seperti skrin Vlog dan pemegang dengan kawalan kamera terbina.
Ini sebenarnya bukan aksesori paling unik pernah ditawarkan dalam sejarah telefon pintar. Mari lihat 10 aksesori rasmi unik lain yang pernah ditawarkan. Kami memberikan tumpuan kepada aksesori rasmi sahaja kerana jika aksesori tidak rasmi diambil kiri, senarai ini akan menjadi terlalu panjang.
1. Motorola – Moto Mods Walkie Talkie, Alexa, 5G, Mesin Pencetak, Kamera Hasselblad dan Banyak Lagi

KIta mulakan dengan peranti dengan koleksi aksesori modular paling dikenali ramai. Aksesori Moto Mods ditawarkan dalam bentuk kamera Hasselblad (sebelum OnePlus melakukannya tahun ini), speaker terbina, pek bateri nirwayar (sebelum Apple), projektor mini, modul 5G, walkie talkie, mesin pencetak gambar, papan kekunci fizikal, dan speaker pintar Alexa. Kesemua aksesori yang dihasilkan adalah unik semasa Moto Mods diumumkan pada tahun 2016 untuk peranti dalam siri Motorola Moto Z.
Malang sekali pada waktu tersebut idea penggunaan peranti dengan sokongan aksesori modular tidak mendapat sambutan dari pengguna. Sokongan diberikan sehingga 2018 sebelum peranti dalam siri Moto Z dihentikan jualannya pada tahun 2019. Sepert HTC, Motorola terlalu awal melancarkan produk yang kemudiannya dipopularkan oleh Apple menerusi aksesori modular MagSafe mereka sejak tahun lalu. Apple lebih praktikal dengan aksesori MagSafe seperti pek bateri dan tempat simpanan kad kredit.
HTC – Mini+

HTC Mini+ ialah aksesori yang mengejutkan kerana agak tidak masuk akal. Apabila dijual bersama HTC One M8, ia dipasarkan sebagai telefon yang ditambat kepada sebuah telefon pintar. Telefonception bagi mereka yang mungkin tidak mahu menjawab telefon menggunakan telefon pintar. Selain menjadi telefon tambahan, Mini+ turut boleh mengawal aplikasi kamera, menjadi alat kawalan jauh dan penunjuk laser bagi melakukan pembentangan. HTC mempunyai sejarah menawarkan aksesori yang di luar kotak dan Mini+ mungkin antara yang paling aneh pernah ditawarkan oleh mereka.
Samsung – Papan Kekunci QWERTY Fizikal

Selepas iPhone dilancarkan, telefon dengan papan kekunci fizikal mula diancam kepupusan. Kita kini di tahun 2021 dan tiada pengeluar telefon pintar utama dunia menawarkan telefon pintar dengan papan kekunci fizikal. Blackberry cuba kembali dengan KeyOne empat tahun lalu tetapi selepas menerima sambutan baik dari peminat (dalam jumlah yang kecil) peranti kemudian kembali pupus seperti pengakhiran zaman Cretaceous.
Pada tahun 2015, Samsung cuba menarik minat pengguna yang masih belum bersedia menggunakan telefon pintar sesentuh sepenuhnya dengan aksesori papan kekunci fizikal untuk Galaxy Note 5 dan S6 Edge+. Ia diletakkan pada bahagian bawah skrin dengan keseluruhan antaramuka kemudian dinaikkan ke atas. Apabila tidak diperlukan, papan kekunci boleh ditanggalkan dan diputarkan ke belakang untuk kembali menggunakan skrin penuh. Dengan aksesori ini tidak lagi ditawarkan sekarang, bolehlah dirumuskan ia aksesori yang kurang mendapat sambutan ramai.
LG – LG Hi-Fi Plus with B&O PLAY DAC

Satu lagi inovasi LG yang sebenarnya menarik tetapi hadir terlalu awal ialah aksesori DAC LG Hi-Fi Plus with B&O PLAY untuk LG G5. Aksesori modular ini menyertakan DAC terbina untuk menikmati audio beresolusi tinggi dengan kerjasama B&O. Semasa dilancarkan pada tahun 2016, masih tiada perkhidmatan penstriman yang menawarkan audio beresolusi tinggi.
Oleh itu hanya pencinta audio sebenar yang ingin mendengar audio FLAC. Sejak setahun yang lalu permintaan untuk DAC meningkat kerana akhirnya audio resolusi tinggi ditawarkan oleh Apple Music dan Tidal. LG Ialah antara sebilangan kecil pengeluar yang menyertakan DAC secara terbina pada telefon pintar mereka. Malang sungguh mereka telah mengibarkan bendera putih di waktu DAC diperlukan sekarang.
RED – Hydrogen Lithium 3D/4V

Banyak syarikat menawarkan aksesori kamera tambahan bagi meningkatkan kemampuan fotografi telefon pintar yang dikeluarkan. Tetapi RED menawarkan aksesori yang paling melampau menerusi Lithium 3D/4V untuk telefon Hydrogen One. Aksesori ini memberikan sokongan rakaman video pada resolusi 8K dengan sokongan 3D dan 4V. 4V ialah format video 3D yang digunakan RED untuk dipaparkan pada skrin Hydrogen One.
Setahu kami aksesori ini hanya diperlihatkan kepada umum tetapi tidak sempat dijual selepas Hydrogen One gagal kerana terdapat pelbagai masalah prestasi. Hydrogen Two diumumkan sebelum dibatalkan secara mengejut sehingga pengasas syarikat terpaksa meletakkan jawatan. Kegagalan RED tidak menamatkan era pengeluar kamera menawarkan telefon mereka sendiri. Leica menjual telefon pintar pertama mereka tahun ini dengan sensor 1″ tetapi tanpa aksesori tambahan yang ekstrem seperti RED.
Samsung – Gear VR

Pada tahun 2014, Samsung Gear VR dilancarkan dengan kerjasama Oculus. Pada waktu tersebut Oculus baru diambil alih oleh Facebook dengan peranti masih memerlukan sambungan kepada sebuah PC yang berkuasa. Kini Oculus sudah tidak lagi menyokong peranti Samsung dan menawarkan set realiti maya kendiri. Zuckerberg kini bersedia untuk menjenamakan semula Facebook untuk duniameta baharu menggunakan peranti Oculus.
Semua ini bermula dengan Samsung Gear VR yang harus diberikan pengiktirafan sebagai peranti realiti maya paling popular di dunia setahun selepas dilancarkan. Memang ia diberikan percuma kepada pembeli peranti Samsung tetapi bagi orang ramai, Gear VR ialah peranti realiti maya pertama yang mereka cuba sekaligus menunjukkan potensi realiti maya untuk hiburan.
LG – Skrin Sekunder

Skrin sekunder ditawarkan oleh LG untuk peranti siri V60 sebagai jawapan kepada Samsung, Huawei dan Royole melancarkan telefon dengan skrin boleh-lipat. Ia meminjam idea dari Kyocera Echo dengan dua skrin boleh digunakan secara serentak bagi mereka yang memerlukan saiz skrin lebih besar. Idea ini kemudiannya dipinjam pula oleh Microsoft Surface.
Tiada sebab munasabah untuk aksesori skrin sekunder ini dan kami melihatnya sebagai usaha terakhir LG untuk menarik pengguna yang telah berhijrah ke jenama lain. Skrin sekunder ini kemudiannya menjadi asas kepada LG Wing dengan skrin berputar. Sekali lagi usaha LG tidak mendapat sambutan mengakibatkan mereka keluar daripada pasaran peranti pintar sepenuhnya.
Essential – Modul Kamera 360 Darjah

Masihkah anda ingat dengan kegilaan menghasilkan kandungan 360 darjah? Di China Protruly Darling sebuah telefon dengan kamera 360 terbina telah dilancarkan tetapi tidak pernah dijual di luar negara tersebut. Essential PH1 ialah telefon pertama dilancarkan oleh Andy Rubin. Peranti adalah sangat minimalis dengan pelbagai ciri tambahan ditawarkan dalam bentuk aksesori.
Kamera 360 darjah adalah antara yang ditawarkan dengan sambungan kepada panel belakang Essential PH-1 menggunakan magnet. Sistem yang digunakan oleh Essential mungkin adalah yang paling kompleks tetapi kelihatan cantik. Honor kemudian menjual aksesori kamera 360 darjah mereka yang lebih murah dan kecil dengan sambungan terus kepada port USB-C. Di tahun 2021, minat menghasilkan kandungan 360 darjah sudah menurun dengan pengeluar peranti kini memberikan tumpuan kepada kemampuan kamera sinematik pula.
Sony – X Mount

Setakat ini banyak aksesori yang kami paparkan adalah gimik atau tidak begitu berguna. Tetapi X Mount oleh Sony adalah aksesori yang sangat berguna sekarang dengan permua sudah menjadi popular. Dengan X Mount, sebuah telefon Xperia boleh disambungkan terus kepada sebuah pengawal permainan DualShock 4. Sepanjang pandemik ini saya menghabiskan banyak masa mengisi kebosanan dengan sesi permua. Ini ialah aksesori yang dahulunya saya rasakan membazir tetapi kini amat perlu kerana menjadikan pelbagai permua lebih mudah dimainkan.
Huawei – Kerangka Menyelam

Xperia Pro-I mempunyai skrin vlog tetapi Huawei mahukan peranti mereka digunakan dalam situasi lebih mencabar. Oleh itu kerangka rasmi untuk penyelam dikeluarkan untuk siri P40 dan Mate 30. Kerangka membolehkan telefon pintar digunakan sehingga ke dalam 10 meter. Butang-butang pada kerangka membolehkan gambar ditangkap serta kawalan zum seakan kamera digital digunakan. Kerana Huawei telah mengeluarkannya terlebih dahulu, kini Sony perlu juga menghasilkan kerangka ini bagi membolehkan telefon dengan kemampuan kamera terbaik mereka juga boleh dibawa menyelam.