10 Pengumuman Terbaik Di MWC Barcelona 2022

Diterbitkan pada Mac 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

MWC Barcelona telah berakhir dengan acara tahun ini adalah pada skala yang lebih kecil jika dibandingkan dengan zaman sebelum pandemik. Skala mungkin kecil tetapi pengumuman yang dilakukan oleh pelbagai syarikat teknologi ternama sepanjang acara masih lagi meninggalkan impak yang besar kepada industri. Berikut ialah 10 pengumuman terbaik yang telah dilakukan di MWC Barcelona 2022.

1.Honor Magic4 Pro Dilancarkan

Tidak banyak peranti baharu global dilancarkan di MWC kerana ia telah dilakukan lebih awal. Honor mengambil ruang vakum yang ditinggalkan oleh Huawei dan melancarkan Honor Magic4 dan Magic4 Pro dengan bukan sahaja spesifikasi tahap mercu tetapi sistem kamera kompleks yang menarik.

Berdasarkan pandang pertama kami, Magic4 Pro akan menjadi peranti yang cukup hebat bagi memberikan persaingan kepada S22 Ultra dari segi kemampuan kamera. Honor Malaysia sudahpun mengacah Magic4 Pro akan ke pasaran tempatan. Huawei mungkin sudah terkeluar dari senarai lima pengeluar peranti utama dunia tetapi bagi peminat mereka Honor mampu menawarkan peranti dengan pengalaman serta ciri yang setanding.

2.HTC Kembali Ke Arena Peranti Mercu

Sudah lebih tiga tahun menarik diri dari mengeluarkan peranti mercu (HTC U12+ dan Exodus dilancarkan pada tahun 2018), HTC dilaporkan akan kembali menawarkan peranti mercu tahun ini. Kembalinya mereka ke pasaran ini adalah penting kerana tanpa HTC peranti Android mungkin tidak wujud.

HTC tanpa peranti mercu ialah seperti Mercedes hanya mengeluarkan kereta kompak dengan enjin 1 liter. Canggung sekali tanpa kehadiran mereka oleh itu kami menantikan kembalinya High Tech Computer Corporation setelah sekian lama menghilang, apakah teknologi baharu yang bakal mereka bawakan kelak? Jawapannya mungkin diketahui seawal April ini.

3.Realme Memberikan Sokongan Kemas Kini Tiga Versi Android

Sebelum ini Realme berkeras hanya akan memberikan sokongan kemas kini versi Android selama dua tahun sahaja pada peranti mercu yang tidak setanding penawaran Oppo, Xiaomi, Samsung dan Google. Di MWC Realme akhirnya akur dengan tekanan pasaran dan akan memberikan sokongan tiga versi Android bermula dengan siri Realme GT 2.

Memang pada waktu ini sokongan hanya diberikan pada peranti mercu sahaja dan kita hanya boleh berharap peranti lain turut akan menerima sokongan yang sama. Samsung dahulupun hanya menyokong peranti mercu tetapi kini sokongan yang lebih lama turut diberikan kepada siri Galaxy A. Sebarang pengumuman yang menguntungkan pengguna perlu disambut baik.

4.Oppo Dan Realme Melancarkan Sokongan Pengecasan Sehingga 240W

Oppo dan Realme adalah dua syarikat di bawah payung BBK Electronics. Oleh itu apabila kedua-duanya memperlihatkan sistem pengecasan adipantas masing-masing di MWC ia adalah tidak mengejutkan. Oppo secara rasmi melancarkan 150W SuperVOOC yang akan digunakan pada peranti mereka tahun ini dan prototaip pengecasan 240W yang boleh mengecas bateri dalam masa hanya 9 minit!

Sementara itu Realme UltraDart dengan kuasa sehingga 200W mampu mengecas bateri ke tahap 50% dalam masa hanya lima minit. Teknologi ini turut dioptimasikan untuk mengekalkan 80% kesihatan kapasiti bateri selepas pengecasan lebih 1000 kali. Selain itu, ia turut menyertakan pengoptimasian bagi memastikan suhu sentiasa kekal di bawah 43 darjah. Syarikat China kini menjadi pelopor teknologi pengecasan pantas. Dalam masa terdekat era menanti lama untuk peranti mengecas akan berakhir.

5.OnePlus 10 Akan Mengekalkan OxygenOS

Apabila OnePlus kembali ke dalam lipatan Oppo ramai yang telah menanti untung menjunjung keranda mereka memandangkan kod sumber OxygenOS akan digabungkan dengan ColorOS. Pengumuman peranti OnePlus di China akan menggunakan ColorOS sebelum produk global menyusul menimbulkan kemarahan penyokong setia di media sosial.

Di MWC, OnePlus mengesahkan pembangunan OxygenOS akan diteruskan dengan ia akan mengekalkan pengalaman sistem operasi yang sehampir mungkin dengan Android stok. Berdasarkan komen yang dilihat di media sosial, keputusan pusingan U OnePlus disambut baik. OxygenOS terus hidup dengan peranti terkini mereka turut akan kekal ke pasaran global.

6.Qualcomm S5 dan S3 Membawakan Audio Nirhilang Secara Nirwayar

Kekurangan peranti audio nirwayar ialah ia tidak boleh digunakan untuk menikmati audio nirhilang pada kualiti cakera padat pada waktu ini. Lebar jalur tidak cukup besar untuk menampungnya. Qualcomm mengumumkan cip Qualcomm S5 dan S3 yang akan menyelesaikan isu ini dengan sokongan bluetooth 5.2. Dengan Apple Music menawarkan audio nirhilang, platform penstriman lain dijangka mengikut langkah mereka dan oleh itu aksesori audio yang

7.Lenovo ThinkPad X13s – ThinkPad Pertama Dengan Snapdragon 8cx Gen 3

Dua tahun lalu ThinkPad dengan skrin boleh lipat dilancarkan. Tahun ini ThinkPad X13s – yang pertama dengan Snapdragon diumumkan. Sebagai komputer kerja golongan profesional, penggunaan cip Snapdragon 8cx Gen 3 seolah memberikan kepercayaan bahawa cip ARM mampu menawarkan prestasi yang sama dengan cip X86 yang digunakan ThinkPad selama ini.

Komputer riba masih mengekalkan ciri tahan lasak melepas piawaian ketenteraan MIL STD 810G, papan kekunci ikonik dan Trackpoint. Dengan penggunaan cip Qualcomm, X13s menyokong rangkaian 5G mmWave yang pantas pada sebuah komputer riba.

8.Huawei MatePad Paper Dengan Skrin E-ink

Bagi meneruskan perniagaan, Huawei mula mengeluarkan produk yang hanya tiga tahun yang lalu tidak akan dipasarkan oleh mereka. Di MWC Barcelona, Huawei MatePad Paper dilancarkan dengan skrin e-ink dan sokongan stylus. Pasaran untuk tablet skrin e-ink masih lagi kecil dengan pada waktu ini ia didominasi oleh Amazon Kindle. Pegenalan produk seperti ini menarik kerana menunjukkan Huawei kini berani bereksperimentasi dalam segmen baharu.

9.Lenovo Legion Y90

Legion Y90

Peranti untuk permua Lenovo Legion Y90 telah diumumkan secara rasmi dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Rekaan tahun ini lebih konservatif kerana tidak lagi melampau tetapi ia unik kerana menggunakan storan RAID 0 yang menawarkan prestasi membaca dan menulis yang pantas. Permua kini ialah segmen menyumbang kepada keuntungan terbesar industri permainan video dan peranti seperti Legion Y90 yang dahulunya dianggap niche kini sudah mula dianggap sebagai normal dan mendapat sambutan pengguna yang inginkan sebuah “konsol” mudah alih.

TLC Melancarkan Skrin Boleh Lipat 360 Darjah

Akhir sekali TCL telah memperlihatkan prototaip peranti skrin boleh-lipat 360 darjah. Ini membolehkan TCL 360-degree Ultra Flex melipat ke dalam seperti sebuah Z Fold3 dan melipat keluar seperti sebuah Mate X. Dengan sistem engsel hibrid ini, pengguna boleh memilih bagaimana skrin peranti boleh dilipat.

TCL banyak memperlihatkan peranti konsep boleh-lipat mereka sejak 2020 tetapi sehingga kini tidak ada satupun dipasarkan. Satu peranti seakan Z Fip iaiatu TCL Project Chicago telah dibatalkan kerana kos pengeluarannya yang terlalu tinggi. Inovasi dalam dunia teknologi memang dialu-alukan tetapi masih perlu praktikal terlebih dahulu.

komen


© Amanz / 2022 Kami