Membina Peranti Sempurna 2023 – Gabungan Pelbagai Jenama Seperti Pembentukan Malaysia
Effi Saharudin
Kita sudah tiba ke Q3 2023 dengan majoriti peranti-peranti mercu telahpun dilancarkan oleh Apple, Samsung, Xiaomi, Oppo, OnePlus, Vivo, Huawei dan Honor. Yang belum dilancarkan hanyalah Google belum melancarkan siri Pixel 8. Tetapi Google tidak pernah menawarkan peranti mereka di Malaysia maka kami abaikan penawaran mereka tahun ini.
[info] Membina Peranti Sempurna 2018 – Ini Komponen-Komponen Pilihan Kami [/info]
Kali terakhir kami menghasilkan peranti sempurna ialah pada tahun 2018. Sudah agak lama siri ini tidak dihasilkan maka sempena Hari Malaysia esok kami menghidupkannya semula. Seperti Malaysia adalah hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura, peranti sempurna hipotetikal kami akan menggabungkan komponen-komponen terbaik yang kami pilih daripada pelbagai pengeluar telefon pintar.
Kerangka – iPhone 15 Pro Max

Kerangka titanium iPhone 15 Pro Max menjadi pilihan kami kerana ia memberikan ketahanan tertinggi dan pada waktu yang sama mengurangkan berat. Ia juga nampak lebih “seksi” berbanding bingkai aluminium biasa. Apple bukan syarikat pertama menggunakan logam eksotik yang selama ini digunakan pada pesawat tempur SR-71 Blackbird dan kapal selam penyerang nuklear Alpha. Dalam dunia telefon pintar Essential PH-1 dan Vertu Signature Touch adalah dua yang terawal dengan tubuh titanium. Untuk menjadi peranti sempurna ia perlu mempunyai elemen tahan lasak yang melangkaui telefon pintar biasa.
Skrin – Samsung Galaxy S23 Ultra

Samsung ialah pengeluar skrin terbaik di pasaran sekarang. Panel Samsung Galaxy S23 Ultra pada hemat kami kelihatan seperti sebuah TV pintar Samsung dalam saiz kecil. Visual nampak hidup dengan warna paling cantik serta mempunyai keterangan yang tinggi untuk digunakan dalam situasi matahari paling terik.
Kalau skrin iPhone, Vivo, Oppo, Asus dan Xiaomi digunakan sekalipun, kesemua pengeluar ini menggunakan skrin keluaran Samsung Display. Oleh itu kami merasakan baik pilih sahaja skrin S23 Ultra kerana kami tidak bertemu lagi pemilik peranti yang tidak berpuas hati dengannya.
Pemproses – Apple A17 Pro

Semalam markah penanda aras Apple A17 Pro muncul di Geekbench 6 mengesahkan statusnya sebagai pemproses dengan CPU paling berkuasa 2023. Ia mencatatkan sekitar 10% peningkatan prestasi berbanding A16 Bionic tetapi sehingga 44% lebih tinggi berbanding Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang merupakan cip terbaik untuk peranti Android. Melihat kepada sejarah cip siri A, tahun hadapan Snapdragon 8 Gen 3 mungkin masih tidak boleh menandingi A17 Pro.
Cip ini sungguh berkuasa sehingga permainan PC/konsol Resident Evil 4, Resident Evil Village, Death Stranding, dan Assassin’s Creed Mirage akan dapat dimainkan terus pada iPhone 15 Pro. Tiada peranti Android lain yang mampu melakukannya pada waktu ini. Jelas komponen cip pemproses terbaik hanya satu sahaja dan ia adalah Apple A17 Pro.
RAM – 24GB RAM LPDDR5X

2023 akan menjadi tahun saiz RAM yang ditawarkan pada telefon pintar akhirnya mencecah 24GB RAM. Redmi K60 Ultra, OnePlus Ace 2 Pro dan Realme GT5 adalah tiga contoh peranti dengan saiz melampau dilancarkan tahun ini. Adakah saiz RAM besar ini gimik? Kami boleh katakan ya. Tetapi dalam membina sebuah peranti sempurna kita tidak boleh lokek dengan komponen yang ingin digunakan. Oleh itu memori 24GB LPDDR5X menjadi pilihan kami.
Storan – 1TB UFS 4.0

Ura-ura telefon pintar 2TB akan menjadi realiti tahun ini masih belum menjadi realiti. Tetapi Samsung, Apple, Honor, Xiaomi dan OnePlus kesemuanya menawarkan storan ini pada model mereka yang paling mercu. Apa yang kami sedari adalah storan UFS 4.0 memang amat pantas dengan proses pemasangan aplikasi kini boleh berlalu sekelip mata dengan bantuan internet 5G pantas. Untuk peranti sempurna 2023, storan 1TB UFS 4.0 adalah perlu. Bonus sekiranya terdapat sokongan menambah memori 1TB lagi menggunakan kad mikro SD seperti pada Sony Xperia 1 V.
Kamera – Xiaomi 13 Ultra

“Kamera terbaik” ialah topik perbualan yang hangat di Amanz. Saya secara peribadi sukakan sistem kamera S23 Ultra kerana ia paling konsisten dengan sistem zum paling stabil sehingga 100X. Tetapi saya juga akur bahawa tidak semua orang sukakan warna Samsung dan kamera mempunyai shutter lag.
Kamera Sony Xperia 1 V mantap dengan sensor 1″ tetapi aplikasi kameranya terlalu kompleks seperti kamera digital Sony Alpha. Tanpa asas fotografi kamera Sony Xperia 1 adalah mustahil digunakan orang kebiasaan. Oleh itu kamera Xioami 13 Ultra menang secara lalai kerana kombinasi 50MP sudut lebar 1″, 50MP ultra sudut lebar, 50MP telefoto 5X dan 50MP telefoto 3.2X. Dari segi kemampuan ia paling versatil dalam pelbagai situasi. Ia juga boleh melakukan zum 120X.
Video – iPhone 15 Pro Max

Untuk fotografi Xiaomi menjadi pilihan tetapi dari segi rakaman video kami harus memilih kemampuan iPhone 15 Pro Max. Ia boleh melakukan rakaman ProRes 4K 60p HDR terus ke sebuah SSD yang disambungkan menerusi port USB-C. Ciri ini sama seperti sebuah kamera videografi profesional di pasaran. Video dirakam menggunakan iPhone 15 Pro Max juga melepasi piawaian ACES serta dalam mod 3D spatial untuk set kepala Vision Pro. Tiada peranti lain di pasaran mempunyai kemampuan sebaik peranti ini.
Audio – ASUS ROG Phone 7 Ultimate

Audio sering dianaktirikan pada telefon pintar. Speaker kadang kala mono dan kalau stereo sekalipun tidak simetri sehingga menghasilkan video tidak seimbang. Pada ASUS ROG Phone 7 Ultimate kami mencapai Nirvana audio kerana ia seimbang. Speaker stereo telefon ini menembak ke depan seperti sistem BoomSound HTC One M7 yang menjadi yang pertama menggunakan konfigurasi ini.
Ia sangat lantang sehingga tidak perlu ditetapkan ke tahap paling tinggi. Dengan ia di hadapan audio terus ke telinga pengguna. Tiada masalah kekisi speaker dihalang oleh telapak tangan yang memegang peranti ketika sesi COD Mobile. Bicu audio 3.5mm juga masih diberikan membuatkan sistem audio ROG Phone 7 Ultimate terbaik tahun ini.
Bateri – 6000 mAh – ASUS ROG Phone 7 Ultimate

Sekali lagi komponen ASUS ROG Phone 7 Ultimate diambil kali ini bateri. Bateri 6000 mAh ialah yang paling besar digunakan pada peranti kelas mercu tahun ini memberikan ketahanan penggunaan seharian. Dengan 5G akhirnya tiba di Malaysia, ramai mula menyedari hayat bateri telefon mereka menjunam sedikit berbanding zaman 4G. Rule of thumb ialah lagi besar bateri, lebih lama ia bertahan dan makin kurang kerap ia perlu dicas.
Pengecasan – 240W Realme GT3

Sistem pengecasan terpantas tahun ini ialah SuperVOOC 240W yang digunakan pada Realme GT3. Dibangunkan oleh Oppo tetapi dipinjamkan kepada adik beradik mereka Realme. Dengan sistem pengecasan ini bateri 4600 mAh Realme GT3 boleh di cas penuh dari sifar dalam masa 10 minit sahaja. Jika anda rasakan ini pantas, Oppo kini dalam proses membangunkan pula pengecas 300W SuperVOOC.
Sistem Operasi – Android

iOS, Android atau HarmonyOS? Jawapan kami untuk sistem operasi terbaik ialah Android. Terbaik kerana ia memberikan kebebasan kepada pengguna. Aplikasi dihalang atau tidak lagi wujud di Play Store? Sideload sahaja dengan memuat turun fail APK. Lebih banyak kustomasi dan pilihan pelancar? Android memberikan fleksibiliti yang tidak ditawarkan oleh iOS yang mengawal sistem operasi mereka dengan ketat. Peranti sempurna harus lebih memberikan kuasa di tangan pemilik bukan konglomerat yang menghalang kehendak mereka.
Pembantu Maya – Google Asssitant

Hanya ada satu sahaja pembantu maya yang layak pada hemat kami iaitu Google Assistant. Secara konsisten ia lebih bijak berbanding Bixby, Alexa dan Siri. Dengan pasukan Assistant kini dirombak bagi mengintegrasikan kecerdasan buatan Google Bard, kami tidak sabar melihat apakah kemampuannya dalam masa terdekat. Menggunakan Assistant terasa seperti berurusan dengan perisian yang bijak. Tiada pembantu maya lain pada pendapat kami berada di tahap yang sama.
Sistem Biometri – Face ID

Tujuh tahun selepas Face ID diperkenalkan menerusi iPhone X, masih tiada sistem biometri yang setanding dengannya. Pandang skrin dan peranti dinyahkunci tanpa mengira lokasi, masa dan tahap keterangan sekeliling. Huawei dan Google cuba memberikan sistem imbasan wajah 3D mereka tetapi integrasi Face ID kepada sistem operasi iOS membuatkannya sukar untuk ditandingi.
Face ID boleh digunakan untuk membeli aplikasi di App Store, mengisi kata laluan dalam aplikasi, mengesahkan identiti ketika membeli secara atas talian dan melakukan pemindahan wang DuitNow. Ketika pandemik Face ID dikemaskini supaya boleh digunakan bersama Apple Watch. Dalam rahsia kami mengharapkan Face ID dilesenkan kepada pengeluar Android kerana ia sistem biometri yang sangatlah bagus.
Kesimpulan
Apakah pendapat anda tentang peranti Frankenstein yang telah dihasilkan dari komponen-komponen pelbagai peranti mercu sepanjang 2023? Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami? Sekiranya tidak sila suarakan komponen pilihan anda yang boleh menggantikan pilihan kami di ruangan komen.