Carian
10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2024
December 10, 2024 Effi Saharudin

Penghujung tahun 2024 sudah semakin hampir dan kini tiba untuk kami senaraikan 10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2024. Tahun ini melihat teknologi dron dan AI digunakan secara lebih meluas di konflik Rusia Ukraine serta Israel-Palestin-Lebanon. Ini akan menjadi trend yang pastinya akan diteruskan pada tahun 2025 nanti.


1. Serangan Bom Walkie Talkie dan Kelui Mengorbankan 42 Orang Pula Di Lubnan

Ribuan tercedera dan 42 dilaporkan terkorban apabila ratusan alat kelui dan walkie talkie meletup secara serentak di Lubnan. Yang menjadi mangsa ialah ahli Hezbollah yang merupakan sasaran utama dan orang awam berdekatan apabila bom meletup. Agensi risikan Israel Mossad dipercayai dalang di sebalik serangan besar-besaran ini

Alat kelui digunakan oleh Hezbollah sebagai peranti pemesejan antara ahli kerana ia lebih sukar dijejak berbanding telefon selular. Ia masih menggunakan isyarat radio yang membuatkan penjejakan menggunakan menara selular lebih sukar dilakukan.

Adalah dipercayai Mossad berjaya menjual alat kelui dan radio berisi bom yang dibeli oleh Hezbollah menggunakan syarikat ketiga dengan identiti mereka dirahsiakan lima bulan sebelum ia diletupkan serentak.


2. AI Digunakan Amerika Untuk Mengebom 85 Sasaran Di Timur Tengah

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) di medan perang ialah isu yang cukup sensitif. Project Maven oleh Amerika Syarikat misalnya dibangunkan oleh Amerika Syarikat bagi menggunakan AI bagi tujuan ketenteraan sehingga menyebabkan pekerja Google melakukan mogok. Menurut Bloomberg, AI yang dibangunkan di bawah Project Maven telahpun digunakan untuk melakukan misi pengeboman di Timur Tengah.

Bloomberg memetik Schuyler Moore, CTO Markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat yang mengatakan algoritma penglihatan komputer telah digunakan untuk mengenal pasti 85 sasaran untuk di bom di Iraq, Syria dan Yemen pada bulan ini. Salah satu cabang Project Maven ialah kemampuan menganalisa gambar yang diambil di medan perang dan kemudian mengenal pasti lokasi musuh. Ini kali pertama Amerika mengesahkan AI telah digunakan dalam proses mengenalpasti sasaran mereka.

Ia walau bagaimanapun bukan kali pertama teknologi AI digunakan di medan perang. Israel mengesahkan teknologi The Gospel mereka yang telah digunakan untuk mengebom lebih 200 lokasi musuh dalam konflik Israel-Palestin yang masih berterusan sekarang.


3. Amerika Ingin Membina “Stesen Minyak” Untuk Satelit Di Angkasa

Satelit orbit bumi rendah (LEO) masih perlu menghadapi rintangan udara walaupun ianya nipis pada ketinggian ribuan kilometer dari permukaan bumi. Dari semasa ke semasa ia perlu dinaikkan semula ke orbit asal menggunakan bahan api yang dibawa. Lama kelamaan apabila ianya habis, satelit tidak lagi mampu mengekalkan orbit dan terbakar

Angkatan Angkasa Amerika (USSF) menyatakan minat untuk membina sebuah sistem yang membolehkan bahan api pada satelit di angkasa lepas diisi semula dan turut melakukan kerja penyelenggaraan apabila diperlukan.

Bagi tujuan ini, USSF telah memilih Passive Refueling Module (PRM) yang direka oleh Northrop Grumman sebagai piawaian untuk satelit tentera dan kapal angkasa yang bakal berfungsi sebagai stesen minyak. Northrop Grumman juga diberikan kepercayaan membangunkan Geosynchronous Auxiliary Support Tanker (GAS-T) yang akan menjalan tugas ini di masa hadapan. GAS-T ialah robot yang boleh melakukan tugas di atas tanpa krew manusia.


4. Jurutera Indonesia Ditahan Kerana Didakwa Mencuri Rahsia Teknologi KF-21 Boramae

Dua jurutera-warga negara Indonesia telah ditahan di Korea Selatan kerana didakwa cuba mencuri teknologi pesawat tempur KAI KF-21 Boramae. Dua kakitangan PT Dirgantara Indonesia (PTDI)  ini dipercayai cuba membawa keluar data program pesawat tempur ini di dalam pemacu USB. Data yang dijumpai dalam pemacu kini sedang dianalisa bagi melihat sama ada ia terdiri daripada teknologi strategik yang tidak sepatutnya diambil.

KAI KF-21 Boramae ialah usaha Korea Selatan membangunkan pesawat tempur generasi 4.5 menggunakan kepakaran tempatan. Indonesia ialah rakan kongsi pembangunan pesawat yang pada asalnya menggunakan nama KAI KF-X dengan persetujuan menanggung 20% daripada kos program bernilai 8.8 trilion Won (~RM 32 bilion).

Sehingga Mei lalu kedua-dua jurutera tidak ditahan ataupun dipenjara tetapi dilarang daripada keluar dari Korea Selatan sementara menanti siasatan lengkap dilakukan.


5. Lockheed Martin Perlihatkan Rekaan Pesawat Pengisi Minyak Swaterbang

Amerika Syarikat kini dalam proses membangunkan pesawat pengisi minyak generasi baharu yang sukar dikesan oleh radar musuh di bawah program Next-Generation Air Refueling System (NGAS). Rekaan pesawat ini telah diperlihatkan bulan lalu dalam sebuah imej pengolokan.

Sekilas pandang ia lebih mirip sebuah pesawat dron dalam kelas yang sama dengan Loyal Wingman. Ia jelas mempunyai dua bahagian penyimpan tangkai mengisi minyak terbina pada bahagian sayap. Saiz pesawat juga lebih besar berbanding pesawat pejuang F-35. Untuk menyukarkan ia dikesan radar, tubuh dipenuhi gerigi dimana panel pesawat bersambung sama seperti yang digunakan pada F-35 dan F-22.

NGAS akan beroperasi di perbatasan dan boleh memasuki ruang udara musuh bagi membekalkan bahan api kepada pesawat tempur apabila diperlukan. Pesawat tangki pengisi minyak semasa harus beroperasi lebih jauh memerlukan pesawat tempur keluar dahulu daripada zon konflik.


6. Korea Selatan Membangunkan Kereta Kebal Berkuasa Sel Hidrogen

Perang di masa hadapan akan dikuasai oleh dron dan juga kecerdasan buatan. Walaupun ramai melihat situasi di Ukraine sebagai petanda era kereta kebal utama (MBT) sudah berakhir, beberapa MBT generasi baharu telahpun dibangunkan oleh Amerika SyarikatUK dan Jerman. Di Korea Selatan, Hyundai Rotem Co telah memperlihatkan rekaan MBT terkini yang menggunakan sel hidrogen.

MBT Hyundai Rotem K3 ini akan dilengkapi meriam utama gerek licin 130mm, sistem pertahanan aktif, boleh beroperasi dengan sistem senjata dron lain dan dilengkapi dengan dron tersendiri. Sistem meriam juga akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan tembakan.

Maklumat lebih terperinci mengenai K3 masih lagi belum diumumkan cuma ia disasarkan akan memulakan operasi menjelang 2040 sekaligus menjadikannya MBT pertama dengan kuasa sel hidrogen. Penggunaan tren pemanduan hidrogen bukan sahaja akan menjadikan K3 lebih senyap ketika beroperasi tetapi juga sukar dikesan kerana tidak mempunyai jejak haba panas ketara yang menjadikan sasaran kepada sistem ATGM.


7. Animasi Menunjukkan Bagaimana Ekranoplan Liberty Lifter Bakal Berfungsi

Projek Liberty Lifter diumumkan oleh DARPA pada tahun 2022 untuk menghasilkan ekranoplan bagi kegunaan tentera Amerika Syarikat. Rekaan General Atomics dan Aurora Flight Systems kemudiannya dipilih ke fasa seterusnya tahun lalu. September lalu Aurora Flight Systems berkongsi animasi bagaimana ekranoplan mereka akan berfungsi kelak.

Animasi menunjukkan pesawat terbang pada ketinggian sekitar 30 meter daripada permukaan laut. Ketika terbang hanya empat daripada lapan enjin diperlukan. Ia kemudiannya mendarat di atas permukaan laut dan mengeluarkan kargo kereta perisai amfibia dari buritan kapal. Seterusnya ia akan kembali terbang ke udara dengan bantuan kelapan-lapan enjin.

Aurora Flight Systems berkata mereka kini dalam fasa membina prototaip skala kecil dengan sayap selebar 65 meter. Seterusnya pesawat skala sebenar akan dibina dengan sasaran ia akan melakukan penerbangan pertama pada tahun 2028. Pesawat skala sebenar ini menyasarkan kemampuan membawa kargo seberat 81,000 kg.


8. China Dilaporkan Sedang Membina Reaktor Nuklear Untuk Kapal Pengangkut Pesawat

Kapal pengangkut pesawat konvensional Fujian

Bulan lalu, China telah memulakan pembinaan reaktor nuklear yang akan digunakan pada kapal pengangkut pesawat mereka yang seterusnya. Dengan kapal pengangkut pesawat nuklear, China boleh menjalankan misi lebih lama kerana kapal dari jenis ini boleh berlayar bertahun-tahun tanpa perlu diisi bahan api. Menerusi imej satelit yang diambil berhampiran bandar Leshan di daerah Sechuan, penyelidik Middlebury Institute of International Studies di California menemukan bukti sebuah prototaip reaktor untuk kapal sedang dibina.

Projek pembinaan reaktor nuklear ini diberi nama Longwei dengan kawasan projek pula diberikan nama Base 909 di bawah bidang kuasa Institut Tenaga Nuklear China. Pembinaan kapal pengangkut pesawat nuklear ialah langkah seterusnya untuk China mencapai tahap setara dengan Amerika Syarikat dan Perancis yang merupakan dua negara yang mempunyainya. Amerika mempunyai 11 kapal pengangkut pesawat nuklear dan Perancis pula mempunyai hanya satu.

China sudahpun mampu membina kapal pengangkut pesawat konvensional rekaan sendiri dan juga yang dilengkapi sistem CATOBAR. Tahun lalu kami telah laporkan China berminat untuk membina kapal kargo berkuasa nuklear. Pada waktu tersebut ia sekadar perancangan dengan projek dibina oleh syarikat awam tanpa penglibatan tentera.


9. Tesla Menyahaktifkan Cybertruck Yang Dihantar Ke Medan Perang Ukraine

Pada bulan Ogos yang lalu, Presiden Chechnya Ramzan Kadyrov memperlihatkan sebuah Tesla Cybertruck yang menurut beliau dihadiahkan oleh Elon Musk. Trak elektrik ini kemudiannya dilengkapkan dengan mesingan dengan Kadyrov mengatakan ia akan dihantar ke medan perang konflik Ukraine-Rusia.

Kemudian pada bulan September, Kadyrov mengatakan Cybertruck ini telah dinyahaktfikan oleh Elon Musk mengakibatkan ia perlu ditarik keluar dari medan perang. Sungguhpun begitu, Kadyrov berkata dua lagi Cybertruck baharu yang turut telah diubahsuai untuk membawa mesingan telah dihantar ke medan perang Ukraine-Rusia sebagai ganti. Laporan ini menunjukkan Tesla mempunyai keupayaan untuk menyahaktifkan kenderaan mereka dari jarak jauh sekiranya perlu.


10. Australia Kini Mempunyai “Jerung Hantu” Swalayar Yang Memburu Di Bawah Laut

Teknologi dron amat berkesan di Ukraine dan menyebabkan kini berlalu anjakan paradigma sistem pertahanan yang digunakan oleh tentera konvensional. Dron yang lebih murah boleh menghasilkan kerosakan yang tinggi jika digunakan dalam gerombolan yang besar. Perbatasan seterusnya dalam arena dron ialah penggunaannya di bawah laut.

April lalu Australia mengumumkan mereka telah membangunkan dron bawah laut Ghost Shark dengan kemampuan swalayar. Dron prototaip pertama Extra-Large Autonomous Undersea Vehicle (XL-AUV) Ghost Shark telah siap dibina dengan tiga lagi akan dihasilkan tahun depan. Di bawah program XL-AUV ini, Australia ingin mempunyai kemampuan memantau kawasan bawah laut dengan lebih menyeluruh.

Australia ialah sekutu paling erat Amerika Syarikat dan UK di rantau Asia Pasifik. Oleh itu kemampuan mereka untuk memantau aktiviti tentera laut China adalah penting. Apakah spesifikasi dan berapa lama “Jerung Hantu” dapat beroperasi tanpa campur tangan manusia adalah dirahsiakan Australia.

Komen