Carian
10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2022
December 7, 2022 Effi Saharudin

Kita kini di bukan Disember dan sudah menjadi tradisi di Amanz untuk melakukan rangkuman berita paling menarik yang berlaku sepanjang tahun. Tetapi tahun ini terasa panjang kerana dunia hampir kembali ke keadaan pra-pandemik. Terdapat terlalu banyak berita menarik yang membuatkan kami merasakan senarai 10 berita terbaik sahaja tidak memadai. Oleh itu kita mulakan dahulu dengan senarai 10 Berita Teknologi Ketenteraan Paling Menarik 2022 terlebih dahulu sebagai pembuka selera.


1. Israel Menggunakan Laser Menangkis Dron, Misil Dan Mortar

Israel tahun ini mula menggunakan sistem pertahanan serangan misil, dron dan mortar menggunakan laser. Sistem laser ini boleh menangkis serangan dengan setiap tembakan hanya menelan belanja RM15 berbanding ratusan ribu menerusi sistem misil Iron Dome yang digunakan selama ini.

Sistem laser yang diberikan nama jolokan Iron Beam pada asalnya disasarkan untuk memulakan operasi pada tahun 2024 tetapi akan memulakan operasi mengawal sempadan Israel tahun ini kerana risiko serangan roket yang semakin meningkat.


2. Dron Komersial Diubahsuai Di Konflik Ukraine

DJI Mavic Classic

Konflik Nagorno-Karabakh pada tahun 2020 menunjukkan keupayaan dron dalam medan perang moden menghancurkan kereta kebal utama, kereta perisai, sistem radar, artileri dan sistem peluru berpandu dari jarak jauh. Di awal konflik Ukraine Februari lalu sekali dron keluaran Turki memusnahkan ratusan kenderaan berperisai Rusia. Selepas lebih sembilan bulan, Rusia masih gagal menundukkan Ukraine.

Dron tentera yang dibekalkan Turki tidak lagi digunakan secara meluas sebaliknya digantikan oleh dron komersial keluaran DJI yang bersaiz kecil sehingga sukar dikesan dan tidak memerlukan latihan yang intensif untuk digunakan. Dron komersial diubahsuai menjadi senjata peperangan untuk melakukan pemantauan lokasi musuh, menghantar koordinat untuk serangan artileri dan menjatuhkan bom tangan ke atas kem musuh. Ratusan video yang menunjukkan serangan sepanjang konflik kini dirakam oleh dron yang pada asalnya direka untuk tujuan videografi awam.


3. Tenaga Elektrik 1.6KW Dipancarkan Sejauh 1 km Secara Nirwayar

Tentera Laut Amerika Syarikat berjaya menguji sistem Safe and Continuous Power bEaming – Microwave (SCOPE-M) yang memancarkan kuasa elektrik secara nirwayar menggunakan gelombang mikro. Makmal Ujikaji Tentera Laut AS (NRL) telah memancarkan 1.6 kW kuasa elektrik sejauh 1 kilometer di Maryland pada April yang lalu.

Gelombang mikro 10GHz digunakan kerana ia meningkatkan kecekapan pemindahan kuasa, boleh berfungsi walaupun ketika hujan dan lebih penting sekali tidak berbahaya kepada organisma yang hidup. Teknologi SCOPE-M dibangunkan untuk kegunaan di masa hadapan apabila stesen janakuasa di angkasa lepas boleh menghantar elektrik kembali ke bumi secara nirwayar. Ini ialah sumber kuasa mesra alam yang diharap dapat menyelesaikan masalah keperluan tenaga dalam masa terdekat.


4. Project Pele – Reaktor Nuklear Mini Untuk Kegunaan Tentera

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD) telah mengumumkan Project Pele bagi membangunkan reaktor nuklear mikro mudah alih pada bulan yang sama SCOPE-M diperlihatkan kepada umum. Reaktor bersaiz kecil ini perlu mampu bertahan dibawa menggunakan rel, kapal terbang dan jalan raya dengan output kuasa 1-5 MW sehingga sekurang-kurangnya tiga tahun. Selain untuk kegunaan ketenteraan, Project Pele juga akan digunakan bagi tujuan komersial.

Setakat ini dua rekaan dari BWXT Advanced Technologies dan X-Energy sedang dipertimbangkan oleh DoD. Walaupun tenaga nuklear dilihat sebagai sumber kuasa yang mencemarkan, ia masih dilihat antara alternatif sumber kuasa yang lebih baik berbanding pembakaran bahan api fosil.


5. DARPA Ingin Membangunkan Semula Ekranoplan

Pada Mei lalu Project Liberty Lifter diumumkan oleh DARPA dengan ia ingin mengembalikan semula rekaan kenderaan pengangkutan ekranoplan yang mengejutkan orang ramai pad dekad 60an. Semasa rahsia ekranoplan mula diketahui oleh Barat, ia menerima nama jolokan “Raksasa Laut Kaspia”.

Tiga keperluan utama Liberty Lifter ialah kemampuan terapung rendah di atas atas permukaan laut pada kelajuan yang juga rendah. Dengan ini isu kerosakan berlaku jika ekranoplan melanggar ombak dapat dielakkan. Pesawat juga perlu boleh beroperasi selama berminggu-minggu di permukaan laut tanpa perlu menjalani penyelenggaraan di darat. Akhir sekali ialah pesawat perlu mementingkan pengurangan kos dengan ia perlu lebih mampu milik berbanding teknologi aeronautik biasa.


6. China Memasuki Kelab Negara Dengan Kapal Pengangkut Pesawat CATOBAR

Pada bulan Jun China memasuki kelab eksklusif selepas kapal pengangkut pesawat Fujian dilancarkan. Ia merupakan kapal pengangkut pesawat ketiga milik Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLN) tetapi Fujian adalah yang pertama direka sepenuhnya oleh China.

Dari segi saiz Fujian adalah mirip dengan kapal pengangkut pesawat kelas Forrestal Amerika Syarikat dari dekad 50an. Ia sepanjang 300 meter, selebar 76 meter dan seberat sekitar 72,000 Tan. Ia menjadikannya sebuah supercarrier kerana kemampuan membawa lebih banyak pesawat berbanding Lioning dan Shandong.

Sistem pelancar pesawatnya juga moden kerana menggunakan sistem melancarkan pesawat menggunakan bantuan pelontar dan pendaratan menggunakan penghalang (CATOBAR). China menjadi negara ketiga selepas Amerika Syarikat dan Perancis menggunakan sistem CATOBAR. Sebelum ini PLN menggunakan sistem tanjakan ski untuk melancarkan pesawat. Kelak Fujian akan dilengkapi tiga pelancar pesawat elektromagnet (EMAL) yang membolehkan pelbagai jenis pesawat dan dron dilancarkan dengan selamat.


7. Xaver-1000 Membolehkan Tentera Melihat Menembusi Dinding

Camero-Tech sebuah firma teknologi ketenteraan Israel membangunkan Xaver-1000 yang boleh melihat menembusi dinding. Menurut Camero-Tech, kecerdasan buatan mereka membolehkan ia mengesan individu dan haiwan menembusi dinding menerusi skrin 10.1″ yang terbina pada Xaver-1000. Dengan ini anggota tentera dan pasukan khas polis boleh melihat menembusi dinding seperti Superman dan Robocop.

Ia turut boleh memberitahu pengguna bahawa individu di belakang dinding sedang berdiri, duduk atau berbaring. Selain itu ia turut boleh memberitahu pengguna Xaver-1000 susunan ruang bilik di sebalik dinding. Jarak imbasan pula adalah sehingga 42 meter bergantung kepada bahan binaan dinding. Alat ini pula hanya seberat 16.5 kilogram.


8. Tentera A.S Mula Menerima Set Kepala AR IVAS

Teknologi hangat tahun ini ialah set kepala yang menyokong dunia metamesta. Tetapi di dunia teknologi ketenteraan, menggunakan set kepala dengan teknologi terimbuh (AR) cuba direalisasikan oleh Microsoft dengan Integrated Visual Augmentation System (IVAS).

IVAS menggunakan teknologi Microsoft HoloLens untuk memaparkan pelbagai maklumat kepada pemakai semasa di lapangan. Set kepala mula diterima pihak tentera selepas beberapa masalah awal diselesaikan.Selain memaparkan maklumat pemetaan, lokasi musuh, lokasi aset dan sistem komunikasi, IVAS juga boleh digunakan ketika sesi latihan. Musuh maya boleh dipaparkan pada IVS untuk menghasilkan senario latihan yang lebih realistik.


9. DARPA Menguji Sistem Swapandu Kenderaan Untuk Tentera

DARPA telah mengumumkan projek Robotic Autonomy in Complex Environments with Resiliency (RACER) bagi membangunkan sistem swapandu yang boleh beroperasi di laluan tidak berturap dengan prestasi sebaik pemandu manusia pada September lalu.RACER dibangunkan oleh DARPA dengan kerjasama Carnegie Mellon University, Jet Propulsion Laboratory NASA, dan University of Washington.

RACER ialah kesinambungan kepada projek AMAS (Autonomous Mobility Appliqué System) yang dibangunkan sejak 2014 yang membolehkan sekumpulan trak bergerak dalam konvoi secara swapandu bagi mengurangkan risiko ketika beroperasi di medan tempur.


10. Northrop Grumman B-21 Raider

Ini baru sahaja berlaku beberapa hari yang lalu. Northrop Grumman B-21 Raider ialah pesawat pengebom baharu pertama Amerika Syarikat dalam masa 34 tahun. Pesawat ini akan menggantikan B-2 Spirit dan B-1 Lancer sebagai pesawat pengebom strategik utama Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF). Ia sukar dikesan kerana permukaannya menyerap gelombang radar serta mempunyai keratan rentas yang lebih kecil.

Dari segi saiz ia juga lebih kecil berbanding B-2. Keperluan pesawat pengebom untuk kurun ke-21 adalah berbeza pasca Perang Dingin. Dengan armada B-21 Raider, Amerika Syarikat mengingatkan negara musuh bahawa mereka masih mempunyai keupayaan pemusnah yang semakin sukar dikesan oleh radar.


Komen