Cari @ Amanz

Berita teknologi automotif tahun ini didominasi oleh kenderaan elektrik dan infrastruktur yang menyokongnya di Malaysia. Jelas era kenderaan elektrik di Malaysia bermula dengan langkah kanan. Ini senarai 10 berita teknologi automotif paling menarik sepanjang tahun 2022.


1. Pengecas Kenderaan EV Di Malaysia Semakin Meluas

Penggunaan kenderaan elektrik akan semangkin meningkat bermula daripada sekarang tetapi antara rungutan pengguna awal BEV di Malaysia ialah kurangnya stesen pengecas. Petronas, TNB dan Shell memulakan usaha untuk mengisi keperluan ini.

Petronas menerusi anak syarikatnya Gentari dilihat cukup rancak membina tapak pengecasan kenderaan elektrik baharu . Di X Park Sunway Serene pengecas 350kW pertama Asia Tenggara dibuka hari ini dengan ia turut mengenakan kadar pengecasan mengikut kW dan bukan lagi minit seperti pengecas lain. Dengan pelbagai insentif untuk kenderaan dan pengecas kenderaan elektrik diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2023, masa depan EV di Malaysia nampak mengujakan.


2. Lorong Plaza Tol Dicadang Menyokong Semua Jenis Pembayaran, Tidak Diasingkan Atau Dihadkan

Plaza Tol

Kini sebuah cadangan diketengahkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia, di mana semua plaza tol di Lembah Klang diminta untuk mengintegrasikan semua jenis pembayaran dan tidak diasingkan atau dihadkan mengikut lorong. Hal ini adalah dalam usaha mengelak kesesakan dalam bandar, terutamanya ketika waktu puncak.

Pada hari ini, plaza tol diasingkan mengikut lorong, termasuk hanya kad fizikal sahaja, hanya SmartTAG, hanya RFID, selain gabungan antara dua. Ini sekaligus membuatkan kenderaan yang ke sesuatu plaza tol melakukan perubahan lorong, membawa kepada kesesakan dan sebagainya.

Cadangan ini dibawakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan diminta dibincangkan bersama penyedia lebuhraya yang terlibat. Buat masa ini ia masih pada peringkat cadangan, dan perlu melalui pelbagai fasa sebelum dapat diimplementasikan sepenuhnya.


3. Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Di Tanjung Malim

Teknologi kenderaan elektrik berkembang pesat sekarang dengan operasi bas elektrik telahpun dimulakan di Kuala Lumpur dan beberapa stesen pengecasan pantas dibina oleh Shell. Untuk memastikan industri automotif negara tidak ketinggalan, Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) telah dilancarkan di Tanjung Malim pada bulan April oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, AHTV akan menjadi hab pembangunan kenderaan elektrik negara dengan sasaran menjadikannya hab untuk rantau Asia Tenggara. Ia dijangka mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan semasa dibina dan 160,000 peluang pekerjaan apabila beroperasi kelak.


4. Proton Menyasarkan Untuk Perkenal Kereta Elektrik Menjelang 2027

Proton

Proton berkongsi perancangan untuk memperkenalkan kereta elektrik mereka di pasaran menjelang 2027 pada November lalu. Sebelum ini Proton sedia memperlihatkan beberapa kereta prototaip, konsep dan pembangunan dalam arena kenderaan elektrik ini. Ramai pengguna tempatan sedia menantikan penawaran kereta elektrik daripada pihak Proton di Malaysia.

Dengan permulaan pengilbatan secara komersil bermula tahun hadapan, kita mungkin melihat Proton menyediakan pelbagai infrastruktur berkaitan pengecasan kenderaan elektrik – sebelum melancarkan kenderaan elektrik tersendiri dalam tempoh lima tahun lagi. Diharap ia adalah kereta elektrik rekaan anak watan sepenuhnya bukan sekadar menukar logo dan hanya CKD dipasang oleh anak watan.


5. Mercedes EQXX Kini Berjaya Bergerak Melebihi 1200 km Sekali Cas

Kereta konsep elektrik Mercedes EQXX berjaya bergerak sejauh 1008 km dengan sekali cas pada Mac tahun ini. Rekod yang menakjubkan ini dilakukan dengan bateri bawah 100 kWj dan adalah jauh lebih baik berbanding sebuah Tesla Model S dengan kapasiti bateri yang hampir sama.

Kini dalam ujian kedua dari Stuttgart ke litar lumba Silverstone, EQXX yang sama mencatatkan perjalanan sejauh 1202 km dengan sekali caj. Kenderaan bergerak selama 14.5 jam sebelum kehabisan bateri. Dalam ujian yang dilakukan kenderaan mencatatkan kelajuan purata 83 km/j dengan sistem pendingin hawa digunakan selama 8 jam.

Kejayaan EQXX ini membuka ruang kepada kereta elektrik berkuasa bateri yang mampu mencatatkan jarak perjalanan yang setanding kereta berkuasa elektrik. Dengan infrastruktur pengecasan yang masih belum mencukupi, kenderaan yang boleh berjalan lebih jauh amatlah diperlukan dengan segera.


6. Sony Dan Honda Bekerjasama Membentuk Syarikat Kenderaan Elektrik

Pada bulan Mac Sony dan Honda mengumumkan kerjasama untuk menjayakan perniagaan kenderaan EV. Kemudian pada bulan Jun Sony Honda Mobility Inc. pula ditubuhkan dengan pengeluaran kenderaan pertama berlaku seawal 2025 dengan ia dilengkapi konsol PlayStation.

Pegangan syarikat adalah 50:50 antara kedua-dua syarikat. Sony akan menyediakan kepakaran dalam pengimejan, sensor, telekomunikasi, rangkaian, dan teknologi lain. Honda pula akan berkongsi kepakaran dalam teknologi persekitaran, keselamatan, pembangunan kenderaan, rekabentuk badan kenderaan, dan juga pengalaman pengurusan pasca jualan.


7. Lightyear 0 Hanya Memerlukan Cahaya Matahari Untuk Bergerak 70 km Sehari

Lightyear 0 telah diperlihatkan pada bulan Jun sebagai kereta elektrik yang tidak memerlukan sebarang pengecasan konvensional. Dengan panel solar seluas 5 meter persegi di permukaan tubuh, pengeluar Lightyear 0 mendakwa ia cukup untuk membekalkan kuasa perjalanan sehingga 70 kilometer sehari.

Prestasi tinggi dicapai kerana Lightyear 0 adalah antara kereta paling aerodinamik pernah dihasilkan bagi mengurangkan rintangan udara. Ia menggantikan terus cermin sisi dengan kamera dengan skrin LCD diletakkan dalam kokpit sebagai ganti.

Bateri sebesar 60 kWh telah diuji untuk memberikan jarak operasi sehingga 625 km sekali caj menggunakan piawaian WLTP dengan kelajuan purata 110 km/j. Hanya 946 Lightyear 0 akan ditawarkan kepada pelanggan dengan setiap satunya dijual pada harga €250,000 (~RM 1.16 juta) dengan pengeluaran dimulakan beberapa minggu lalu.


8. BMW Dan Mercedes Mengenakan Langganan Bulanan Untuk Ciri Tambahan Kenderaan

Mercedes Benz

Dunia tiada yang percuma. Sekarang barang dah beli pun kena beli bayar lagi kerana syarikat jenama ingin menawarkan naik taraf melalui perisian. Perkara ini berlaku pada BMW dan Mercedes. Industri automotif sudah memulakan transaksi mikro untuk kereta mereka.

Untuk BMW antara yang mereka tawarkan adalah pemanasan kerusi, kemas kini sistem pemetaan kenderaan, bantuan lampu tinggi, bunyi kereta lumba kereta elektrik dan banyak lagi pada harga bermula sekitar RM47.

Mercedes pula menawarkan ciri langganan ini kepada pelanggan EQS mereka. Langganan ini adalah “Acceleration Increase”, iaitu ia membolehkan pengguna membayar sebanyak $1200 setahun untuk melajukan lagi kereta.


9. BMW iX Flow Boleh Berubah Warna Dengan Pantas

Kenderaan konsep BMW iX Flow diperlihatkan di cara CES Las Vegas awal tahun ini dengan kemampuan warna kenderaan berubah daripada hitam ke putih hampir sekelip mata. Untuk mempunyai kemampuan berubah warna dari hitam ke putih dengan pantas, BMW menggunakan ribuan panel e-ink pada permukaan tubuh BMW iX Flow.

Dapat dilihat panel e-ink berbentuk tiga segi disusun pada permukaan kereta dan juga rim tayar dengan jutaan kapsul warna turut digunakan. Oleh itu warna setiap panel boleh diubah secara satu persatu. Dengan kata lain corak tertentu boleh dipaparkan dalam warna monokrom mengikut kehendak BWM.


10. Lexus Memperlihatkan Transmisi Manual Untuk Kereta Elektrik

Kenderaan elektrik lebih mudah dipandu kerana ia tidak mempunyai mempunyai gear yang perlu ditukar dan sistem brek regenerasi yang tidak memerlukan pedal kaki ditekan. Namun begitu di kalangan peminat automotif ada segelintir yang enggan berpindah ke BEV kerana masih inginkan sistem transmisi manual untuk pemanduan yang dikatakan lebih menyeronokkan.

Lexus telah memperlihatkan sistem transmisi manual untuk kereta elektrik. Projek yang pada awalnya sekadar sebuah prototaip mendapat sambutan yang baik semasa ujian dilakukan. Oleh itu Lexus memikirkan dengan serius untuk menawarkan sistem transmisi manual ini pada kenderaan elektrik keluaran mereka kelak.

Proses menukar “gear” pada sistem ini masih lagi sama menerusi tombol penukar seperti pada kenderaan sedia ada. Kenderaan juga dilengkapi dengan tachometer yang sekadar hiasan tetapi memberikan petanda kepada pemandu untuk melakukan penukaran gear apabila perlu. Ujian dilakukan pada sebuah Lexus UX300e yang merupakan sebuah SUV BEV.

Awal tahun ini Toyota yang merupakan syarikat induk Lexus telah memfailkan paten sistem transmisi manual untuk kenderaan elektrik. Nampaknya pasca paten difailkan, komponen sebenar dibangunkan untuk melihat keberkesanannya di dunia sebenar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd