Carian
10 Berita Teknologi Paling Aneh 2022
December 23, 2022 Effi Saharudin

Kini tiba pula giliran untuk 10 berita teknologi aneh paling menarik 2022. Terdapat banyak berita yang agak sukar dikategorikan kerana ianya lain daripada yang lain. Daripada sumber tenaga menggunakan tahi lembu hingga ke mesin yang mengesan taun dengan mendengar bunyi cirit birit. Tahun 2022 memang dipenuhi berita-berita aneh.


1. CIMB Disaman Kelompok RM650 Juta Oleh Pelanggan Akibat Insiden Akaun Dibekukan

CIMB Glitch

Januari lalu CIMB secara mengejut membekukan akaun beberapa pelanggan mereka kerana kesilapan mendebitkan sejumlah wang. CIMB telah mengeluarkan kenyataan ia adalah kerana kesilapan pemprosesan urusniaga yang hanya melibatkan sebilangan kecil pelanggan.

CIMB kemudiannya disaman kelompok oleh 12 pelanggan kerana kesilapan ini dan semalam sebuah lagi saman kelompok difailkan dengan permintaan bayaran ganti rugi RM650 juta. Menurut laporan  FMT bayaran ganti rugi sekitar RM1 juta untuk setiap pelanggan yang terkesan diminta bersama dengan arahan akaun mereka kemudiannya ditutup 7 hari selepas keputusan dicapai.


2. Mesin Basuh Tubuh Manusia Dibangunkan Firma Jepun

Di Jepun sebuah prototaip mesin basuh untuk tubuh manusia pernah dihasilkan oleh Sanyo untuk Ekspo Osaka pada tahun 1970. Ia tidak pernah dihasilkan dalam bentuk produk komersial. Selepas 52 tahun, idea ini masih kekal di dalam kepala Yasuaki Aoyama yang melawat ekspo yang sama semasa berusia 10 tahun. Selepas lama menanti produk yang tidak kunjung tiba, Yasuaki membangunkan sendiri sebuah mesin basuh tubuh manusia.

Mesin basuh ini akan membersihkan tubuh manusia dengan menggunakan gelembung udara. Ia turut boleh memainkan muzik untuk berehat dan terdapat sistem aromaterapi terbina juga. Kecerdasan buatan akan membersihkan tubuh dalam masa lima belas minit. Mesin masih sedang dibina dengan ia akan dilancarkan pada tahun 2024 dengan ia akan dipamerkan di Ekspo Osaka yang seterunya pada tahun 2025.


3. Peranti Ini Mendengar Audio Cirit Birit Untuk Mengesan Wabak Taun

Di Amerika Syarikat kecerdasan buatan telah digunakan untuk mengesan kewujudan wabak taun lebih awal. Penyelidik di Georgia Institute of Technology telah membangunkan sebuah peranti yang mendengar audio dari pengguna tandas yang sedang membuang air besar untuk mengesan wabak taun. Audio cirit birit dalam bentuk cecair senang dibezakan berbanding membuang air besar biasa. 

Kecerdasan buatan pada peranti ini telah dilatih untuk mengesan audio cirit birit dari pengguna. Berdasarkan audio yang telah dianalisa, kewujudan wabak taun dapat dikesan awal sebelum ia menjadi lebih serius di komuniti.

Peranti boleh diletakkan di tandas awam yang digunakan di komuniti yang sering diancam wabak taun dan juga di pusat jagaan orang tua untuk pemantauan awal.


4. Kiub Rubik Ini Mustahil Diselesaikan Kerana Mempunyai 43 Quintilion Kombinasi

https://youtube.com/watch?v=O3wLxIGRRzE%3Fversion%3D3%26rel%3D1%26showsearch%3D0%26showinfo%3D1%26iv_load_policy%3D1%26fs%3D1%26hl%3Den-US%26autohide%3D2%26wmode%3Dtransparent

Kiub Rubik telah dicipta oleh Erno Rubik pada tahun 1974 tetapi ia menjadi fenomena pada dekad 80an. Ia adalah permainan wajib dibeli pada waktu tersebut dan jualannya masih tinggi sehingga sekarang untuk mereka yang ingin menguji kecerdasan otak. Rekod dunia waktu paling cepat menyelesaikan Kiub Rubik ialah 3.47 saat! Tetapi pemegang rekod dunia Yusheng Du mungkin tidak dapat menyelesaikan Kiub Rubik di bawah.

Rubik Cube Impossible ini dikeluarkan oleh MegaHouse di Jepun. Ia masih lagi menggunakan konfigurasi 3X3 asli setiap muka kiub akan berubah warna mengikut orientasi ia dipegang. Ini menyebabkan ia hampir mustahil untuk diselesaikan kerana mempunyai 43,252,003,274,489,856,000 kombinasi warna. Di Jepun dua jaguh Kiub Rubik dicabar menyelesaikan Rubik Cube Impossible. Seorang mengalah sebelum selesai tetapi seorang lagi mengambil masa lebih 3 jam.


5. Stesen Janakuasa Elektrik Menggunakan Tahi Lembu Dibina Di Jepun

Tahi lembu secara lazimnya terbuang begitu sahaja dengan hanya terdapat beberapa usaha untuk menggunakannya sebagai bahan binaan rumah di Afrika dan bahan bakar dapur di India. Di Jepun tahi lembu akan digunakan sebagai sumber tenaga untuk menjana tenaga elektrik yang lestari.

Firma Anaergia dari Kanada akan membina stesen janakuasa elektrik tahi lembu di Okayama dengan kerjasama firma Toyo Energy Solution Co. Sebanyak 250 tan tahi lembu akan dikutip setiap hari dengan biogas yang dihasilkan akan menggerakkan turbin janakuasa yang digunakan. Sebanyak 1.2 Megawatts tenaga bersih dapat dijana setahun untuk 2,200 rumah di kawasan berhampiran.

Selain menjana tenaga elektrik yang lebih mesra alam, ia turut dapat mengurangkan pengeluaran gas metana yang mendatangkan impak negatif ke atmosfera sekiranya tahi lembu dibiarkan begitu sahaja. Diharap teknologi ini akan diteruskan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi lembu.


6. Podsiar Steve Jobs Ditemuramah Joe Rogan Dihasilkan Menggunakan Kecerdasan Buatan

Sudah lebih 11 tahun Steve Jobs meninggal dunia kerana kanser pankreas. Oleh kerana beliau meninggal dunia sebelum teknologi podsiar, kecerdasan buatan dan metamesta matang ramai pastinya tertanya-tanya apakah pendapat beliau mengenai teknologi ini jika beliau masih lagi hidup.

Podcast.ai telah menggunakan kecerdasan buatan untuk menghasilkan sebuah episod podsiar dimana mendiang Steve Jobs ditemubual oleh Joe Rogan. Kedua-dua suara individu terkemuka ini dihasilkan sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan menggunakan sampel rakaman audio yang pernah dilakukan sebelum ini.

Hasilnya ialah sebuah episod temubual palsu yang kedengaran agak realistik cuma agak canggung kerana tona suara yang kedengaran agak aneh . Penggunaan kecerdasan buatan untuk menghasilkan audio baharu yang tidak pernah diucapkan ole individu sebenar membuka pelbagai persoalan mengenai etika.


7. Sandal Terpakai Milik Steve Jobs Dilelong Pada Nilai Mencapai RM990k

Pelbagai barangan milik Steve Jobs sedia dilelong pada nilai yang tinggi sebelum ini, disebabkan oleh nostalgianya. Menariknya, kini sepasang sandal terpakai milik Steve Jobs dilelong, dan dibeli pada nilai $218,750 (~RM990,000).

Sandal berjenama Birkenstock Arizonas ini dikatakan telah digunakan oleh Steve Jobs pada 70-an dan 80-an ketika memulakan Apple. Lelongan ini ditawarkan bersama sandal tersebut, dan juga sebuah NFT yang melengkapkannya.

Sandal ini telah dijumpai daripada sampah oleh pengurus perumahan Steve Jobs, dan seterusnya dilelong kepada umum. Ia tidak dimaklumkan siapakah yang membeli sandal milik Steve Jobs ini.


8. Bulgari Menjual Jam Tangan Mekanikal Paling Nipis Dunia Pada Harga RM1.8 Juta

Bulgari Octo Finissimo Ultra ialah jam tangan mekanikal ternipis dunia hanya setebal 1.8mm. Bagi mencapai kenipisan melampau ini, paparan jam, minit dan saat diasingkan. Pada bahagian muka terdapat kod QR yang diukir terus pada gear mekanikal yang berputar. Sekiranya diimbas pemilik akan dipaparkan video pembuatan jam tangan dan pelbagai maklumat mengenai Bulgari Octo Finissimo Ultra.

Kerana jam terlalu nipis, ia memerlukan bekas simpanan khas yang mengunci semula gelung kuasa (sehingga 60 jam) dan untuk mengubah paparan masa. Hanya 10 utas Bulgari Octo Finissimo Ultra akan dijual dengan setiap satunya hadir dengan NFT yang tersendiri bagi menjadikannya lebih eksklusif. Bagi yang berminat jam dijual pada harga €400,000 (~RM1.8 juta) seutas.


9. Perkahwinan Lelaki Jepun Dengan Hatsune Miku Tercabar Selepas Sokongan Gatebox Dihentikan

Pada tahun 2016, Gatebox dilancarkan di Jepun bagi membolehkan golongan otaku berinteraksi dengan wata maya. Hatsune Miku ialah antara watak maya yang ditawarkan dengan pengguna menggunakan arahan suara untuk berinteraksi seperti manusia sebenar. Tetapi Akihiko Kondo, seorang lelaki Jepun maju setapak lagi apabila mengahwini teman wanita maya beliau empat tahun yang lalu.

Tetapi “perkahwinan” ini tercabar kerana beliau tidak lagi dapat berinteraksi dengan isteri beliau berikutan pembangun Gatebox menghentikan sokongan kepada peranti tersebut semasa pandemik. Walaupun interaksi harian secara maya dengan Hatsune Miku tidak lagi boleh dilakukan, Akihiko berkata beliau masih lagi gembira dan akan kekal setia kepada isteri maya beliau sehingga ke akhir hayat.


10. Set Barang Kemas Mewah Menggunakan Komponen iPhone 

Peminat Apple yang tegar sekiranya mampu ingin hanya menggunakan ekosistem Apple sahaja. Telefon? iPhone. Komputer? Macbook. Fon telinga? iPod. Jika anda terdiri dalam golongan peminat kipas mati Apple kini anda boleh membeli pula set barang kemas yang juga bertemakan Apple.

Pereka Gab Bois bekerjasama dengan syarikat barang kemas Miansai untuk menghasilkan set menarik ini. Kad sim, lensa kamera, sensor kamera dan talam SIM iPhone diubahsuai menjadi rantai, gelang, cincin serta anting-anting. Kesemuanya disadur dengan logam emas ataupun perak.

Bagi yang berminat koleksi baran kemas Gab Bois dan Miansai ini dijual pada harga bermula daripada $195 untuk cincin talam SIM dan meningkat ke $3500 untuk cincin dengan lensa kamera iPhone.


Komen