Cari @ Amanz

Selepas senarai berita teknologi ketenteraan beberapa hari yang lalu. Kini tiba rangkuman teknologi aeronautik dan aeroangkasa paling menarik 2022. Senarai ini dipenuhi dengan pelbagai kejayaan pertama dalam sejarah manusia yang memberikan harapan 2023 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk sektor teknologi ini.


1. Pesawat Kargo Terbesar Antonov An-225 Mriya Musnah

Berita menyedihkan diterima peminat aeroangkasa dunia apabila berita pesawat kargo komersial terbesar dunia Antonov An-225 Mriya musnah Mac lalu kerana konflik di Ukraine. Video yang diambil di Lapangan Terbang Antonov yang muncul hari ini menunjukkan bahagian hadapan pesawat terbakar dan remuk dengan bahagian hidung ranap ke permukaan lantai hangar.

Hanya satu An-225 dibina pada tahun 1985 untuk mengangkut kapal angkasa Buran program angkasa lepas Soviet. Selepas Kesatuan Soviet ranap, pesawat ini diubahsuai untuk menjadi pesawat kargo terbesar dunia yang dilengkapi enam enjin. Rekod dunia kargo untuk kapal terbang kesemuanya dipegang oleh Mriya Syarikat pertahanan negara Ukraine, Ukroboronprom mengeluarkan kenyataan bahawa pesawat akan dibina semula dengan kos sekitar $3 bilion yang akan ditanggung oleh Rusia.


2. AX-1 – Misi Pertama Syarikat Swasta Menghantar Angkasawan Ke ISS

Satu lagi sejarah aeroangkasa dicatatkan dengan Misi Axiom Space 1 (AX-1) berjaya dilancarkan pada April lalu. Empat orang angkasawan dari Axiom Space dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Falcon 9 milik Space X. Ini menjadikan AX-1 misi pertama milik swasta sepenuhnya ke ISS.

Empat orang krew Michael López-Alegría, Larry Connor, Mark Pathy dan Eytan Stibbe kini dalam perjalanan ke ISS di dalam kapsul angkasa Crew Dragon. Apabila ia berlabuh ke ISS kelak, krew akan melakukan pelbagai misi saintifik dan komersial selama seminggu sebelum pulang semula ke bumi di sekitar perairan Florida.

Axiom Space ingin melakukan misi ke ISS sekurang-kurangnya dua tahun sekali dengan syarikat swasta ini akan mempunyai modul tersendiri sebagai hotel di stesen angkasa tersebut.


3. Bombardier Global 8000 – Pesawat Peribadi Supersonik

Jet peribadi perniagaan mula ditawarkan pada dekad 60an bagi memenuhi golongan profesional yang ingin terbang pantas ke destinasi. Learjet medominasi pasaran ini sebelum dicabar syarikat seperti Gulfstream, Cessna dan Bombardier. Mei lalu Bombardier Global 8000 dilancarkan yang menurut pengeluar ialah jet peribadi perniagaan terpantas di dunia.

Dalam ujian yang telah dilakukan, Global 8000 mencecah kelajuan Mach 1.015 yang bersamaan dengan 1253 km/j. Ini adalah melebihi had minimum supersonik 1,060km/j. Dengan tangki penuh pula ia boleh terbang berterusan sejauh 8000 batu nautika (14816 km). Kabin mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan 19 penumpang pada satu-satu masa. Pesawat ini dijangka memulakan operasi seawal 2025 lebih awal berbanding pesawat penumpang komersial supersonic Boom Overture.


4. NASA Secara Rasmi Memulakan Kajian Mengenai UFO

NASA kini secara rasmi menubuhkan pasukan yang mengkaji fenomena objek terbang tidak dikenali (UAP) – nama lain untuk UFO pada bulan Jun. Keputusan kajian akan dikongsi kepada orang ramai. Data insiden-insiden terdahulu akan dikumpul dan saranan bagaimana data baharu akan diproses akan dilakukan oleh pasukan ini. Pendapat pakar aeronautik dan ahli sains akan diambil kira untuk mencari jawapan sebenar mengenai UAP.

Selain itu pasukan ditubuhkan untuk melihat sama ada UAP mungkin adalah cabang sains baharu dan bukanlah sesuatu yang misterius ataupun paranormal. Seramai 16 orang pakar dalam bidang sains, aeroangkasa, astronomi, oseanografi, pengimejan, juruterbang, angkasawan dan kecerdasan buatan terlibat dalam kajian yang akan mengambil masa sembilan bulan. Laporan kajian akan diterbitkan pada tahun 2023 dengan ia mungkin menjawab sama ada UAP benar-benar wujud atau sekadar fenomena semula jadi yang disalah erti oleh manusia.


5. Teleskop James Webb Mengambil Gambar Pertama

Teleskop angkasa James Webb dilancarkan pada penghujung 2021. Pada Julai lalu ia akhirnya menghantar gambar pertamanya. Gambar bahagian angkasa yang diberi nama SMACS0723 adalah hanya sebesar butir pasir yang diletakkan di hujung tangan. Ia diberikan nama Webb’s First Deep Field menunjukkan ribuan galaksi yang wujud di angkasa dalam sektor yang kecil ini.

Untuk mengambil Webb’s First Deep Field kamera infra merah teleskop mengambil beberapa gambar dalam masa 12.5 jam sebelum ia digabungkan menjadi satu imej komposit. Dengan gambar yang lebih beresolusi lebih tinggi dan terang berbanding teleskop Hubble, saintis dapat melihat lebih jelas angkasa lepas yang masih dipenuhi misteri. Selepas kejayaan ini James Webb menghantar lebih banyak gambar angkasa lepas pada resolusi lebih tinggi dan gambar galaksi paling jauh pernah diambil – sejauh 35 bilion tahun cahaya.


6. Satelit MEASAT-3d Memulakan Operasi Komersial

Satelit MEASAT-3d memulakan perkhidmatan komersial pada bulan Julai selepas diserahkan secara rasmi oleh Airbus Defence and Space. Penyerahan dilakukan lebih awal daripada jadual selepas ia berjaya menyempurnakan ujian di orbit.

MEASAT-3d ialah satelit multi-fungsi yang dijangka akan beroperasi sehingga 18 tahun. Ia mempunyai kemampuan muatan jalur-C dan jalur-Ku untuk perkhidmatan video dan Direct-to-Home (DTH) dan muatan jalur-Ka untuk penawaran internet jalur lebar berkelajuan tinggi . Ini adalah bagi menyokong sasaran Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Kerajaan Malaysia bagi mencapai 100% liputan Internet menjelang 2025.

Selain itu satelit itu turut menyediakan muatan jalur Q/V yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik membolehkan MEASAT mengkaji kesan penyebaran frekuensi radio di kawasan mengalami hujan lebat seperti di Malaysia yang akan membantu proses merekabentuk satelit generasi yang seterusnya.

Akhir sekali MEASAT-3d turut membawa muatan untuk KTSAT yang akan digunakan menambah baik ketepatan isyarat GPS untuk kapal terbang serta meningkatkan lagi keselamatan penerbangan pesawat di Korea Selatan.


7. MAS Menggantikan Sistem Hiburan Kabin Dengan Peranti Pengguna

Sistem hiburan dalam pesawat sudah menjadi perkara biasa sejak awal 2000. Skrin kecil di belakang ​​kerusi menawarkan pelbagai hiburan dalam pesawat. Malaysia Airlines memperlihatkan rekaan kabin baharu untuk pesawat Boeing 737-800 NG mereka yang menggantikan sistem hiburan dengan peranti milik penumpang pada bulan Julai.

Tiada lagi skrin terbina pada setiap kerusi penumpang kelas perniagaan dan ekonomi. Sebaliknya penumpang menggunakan skrin telefon pintar dan tablet peribadi untuk mengakses sistem hiburan dalam pesawat (IFE) yang menawarkan filem, siri TV, muzik dan podsiar. Terdapat pemegang peranti terbina pada setiap kerusi yang boleh menempatkan telefon dan tablet bersaiz besar dengan selamat sepanjang penerbangan.

Menurut Malaysia Airlines, kombinasi kerusi yang lebih nipis dan tidak lagi memberikan sistem hiburan akan menjimatkan penggunaan sehingga 1029 liter bahan api setahun.


8. Pesawat Nancy Pelosi Dari Malaysia ke Taiwan Paling Banyak Dijejak Dalam Sejarah

Penerbangan Speaker Dewan perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ke Taipei pada Ogos mencatatkan rekod dijejak paling tinggi di laman Flightradar24. Ia kali pertama sejak 1997, seorang Speaker Dewan Perwakilan A.S melawat Taiwan yang tidak diiktiraf oleh China sebagai sebuah negara merdeka.

Pergerakan pesawat SPAR19 yang membawah Pelosi mencatatkan sehingga 2.92 juta pengikut sepanjang penerbangan selama lebih 7 jam. Lebih 700,00 penjejak dicatatkan semasa pesawat tiba ke destinasi. Pesawat mengambil jalan jauh mengikuti laluan merentas ruang udara Indonesia dan Filipina sebelum mengubah arah ke utara untuk tiba di Taiwan bagi mengelakkan terbang merentasi ruang udara markas milik tentera China di Laut China Selatan.


9. DART – Sistem Pertahanan Bumi Daripada Serangan Asteroid Berjaya Diuji

Pada 27 September lalu, satelit DART dihempas ke permukaan asteroid Dimorphos pada kelajuan melebihi 22,000 km/j. Misi dilakukan bagi melihat sama ada teknik menghentam DART yang sebesar mesin layan diri ke permukaan Dimorphos yang sebesar sebuah stadium akan mengubah hala tujunya.

Pasca dihentam, saintis NASA mengumumkan orbit Dimorphos berjaya dipendekkan sekitar 32 minit berbanding 11 jam 55 minit sebelum ini. Para saintis meletakkan sasaran jika orbit berjaya diubah sekurang-kurangnya 73 saat, ia boleh dilihat sebagai kejayaan. Maka misi DART membuktikan bahawa hala tuju asteroid yang mungkin menghentam bumi di masa hadapan boleh diubah menggunakan teknik yang sama.

Kajian belum berakhir kerana saintis kini ingin menganalisa sejauh mana momentum dari DART dipindahkan ke asteroid dengan melihat puing-puing debu yang dilepaskan pasca hentaman. Dengan data yang lebih lengkap, saintis boleh melihat keberkesanan sebenar sistem pertahanan bumi apabila diperlukan kelak.


10. Misi Artemis-1 Berjaya Dilancarkan – Langkah Pertama Kembali Ke Bulan

Setelah beberapa kali ditunda akibat kerosakan enjin roket dan angin taufan, misi Artemis 1 akhirnya berjaya dilancarkan bagi melakukan misi menghantar kapsul Orion mengelilingi bulan. Artemis 1 ialah roket angkasa paling berkuasa yang dibangunkan setakat ini, menggunakan sistem roket Space Launch System (SLS) dan membawa kapsul Orion.

Setakat ini misi berjalan dengan lancar dengan kapsul Orion kini memegang rekod kapal angkasa buatan manusia yang dapat bergerak paling jauh dari bumi minggu lalu. Ia kini dalam perjalanan pulang semula ke bumi untuk mendarat di permukaan Lautan Atlantic pada hari Ahad depan. Artemis 1 ialah misi pertama ke arah mengembalikan manusia ke permukaan bulan menjelang 2025. Selepas ini misi Artemis 2 pula akan menghantar krew manusia mengelilingi bulan menggunakan sebuah lagi kapsul Orion.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd