Carian
10 Berita Teknologi Kecerdasan Buatan Paling Menarik 2022
December 21, 2022 Effi Saharudin

Kecerdasan buatan menjadi bualan ramai kerana ia kini berkemampuan menghasilkan karya seni, menulis karangan panjang dan menjana video dengan hanya berbekalkan input teks pendek dari pengguna. Terdapat ramalan mengatakan negara yang mengawal kecerdasan buatan akan mengawal dunia. Mungkin ini ada kebenarannya. Berikut ialah 10 berita teknologi kecerdasan buatan yang paling menarik 2022.


1. Perak Memperkenalkan Lampu Isyarat Pintar Dilengkapi Kecerdasan Buatan

Perak melancarkan sistem lampu isyarat pintar pertama di negeri tersebut – dilengkapi dengan sokongan kecerdasan buatan dalam memastikan aliran trafik lancar di Bandaraya Ipoh pada Jun lalu. Buat masa ini, ia diuji di empat lokasi di Ipoh sebelum diperluaskan ke daerah-daerah lain secara berperingkat dengan ia dijangka mengurangkan kesesakan sehingga 51%.

Empat lokasi yang dipasang sistem lampu isyarat pintar ini adalah di persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Laksamana; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Datuk Onn Jaafar; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Musa Aziz; dan persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Ekram.

Dalam membangunkan sistem lampu isyarat pintar ini, ia melibatkan kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh dan juga Telekom Malaysia. Sistem ini telah diuji sejak November lepas, dan kini akhirnya diperkenalkan secara rasmi.


2. 2022 Ialah Tahun Kebangkitan Kecerdasan Buatan Menjana Imej dan Video

Tahun 2022 ialah tahun kecerdasan buatan yang boleh menjadi imej dengan hanya mengambil input teks daripada pengguna mencapai arus perdana. Arena yang tidak begitu diambil peduli oleh orang ramai kini menjadi bualan terima kasih kepada DALL.E 2, Stable Diffusion 2, Google Imagen, DreamFusion, LENSA dan Make A Scene.

Ia membuka perdebatan mengenai etika menggunakan kecerdasan buatan untuk menggantikan artis manusia. Adakah pampasan perlu dibayar jika kecerdasan buatan meniru gaya artis terkemuka yang masih hidup dan telah meninggal dunia? Pada waktu ini tentangan kepada kecerdasan buatan telah dimulakan golongan artis.

Ada juga yang mentertawakan kecerdasan buatan ini kerana tidak mampu menghasilkan imej dengan anatomi yang tepat. Ketawalah sekarang selagi boleh kerana DeepMind dahulu turut diketawakan dilihat sekadar mesin catur dan Go. Ia kini menjadi asas kepada pelbagai kecerdasan buatan yang kemampuannya lebih baik berbanding manusia.


3. Deepmind Semakin Matang Dan Mungkin Menjadi Skynet Sebenar

Kami sentuh mengenai DeepMind dalam perenggan di atas. Kami berikan segmen khas untuk pencapaian DeepMind sepanjang 2022 di sini kerana mereka melancarkan beberapa lagi kecerdasan buatan yang bakal mengubah dunia. AlphaCode yang diumumkan pada bulan Februari boleh menulis kod sebaik manusia. Sebulan kemudian DeepMind telah digunakan pula untuk mentafsir dokumen purba yang tidak lengkap.

Di bulan Julai pula DeepMind menerbitkan kesemua 200 juta struktur protein yang boleh wujud di dunia yang ditemukan oleh kecerdasan buatan AlphaFold menerusi kerjasama EMBL European Bioinformatics Institute (EMBL-EBI). Sejak AlphaFold mula berkongsi struktur-struktur yang ditemukan secara terbuka setahun lalu, lebih 500,000 ahli saintis telah mengkases pangkalan datannya.

Akhir sekali pada bulan September DeepMind melatih kecerdasan buatan untuk bermain bola sepak dan chatbot Sparrow diumumkan dengan ia boleh melakukan carian Google untuk mencari jawapan kepada soalan yang tidak mampu dijawabnya. Tidak mengejutkan jika di masa hadapan DeepMind menjadi Skynet sebenar dan kita hanya mampu berdoa ia tidak menghasilkan Judgement Day!


4. OpenAI Melancarkan ChatGPT Yang Menghasilkan Karangan Berdasarkan Input Pendek

Kontroversi Stable Diffusion dan DALL.E 2 masih belum reda kerana menggunakan karya artis tanpa kebenaran untuk ditiru gaya. Secara tiba-tiba awal bulan ini ChatGPT pula dilancarkan oleh OpenAI dengan kemampuan menghasilkan karangan pendek berdasarkan input yang dimasukkan oleh pengguna.

Seperti perisian chat biasa, ChatGPT boleh menghasilkan karangan pendek berdasarkan pelbagai jenis topik yang diminta. Ia mengambil masa beberapa saat sahaja untuk menulis teks yang akan memerlukan manusia beberapa minit untuk melakukan perkara yang sama. 

Beberapa hari selepas dilancarkan, ia telah digunakan untuk menulis sebuah buku kanak-kanak dan kemudiannya mencatatkan 1 juta pengguna dalam masa seminggu. Kerana ChatGPT boleh digunakan dengan percuma, muncul persoalan bagaimanakah untuk mengesan karya yang dihasilkannya jika seorang pelajar ingin mengelak dari menulis sendiri kerja rumah.


5. James Earl Jones Menjual Hak Suara Darth Vader Untuk Digunakan Oleh Kecerdasan Buatan

Pelakon James Earl Jones bertanggungjawab meminjamkan suara ikonik beliau kepada watak Darth Vader Mufasa. Beliau yang kini sudah berusia 91 tahun dan ingin berhenti memberikan suara beliau kepada watak Darth Vader. Bagi membolehkan Vader terus digunakan untuk siri dan filem Star Wars yang seterusnya, Earl Jones telah menjual hak menggunakan suara beliau kepada firm kecerdasan buatan.

Respeecher sebuah firma dari Ukraine kini memegang hak untuk menggunakan semula suara beliau. Dengan kecerdasan buatan yang dibangunkan sendiri, suara Earl Jones boleh digunakan untuk pelbagai skrip yang dikehendaki. 

Penggunaan semua kecerdasan buatan untuk merekodkan dialog kini sudah digunakan dengan meluas. Suara Val Kilmer dalam Top Gun Maverick dan dokumentari beliau dihasilkan dengan kecerdasan buatan dan filem Fall pula merekod semula suara menggunakan kecerdasan buatan bagi memadam dialog asal yang mengandungi carutan.


6. Wanita Mati Berbual Dengan Hadirin Di Majlis Pengebumian Menggunakan Kecerdasan Buatan

James Earl Jones meminjam suara semasa masih lagi hidup kepada firma kecerdasan buatan. Tetapi Marina Smith dari UK menggunakan kecerdasan buatan untuk berbual dengan hadirin di acara pengebumian beliau.

Teknologi kecerdasan buatan oleh StoryFile digabungkan dengan avatar hologram mendiang Smith menjawab soalan yang ditanyakan oleh hadirin seakan beliau masih lagi hidup. Sebelum meninggal dunia, StoryFile menggunakan 20 kamera untuk merakam sesi soal jawab dengan Smith dengan belia turut menjawab pelbagai soalan yang dipilih.

StoryFile telah dibangunkan sejak 2017 untuk mengumpul cerita daripada insan ternama seperti William Shatner supaya generasi hadapan boleh berinteraksi dengan mereka selepas meninggal dunia.


7. Parti Sintetik Ingin Kecerdasan Buatan Bertanding Dalam Pilihanraya Denmark

Adalah kita sudah bersedia untuk diperintah oleh kecerdasan buatan? Di Denmark kolektif seni Computer Lars telah menubuhkan Parti Sintetik dengan ketua parti politik ini ialah sebuah kecerdasan buatan. Parti ini kini sedang mengumpul undian yang mencukupi bagi membenarkan ia bertanding dala pilihanraya Denmark.

Antara manifesto Parti Sintetik ialah menaikkan gaji minima ke 100,000 Krone (~RM60,138) dan ingin memperkenalkan pengguna algoritma dalam aktiviti politik moden. Untuk dibenarkan bertanding dalam pilihanraya, Parti Sintetik perlu mendapat sekitar 21,000 tanda tangan sokongan. Oleh itu orang ramai yang berminat boleh berinteraksi dengan kecerdasan buatan menerusi perkhidmatan Discord untuk membincangkan isu semasa.


8. Filem Sains Fiksyen Ini Dihasilkan Menggunakan Kecerdasan Buatan

DALL.E, DeepFake, Midjourney, Murph, dan Stable Diffusion adalah antara kecerdasan buatan yang boleh digunakan untuk menghasilkan gambar dan video palsu yang tampak realistik Kerana kemampuan kecerdasan kini semakin baik, Fabian Stelzer seorang usahawan dari Jerman mengumumkan filem Salt yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan.

Filem yang diberi nama Salt akan menggunakan imej yang dijana kecerdasan buatan sebagai latar belakang, prop dan juga pelakon maya. Perisian lain kemudiannya akan digunakan untuk menghasilkan animasi dan pergerakan waja pelakon dalam filem ini. Tidak seperti filem tradisional, Stelzer mengambil input dari orang ramai menerusi media sosial untuk menghasilkan plot filem yang tidak ditulis sebelum ia dihasilkan.


9. Intel FakeCatcher Mampu Mengesan Video Deepfake Dengan Ketepatan 96%

Teknologi Deepfake membolehkan wajah individu ditampal pada wajah individu lain dalam video. Ini boleh menimbulkan fitnah sekiranya teknologi digunakan untuk tujuan yang salah. Untuk mengesan pemalsuan ini juga bukan mudah kerana teknologi Deepfake semakin matang. Oleh itu Intel melancarkan perisian FakeCatcher yang menurut mereka mempunyai ketepatan 96% mengesan pemalsuan dalam video.

Yang menjadikan FakeCatcher menarik ialah, kecerdasan buatan ini mengesan aliran darah untuk membezakan video asli dengan video palsu. Pada wajah manusia sebenar, perubahan pada kulit boleh dikesan kerana darah mengalir. Ini tidak berlaku pada wajah yang ditampal menggunakan teknologi seperti DeepFake.


10. Google Memecat Jurutera Yang Mengatakan Kecerdasan Buatan LaMDA Mencapai Tahap Makhluk Berakal

Jurutera Google Blake Lemoine yang pada Jun lalu mendakwa kecerdasan buatan Language Model for Dialogue Applications (LaMDA) mencapai makhluk berakal (sentient) telahpun dipecat. Sebelum ini beliau sekadar digantung tetapi pemecatan dilakukan kerana beliau melanggar polisi syarikat mengenai keselamatan data dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh kakitangan Google.

Lemoine turut mendakwa LaMDA mempunyai perasaan dan emosi dalam perbualan yang dilakukan secara dua hala. Dakwaan beliau telah disangkal bukan sahaja oleh Google tetapi penyelidik kecerdasan buatan dari luar syarikat. 

LaMDA dibangunkan oleh Google untuk menghasilkan kecerdasan buatan yang mampu melakukan perbualan seperti manusia sebenar. Ia amatlah berguna untuk pembantu maya seperti Google Assistant yang kini boleh melakukan panggilan telefon dengan manusia sebenar di beberapa negara seperti Amerika Syarikat.


BONUS – Google dan Meta Meneruskan Langkah Menghasilkan Penterjemah Universal

Terlalu banyak kejayaan kecerdasan buatan tahun ini sehingga memaksa kami menambah satu entri tambahan khusus untuk pembangunan penterjemah universal. Dalam filem sains fiksyen, manusia pergi ke planet makhluk asing dan penterjemah universal membolehkan komunikasi dua hala dilakukan secara masa nyata menggunakan dua bahasa berbeza.

Google dan Meta mengumumkan projek penterjemah masa nyata mereka tahun ini. Projek Google 1000 Languages Initiative ingin membangunkan sebuah model AI yang boleh memahami 1000 bahasa. Model akan dilatih untuk menyokong 1000 bahasa supaya di masa hadapan ia bukan sahaja boleh menjadi penterjemah sarwajagat tetapi juga boleh digunakan untuk mengenalpasti imej, video dan arahan suara dalam pelbagai bahasa.

Meta pula membangunkan kecerdasan buatan yang boleh mengalih bahasa secara masa nyata supaya pengguna metamesta boleh berhubung dengan lebih baik. Menurut Meta sekitar 20% penduduk di bumi tidak menggunakan bahasa utama yang disokong oleh perisian alih bahasa komersial. Bahasa Melayu adalah tergolong di dalam kumpulan ini. Kerana tiadanya sokongan bahasa, mereka mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan pengguna global dan pandangan mereka tidak didengari.

Komen