Carian
10 Berita Teknologi Senibina Paling Menarik 2022
December 19, 2022 Effi Saharudin

Berita teknologi senibina tahun ini didominasi oleh projek mega yang menakjubkan serta projek bandaraya yang lebih lestari. Tetapi masih wujud beberapa projek yang boleh dikategorikan sebagai aneh seperti rumah yang mampu terapung dalam banjir. Ini adalah 10 berita teknologi senibina paling menarik sepanjang 2022.


1. i-City Dan Huawei Bekerjasama Membangunkan Bandaraya Pintar Generasi Baru

i-City di Shah Alam lebih dikenali ramai dengan taman tema salji, pameran patung lilin selebriti dan pokok berlampu. Tetapi ramai mungkin terlupa tujuan sebenar ia dibangunkan ialah bagi menjadi sebuah bantar pintar di Selangor. Impian ini masih lagi berbara justeru itu i-Berhad telah menandatangani perjanjian dengan Huawei Enterprise Malaysia untuk membangunkan bandaraya pintar generasi hadapan pada Januari lalu.

Jika dahulu sebuah bandar pintar hanya perlu mempunyai capaian Internet pantas, Huawei dan i-Berhad ingin membina sebuah banda yang pintar dari pelbagai aspek. Misalnya penduduk boleh menaiki bas dengan kemampuan swapandu bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya. Rangkaian kamera litar tertutup pintar pula boleh menghalang jenayah sebelum berlaku dan bangunan pintar menjimatkan penggunaan tenaga. Kesemua perkhidmatan di dalam bandaraya boleh diakses oleh penduduk menerusi aplikasi i-City Super App.


2. Arab Saudi Memulakan Pembinaan Bangunan Terbesar Dunia The Line Sepanjang 170 km

Arab Saudi ini membentuk semula imej mereka sebagai negara berteknologi moden dan lestari pada kurun ke-21. Pelaburan membina tempat pelancongan moden mula dilakukan dengan pempengaruh dari Barat dibayar untuk mempromosikan destinasi percutian yang menarik. Seterusnya Arab Saudi akan membina bangunan terbesar dunia yang mampu menempatkan 9 juta penduduk.

Bangunan yang diberi nama The Line terdiri daripada dua pencakar langit yang setiap satunya sepanjang 170 km dan setinggi 500 meter. Ini sekaligus turut menjadikannya struktur terbesar pernah dibina oleh manusia. Pembinaannya sudahpun dimulakan di bandaraya NEOM.

Penduduk The Mirror Line akan menggunakan kereta api halaju tinggi bawah tanah untuk pergi ke semua destinasi di antara hujung ke hujung struktur mega ini dengan pantas. Penduduk bandaraya linear ini tidak memerlukan bekalan dari luar dengan kesemua yang diperlukan termasuk bekalan makanan akan dihasilkan sendiri termasuk penggunaan sumber tenaga mesra alam. Pembinaan dianggarkan menelan belanja $1 trilion dan disasarkan siap menjelang 2030.


3. Bangunan Setinggi 2 Kilometer Dilaporkan Bakal Dibina Di Riyadh

Tidak cukup dengan pelan membina banda linear terpanjang serta tertinggi dunia The Line di Neom, Arab Saudi turut mempunyai perancangan membina bangunan tertinggi dunia pula di Riyadh. Kerajaan Saudi sedang mengumpulkan cadangan dari syarikat senibina terkemuka untuk menara setinggi lebih 2000 meter.

Ini menjadikannya jauh lebih tinggi berbanding pemegang rekod dunia menara Burj Khalifa setinggi 830 meter di Dubai. Lebih sedekad lalu pembinaan Jeddah Tower setinggi 1008 meter dimulakan tetapi pembinaan tergendala selepas pemilik syarikat pembinaan dipenjarakan oleh Putera Muhammed bin Salman.


4. Apple Membuka Pejabat Baharu Di London Dalam Bangunan Milik Syarikat Malaysia

Tim Cook mendedahkan bahawa Apple lokasi pejabat baharu mereka di London adalah di Battersea Power Station yang akan memulakan operasi tahun 2023. Pemilihan Battersea Power Station adalah menarik kerana projek pembangunan semula kawasan ikonik di kota London ini adalah di bawah kelolaan dua syarikat Malaysia iaitu SP Setia dan Sime Darby.

Sebelum diubah menjadi kawasan komersial, pejabat dan perumahan, Battersea Power Station membekalkan kuasa elektrik arang batu dari tahun 1955 hingga 1983. Kerana rekaan stesen yang unik, ia diberikan status bangunan bersejarah Gred II oleh kerajaan United Kingdom.

Pembinaan Battersea tergendala beberapa kali akibat bantahan dari orang ramai dan juga pandemik. Walaupun sekian lama terbiar sementara menanti pemilik baharu, stesen janakuasa ini turut digunakan sebagai set penggambaran filem Aliens sebagai stesen janakuasa merangkap sarang Xenomorph dan Batman The Dark Knight di mana letupan berlaku menyebabkan kematian Rachel Dawes.


5. Firma Jepun Menawarkan Rumah Kalis Banjir Yang Terapung Dan Tahan Tekanan Air

https://youtube.com/watch?v=resXK8CyUXw%3Fversion%3D3%26rel%3D1%26showsearch%3D0%26showinfo%3D1%26iv_load_policy%3D1%26fs%3D1%26hl%3Den-US%26autohide%3D2%26wmode%3Dtransparent

Ichijo Komuten, sebuah firma pembinaan Jepun kini menawarkan rumah kalis banjir mereka kepada pelanggan yang berminat. Rumah yang dibina dilengkapi empat sistem pertahanan banjir. Sistem pertama menutup kesemua lubang pengudaraan bahagian lantai yang digunakan di Jepun. Apabila air naik lubang akan ditutup sebelum ia boleh memasuki ruang rumah.

Seterusnya ialah injap yang menghalang air memasuki rumah menerusi paip kumbahan tandas, dapur dan bilik mandi. Injap hanya membenarkan air mengalir sehala dan apabila banjir berlaku ia akan ditutup secara automatik kerana aliran air banjir dari luar.

Kaca pada pintu dan tingkap mempunyai binaan berlapis bagi menahan tekanan air yang tinggi. Bingkai juga diperkukuhkan untuk mengelakkan kebocoran atau tertanggal dari dinding.

Peringkat pertahanan terakhir ialah rumah akan terapung dengan terdapat sauh yang mengelakkan ia dihanyutkan dari tapak. Empat tiang kukuh dibina dengan struktur rumah bergerak ke atas mengikut ketinggian air. Kesemua sistem elektrik, saluran air bersih, kumbahan dan pendingin hawa juga diletakkan lebih tinggi dan dicantumkan terus ke rumah supaya tiada isu ia perlu dibaiki selepas air surut.


6. Rekaan Bitcoin City El Salvador Dengan Dek Tinjauan Di Gunung Berapi Diperlihatkan

Tahun 2021, Presiden Nayib Bukele mengumumkan projek Bitcoin City di El Salvador untuk menjadikannya bandar kripto pertama dunia. Apabila dibuka kelak ia akan menjadi pusat perlombongan kripto yang mesra alam kerana sumber kuasa dijana sepenuhnya menggunakan sumber lestari.

Antara struktur paling menarik ialah sebuah dek tinjauan yang diletakkan di sebuah gunung berapi yang turut akan membekalkan sumber kuasa geoterma ke seluruh bandaraya baharu ini. Untuk menyokong Bitcoin City sebuah lapangan terbang baharu berbentuk bulat dan pelabuhan juga akan dibina.

Sebagai negara pertama di dunia yang menerima Bitcoin sebagai mata wang rasmi, pembinaan Bitcoin City dilihat sebagai komitmen negara untuk menjadi peneraju mata wang kripto dunia. Semasa projek diumumkan tahun lalu, Presiden Bukele berkata El Salvador akan menggunakan bon bernilai $1 bilion. Dengan nilai kesemua kripto utama dunia jatuh mendadak, tidak diketahui sama ada projek ini akan ditangguhkan sementara menanti nilai Bitcoin kembali tinggi.


7. Bangunan Berbentuk Bulan Ingin Menawarkan Pengalaman Bercuti Di Permukaan Bulan Di Bumi

Percutian ke angkasa lepas akan menjadi lenturan media sosial yang tertinggi kerana hanya golongan 1% mampu untuk membayar tiket yang ditawarkan oleh SpaceX, Blue Origin dan Virgin Galactic. Bagi golongan marhaen ini dilihat sebagai sesuatu yang mustahil oleh itu firma Moon World Resort ingin menawarkan pengalaman berada di bulan di muka bumi.

Moon World Resort ingin membina Moon – bangunan berbentuk seperti bulan di beberapa lokasi dunia. Di dalam kubah gergasi Moon, pelawat boleh mempunyai pengalaman seperti bercuti di sebuah koloni di permukaan bulan.

Kubang sfera gergasi Moon mencapai ketinggian 224 meter dengan ia akan dilengkapi pusat percutian, hotel, restoran, pusat membeli belah dan kasino. Lokasi Moon pertama belum lagi disahkan tetapi Dubai dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk projek peranginan yang unik ini.


8. Jepun Perlihatkan Projek Graviti Buatan Untuk Kehidupan Di Bulan Dan Marikh

Dengan perkembangan eksplorasi angkasa, pelbagai pihak menyasarkan pelancongan angkasa, di samping penempatan di Bulan dan juga planet Marikh. Tetapi, seperti semua sedia maklum, persekitaran di angkasa adalah berbeza, terutamanya dari segi tarikan graviti untuk memudahkan manusia bergerak, atau membina penempatan.

Bagi tujuan tersebut, kini sebuah firma di Jepun bekerjasama dengan Universiti Kyoto dalam memperlihatkan projek pembangunan penempatan dengan menyertakan graviti buatan. Melalui idea awal yang diperlihatkan, pengkaji dan para saintis Jepun ini memperlihatkan binaan berbentuk kon, dan ia berputar dalam menjana daya seumpama tarikan graviti di Bumi.

Dengan projek yang dibentangkan ini, pengkaji di Jepun menyasarkan untuk cuba membina versi awal fasiliti ini di Bulan menjelang 2050 kelak.


9. Nakagin Capsule Tower Yang Mempopularkan Rekaan Kapsul Akan Dirobohkan April Lalu

Jepun mempopularkan penggunaan bilik kapsul sebagai tempat penginapan yang kompak dan murah. Kini konsep hotel kapsul sudah berkembang ke seluruh dunia dan amat berguna bagi mereka yang ingin berehat sementara di lapangan terbang misalnya. Rekaan kapsul yang modular ini boleh dikesan asal usulnya ke Nakagin Capsule Tower yang dibina di Tokyo pada tahun 1972.

Bangunan yang cukup ikonik ini direka oleh Kisho Kurokawa yang juga antara penyokong gerakan metabolisme yang ingin menghasilkan senibina yang lebih organik. Malang sekali bagi peminat sejarah senibina, Nakagin Capsule Tower akan dirobohkan sepenuhnya pada 12 April ini selepas beberapa usaha untuk mengekalkannya gagal.

Sebahagian daripada 140 kapsul yang menjadi blok binaan seakan Lego menara ini akan digunakan semula sebagai penempatan kos rendah dan sebahagian kecil lagi akan disimpan untuk generasi hadapan. 


10. Jambatan Gantung Terpanjang Dunia Dibuka Di Republik Czech

Jambatan Sky Bridge 721 telah dibuka di pergunungan Kralicky Snezník. Ia sepanjang 721 meter dengan ketinggian maksimum 95 meter. Sejak dibuka pada 13 Mei lalu, ia kini memegang rekod sebagai jambatan gantung pejalan kaki terpanjang dunia memintas rekod 516 meter yang dipegang oleh Jambatan Arouca di Portugal.

Walaupun panjang, Sky Bridge hanya selebar 1.2 meter sahaja yang membenarkan perjalanan sehala sahaja pada satu-satu masa. Sebagai langkah keselamatan hanya 500 pengunjung dibenarkan atas jambatan dan ia juga akan ditutup jika angin bertiup melebihi 135 km/j. Pembinaan memakan masa dua tahun dan pelawat perlu membayar 350 Czech Koruna (~RM65) seorang untuk berjalan merentasi jambatan ini.

Komen