Cari @ Amanz

2022 adalah sebuah tahun yang kami akan katakan penuh dengan pelbagai drama dan berita-berita besar dalam arena teknologi, dari segi pengambil-alihan syarikat, isu sekuriti digital, pengumuman teknologi-teknologi baru dan juga polisi-polisi baru yang mencorakkan bagaimana syarikat-syarikat mereka peranti untuk masa hadapan. Ini adalah 10 daripada berita terbesar teknologi yang telah kami laporkan sepanjang tahun 2022.


1. 5G Di Malaysia – Indah Khabar Dari Rupa

Pembangunan rangkaian telekomunikasi 5G Malaysia yang bermula sejak 2019 melalui program NFCP sepatutnya memberi rakyat negara ini peluang untuk menikmati kelebihan-kelebihan seperti internet mudah-alih berkelajuan tinggi dan juga membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk memanfaatkan perkhidmatan atas talian dengan lebih meluas.

5G Malaysia

Sayangnya, empat tahun kemudian, akibat wabak COVID dan juga pertukaran kerajaan telah menyukarkan pembangunan rangkaian ini. Pembangunan dan penyeliaan rangkaian 5G telah diambil-alih oleh Digital Nasional Berhad, sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Secara teknikalnya, rangkaian ini sudahpun aktif di Malaysia, di mana ia mula dimanfaatkan oleh Yes terlebih dahulu, dan setengah tahun kemudian, syarikat-syarikat seperti Digi, Celcom dan U Mobile sudahpun menyatakan kesediaan untuk menggunakan infrastruktur DNB untuk mengaktifkan sokongan rangkaian 5G mereka.

Maxis merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi gergasi tempatan yang masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi yang mereka akan menggunakan infrastruktur yang sama, tetapi baru-baru ini telah didapati sedang menguji rangkaian tersebut di beberapa lokasi.

Walaupun Kementerian Komunikasi dan Digital baru sahaja mengumumkan bahawa rangkaian 5G kini ditawarkan di 40 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia, satu lagi isu yang hadir ialah sokongan pada peranti rangkaian 5G ini masih lagi terhad.

Ini adalah kerana walaupun peranti-peranti terbaru menyokong rangkaian 5G, mereka masih perlu mendapatkan kemas kini perisian untuk mengaktifkan sokongan tersebut. Jenama-jenama seperti ASUS, Samsung, Xiaomi, OPPO dan sebagainya boleh memperkenalkan kemaskini ini kepada peranti mereka dengan kadar yang pantas, tetapi jenama seperti Apple hanya baru sahaja memperkenalkan kemas kini sokongan tersebut.

Walaupun sokongan untuk rangkaian 5G ini telah aktif, setakat ini ia dapat dilihat hanya Yes mempunyai pelan rangkaian 5G yang khusus setakat ini. Syarikat-syarikat seperti Digi, Celcom dan sebagainya buat masa ini menampakkan sokongan 5G kepada pelan rangkaian sedia ada, dengan Celcom mengatakan pada laman web mereka bahawa ini adalah untuk sementara waktu.

Setakat ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah mengatakan bahawa pihak kerajaan dan DNB akan berbincang untuk memastikan bahawa rangkaian ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai secepat yang mungkin.

Ia diharap bahawa kita akan dapat melihat implimentasi rangkaian 5G ini secara sepenuhnya sekitar awal ataupun pertengahan tahun hadapan.


2.Elon Musk membeli Twitter Untuk $44 Bilion

Pada pertengahan tahun ini, Elon Musk, CEO syarikat-syarikat automotif Tesla dan aeroangkasa SpaceX telah mengatakan minatnya untuk membangunkan sebuah platform media sosialnya sendiri untuk menandingi Twitter dan Facebook.

Selang beberapa bulan kemudian, Elon Musk menyatakan hasratnya untuk membeli syarikat media sosial Twitter pula pada harga $44 bilion, di mana kebanyakan daripada wang tersebut adalah dari pinjaman institusi bank dan sebahagian daripadanya ialah jualan saham di Tesla bernilai $8 bilion.

Selepas mengambil-alih Twitter, Elon Musk kemudiannya mengembalikan syarikat tersebut menjadi syarikat persendirian, dan telah memecat sejumlah besar pembangun dan eksekutif syarikat tersebut untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

Walaupun Twitter kini telah memperkenalkan sejumlah ciri-ciri baru pada kadar yang lebih pantas sebelum ini, mereka juga dilaporkan telah menghentikan hampir kesemua pasukan penyelia kandungan di serata dunia dan telah melakukan perkara-perkara aneh seperti membawa masuk kembali individu-individu yang sudahpun dibuang daripada platform tersebut kerana kesalahan seperti menyebarkan fitnah yang berbaur perkauman.

Salah satu kesan daripada ketidakstabilan platform ini juga dapat dilihat daripada pengumuman yang dikeluarkan oleh sejumlah pengiklan platform tersebut yang dilaporkan tidak lagi membeli iklan dalam masa terdekat kerana mahu melihat platform tersebut kembali stabil sebelum membelanjakan wang iklan.

Malah Elon Musk dilihat bertelagah dengan Apple untuk sementara, sebelum dijemput ke Cupertino, dan Apple kini kembali beriklan di platform tersebut.

Untuk masa ini, ia tidak diketahui lagi bagaimanakah Elon Musk mahu memastikan bahawa platform yang kini dimilikinya tidak terbakar dan terkubur seperti yang berlaku kepada Friendster dan MySpace sebelum ini.


3.Tak Ternilai Atau Tiada Nilai? – Kejatuhan Kripto Dan NFT

Topik paling hangat di penghujung 2021 ialah nilai mata wang kripto utama seperti Bitcoin, dan Ethereum yang mencanak naik mewujudkan ribuan jutawan muda. Di waktu kemuncak ini ramai mula mengatakan mata wang kripto akan menggantikan mata wang fiat pada tahun 2023. Di awal tahu nilai kripto mula menyusut dan antara cara untuk meningkatkannya semula ialah dengan memperkenalkan Token Tak Boleh Ubah (NFT).

NFT

Pelbagai projek NFT mula menjadi bualan ramai. Board Ape Yacht Club menjadi NFT yang paling dikenali ramai kerana dimiliki oleh golongan usahawan kripto, artis, atlet sukan dan golongan jutawan yang ingin menjadi pemilik siri yang turut memberi akses kepada kelab eksklusif.

Kegilaan NFT menyebabkan banyak projek baharu dilancarkan dengan pelbagai ciri tambahan seperti dunia metamesta, dan permainan video. Di Malaysia Pentas.io menjadi lama dagang NFT utama pengguna tempatan. Ramai percaya menerusi kuasa NFT dan kripto mereka akan menjadi hartawan sehingga ke bulan. Instagram, Facebook dan Twitter menyokong paparan koleksi NFT secara terbina bagi mengikuti trend terhangat awal tahun 2022.

NFT

Tetapi kita kini di penghujung Disember 2022. Nilai kripto utama adalah ditahap paling rendah dalam tempoh dua tahun. Pasaran NFT yang memuncak sekitar April kini merudum 97% dengan majoriti projek yang dilancarkan kini tidak bernilai langsung selepas menjadi mangsa Rug Pull.

Pelbagai amaran telahpun diberikan di awal tahun mengenai risiko pelaburan NFT dan kripto tetapi dengan berbekalkan moto DYOR, ramai yang tinggal sehelai sepinggang dengan wang simpanan persaraan fiat berubah menjadi imej JPEG buruk di atas talian yang tidak bernilai.


4.Meta Sengsara Kerana Pembangunan Dunia Metamesta

Pada tahun 2021, Facebook sebagai sebuah syarikat telah menjenamakan semula diri mereka kepada Meta, yang mana ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat tersebut untuk menjadi syarikat utama teknologi realiti maya dan juga dunia digital yang dinamakan metaverse.

CEO Meta, Mark Zuckerberg mengatakan sendiri bahawa pelan untuk membawa konsep metaverse ini ke arus perdana akan memakan belanja yang sangat tinggi dan akan mengambil masa 3-5 tahun.

Untuk tahun pertama ini, Meta dilihat telah jatuh dari segi syarikat-syarikat teknologi dengan modal pasaran tertinggi apabila dibandingkan dengan Apple, Microsoft, Google dan sebagainya.

Mark Zuckerberg

Malah, nilai kekayaan Mark Zuckerberg sendiri dilihat merudum dengan teruk sekali. Jika sebelum ini nilai kekayaannya dilihat melangkaui $140 bilion dan meletakkannya di antara tiga individu terkaya dunia, fokusnya terhadap membangunkan teknologi metaverse ini menyebabkannya kehilangan sekitar $100 bilion daripada nilai tersebut.

Bukan itu sahaja, Meta juga dilihat telah membuang sekitar 10 ribu pekerja baru-baru ini kerana kegawatan ekonomi global yang memaksa mereka untuk melakukannya. Mengeruhkan keadaan lagi, WhatsApp dan Instagram, dua syarikat di bawah naungan Meta juga telah menghadapi isu untuk diakses beberapa kali pada tahun ini, yang telah membawa kepada panggilan untuk memisahkan syarikat-syarikat ini oleh kerajaan Amerika Syarikat sendiri.


5. Maklumat Peribadi Kini Menjadi Tatapan Umum

Tahun 2022 juga merupakan tahun di mana sekuriti digital sudah menjadi masalah yang membelenggu segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja dari segi data syarikat, tetapi juga dalam sektor kerajaan.

Hacker Pengodam

Ransomware, ataupun perisian tebusan kembali menjadi cara utama untuk para penggodam mendapatkan wang daripada syarikat-syarikat kecil dan besar, khususnya yang mempunyai banyak maklumat rahsia yang tidak sepatutnya didedahkan kepada orang ramai.

Salah satu contoh terbesar serangan perisian hasad pada tahun ini berkait dengan Air Asia yang mengesahkan bahawa pangkalan data mereka telah digodam dengan perisian hasad yang mendedahkan butiran pekerja dan pelanggan syarikat tersebut/

Pihak kerajaan, melalui Kementerian Komunikasi Digital yang baru telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini, dan nampaknya sedang bekerjasama dengan Capital A (ibu syarikat Air Asia) untuk memastikan bahawa data pengguna dan isu ketirisan data ini tidak berulang lagi.

Isu ketirisan data Malaysia yang terbesar setakat ini mungkin adalah insiden beberapa bulan lepas di mana kami melaporkan bahawa butiran peribadi lebih 20 juta rakyat Malaysia telah dijual di arena web gelap, malah sejumlah daripadanya diperlihatkan untuk tatapan umum sebelum mana-mana individu dengan niat jahat membuat keputusan untuk membelinya.

Walaupun ia dikatakan data yang tertiris tersebut didapati melalui Jabatan Pendaftaran Negara, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengatakan bahawa data tersebut mungkin dikumpul dari sejumlah agensi kerajaan yang lain dan tidak daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Walaupun begitu, beliau juga mengesahkan bahawa API MyIdentity, yang disyaki digunakan untuk mencuri data tersebut telah dihadkan penggunaannya kepada 44 agensi kerajaan sahaja untuk mengurangkan kebarangkalian API ini disalahgunakan.


6.Apple Akhirnya Dipaksa Menggunakan USB-C Pada iPhone

Banyak ura-ura telah diperkatakan tahun ini mengenai bagaimana Apple akan akhirnya menggunakan palam USB Type-C untuk palam pengecasan peranti iPhone mereka.

Sehingga kini, kedegilan Apple untuk tidak menukar palam pengecasan Lightning kepada USB Type-C masih lagi satu tanda tanya yang tidak dapat terjawab. Peranti-peranti mercu mereka yang lain seperti siri iPad dan MacBook rata-rata telah berubah kepada USB Type-C sejak beberapa tahun yang lalu tanpa masalah.

Kesatuan Eropah baru-baru ini telah mengeluarkan mandat bahawa menjelang tahun 2024, semua peranti elektronik yang dijual di rantau tersebut harus menggunakan palam USB Type-C sebagai palam pengecasan. Ini bermakna bahawa aksesori-aksesori seperti fon kepala dan fon telinga nirwayar juga akan perlu menggunakan palam tersebut.

Ini dilihat akan memakan kedalam keuntungan Apple dari segi penjualan aksesori seperti kabel pengecasan, kerana Apple sebelum ini melesenkan label “Made For iPhone” ataupun MFi untuk syarikat-syarikat pembuat aksesori yang mahu menjual kabel Lightning yang disahihkan untuk penggunaan bersama-sama produk Apple.

Peralihan kepada USB Type-C juga bermakna bahawa sekurang-kurangnya untuk peranti iPhone Pro dan Pro Max, ia akan hadir dengan kadar kelajuan penghantaran data yang lebih tinggi untuk tujuan mengalihkan video-video ProRes dengan lebih cepat.

Apple mungkin dilihat sebagai mangsa terbesar perubahan ini, mandat penggunaan palam pengecasan USB Type-C ini adalah untuk semua syarikat yang mengeluarkan produk elektronik. Menjelang 2024 nanti, ia dijangka bahawa palam-palam kuno seperti USB Type-B, mini-USB dan micro-USB juga akan ditamatkan penggunaannya, terutamanya di rantau Eropah.


7.Perkhidmatan Kecerdasan Buatan Kreatif Semakin Popular – Menaikkan Isu Etika

Jika konsep kecerdasan buatan sebelum ini diperlihatkan melalui robot haiwan, robot pemain catur dan sebagainya, pada tahun ini, populariti kecerdasan buatan telah meningkat dengan mendadak melalui perkhidmatan-perkhidmatan seni digital yang semakin miripi lukisan yang dilakar oleh seorang pelukis.

Pada tahun 2021, OpenAI telah memperkenalkan DALL-E, sebuah perkhidmatan kecerdasan buatan atas talian yang membolehkan pengguna untuk “mencipta” kandungan seni lukisan menggunakan perkataan yang ditaip di dalam kotak carian.

Lukisan yang diperlihatkan secara lazimnya agak buruk dan sangat kelakar apabila dilihat, dan digunakan untuk tujuan “meme”sahaja. Tetapi semua itu berubah pada tahun ini apabila aplikasi kecerdasan buatan baru seperti Stable Diffusion, Midjourney untuk mencipta kandungan kreatif dengan mudah dan cepat.

ChatGPT, satu lagi “perkhidmatan” kecerdasan buatan oleh OpenAI ialah sebuah chat bot yang telah mempelajari cara-cara untuk untuk menjawab soalan dan juga memberi maklumat kepada pengguna.

Malah, diantara kebolehannya ialah untuk menulis cerpen menggunakan kata kunci yang ringkas sahaja, dan ini mendatangkan risau mengenai etika penggunaan kecerdasan buatan untuk melepaskan semua tanggungjawab tentang apa yang disiarkan di ruangan internet.

Bukan itu sahaja, artis “kecerdasan buatan” ini juga dilihat mencuri kandungan artis internet sebagai “sumber pembelajaran” mereka, dan ini menyebabkan cara lukisan artis-artis ini telah dicuri oleh mesin-mesin tersebut.

Perbualan mengenai “etika” mengenai kecerdasan buatan sudahpun bermula, dan ia dijangka bahawa peperangan awal manusia menentang robot adalah mengenai perkara-perkara seperti seni dan penulisan.


8. Rusia Dikenakan Sekatan Ekonomi Kerana Peperangan Dengan Ukraine

Beberapa tahun selepas menakluki kawasan Crimea, Rusia dilihat bertindak memulakan peperangan untuk menakluki keseluruhan Ukraine pula. Oleh kerana ini, keseluruhan dunia, termasuklah syarikat-syarikat konglomerat terkemuka semuanya mula mengeluarkan dan menarik semula jenama-jenama mereka dari negara tersebut.

Sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia bukan sahaja setakat penghentian perdagangan di antara negara. Jenama-jenama teknologi seperti Intel, AMD, NVIDIA, ASUS, HP dan sebagainya tidak lagi menjual produk-produk mereka di negara tersebut, malah syarikat-syarikat pembuat cip di Rusia juga tidak lagi boleh menggunakan khidmat TSMC untuk mengilangkan cip-cip mereka.

Malah, penggunaan perkhidmatan perbankan antarabangsa juga dibekukan dan ramai pencipta kandungan yang menggunakan khidmat seperti SWIFT, Stripe, PayPal dan sebagainya tidak lagi boleh mengalirkan wang ke akaun-akaun bank tempatan mereka.

Satu isu yang dilihat masih membelenggu dunia teknologi ketika ini ialah bekalan gas neon yang diperlukan untuk pengeluaran cip semikonduktor global. Ukraine dilihat sebagai pembekal utama gas tersebut, dengan 45 peratus daripada penggunaan global berasal dari negara tersebut.

Walaupun bekalan sedia ada dikatakan mencukupi untuk masa terdekat ini, jangka hayat peperangan yang lama akan menyebabkan mudarat bukan sahaja kepada Ukraine, tetapi juga negara-negara serantau dan juga pasaran teknologi global.


9. Inovasi Paparan Akhirnya Memberi Nafas Baru Kepada Industri Peranti

Apabila peranti-peranti dengan skrin boleh lipat diperkenalkan pada tahun 2019 melalui Huawei Mate X dan juga Samsung Galaxy Fold, ia dilihat sebagai sebuah konsep yang cukup menarik kerana pengguna akhirnya dapat melihat sebuah konsep rekaan yang bukan sahaja berbentuk petak yang membosankan.

Akan tetapi, walaupun peranti-peranti boleh-lipat ini dilihat sebagai sebuah konsep yang sangat menarik, pada masa tersebut ia dilihat bahawa kekurangan paling ketara pada peranti-peranti ini adalah pada bahagian skrin yang bukan sahaja memperlihatkan kesan lipatan yang jelas, tetapi juga kerisauan kepada jangka-hayat fizikal selepas ia dibuka dan ditutup beratus ataupun beribu kali.

Syarikat-syarikat seperti Huawei, Samsung, BOE, TCL, Royole dan sebagainya telah membangunkan skrin-skrin boleh lipat yang lebih canggih dan hebat daripada tahun sebelumnya, dan telah memperkenalkan peranti-peranti baru yang menggunakannya.

Samsung khususnya dilihat telah melancarkan tiga lagi peranti pintar boleh lipat untuk bertahun-tahun kemudian, dimana mereka mengatakan bahawa mereka mahu menjadikan peranti boleh-lipat seperti ini untuk memasuki arus perdana.

Siri peranti Samsung Galaxy Z Fold dan Galaxy Z Flip mereka masih lagi dilihat sebagai peranti kelas premium, tetapi dengan kadar pengeluaran sekali setiap tahun, Samsung dilihat benar-benar serius mahu menjadikan peranti ini lebih mudah untuk didapati.

Selain daripada Samsung, OPPO juga dilihat memasuki arena ini dengan siri peranti OPPO N mereka, yang kini telah memasuki generasi kedua dengan penawaran OPPO N2 dan juga peranti jenis “Flip” mereka yang pertama dengan OPPO N2 Flip.

ASUS dan Lenovo juga memperkenalkan peranti boleh lipat mereka sendiri melalui Project Precog dan ASUS ZenBook 17 Fold OLED dan Lenovo ThinkPad X1 Fold yang kini juga sudah memasuki generasi kedua.

LG juga telah memperkenalkan televisyen boleh gulung mereka, LG Signature Rollable OLED TV R yang juga memperlihatkan pengenalan generasi kedua pada awal tahun ini.

Kemajuan dalam teknologi paparan boleh-lipat/gulung ini sudahpun mula diterima dengan lebih meluas bukan sahaja oleh para pengguna, tetapi jenama-jenama elektronik yang mahu memperlihatkan penawaran baru kepada para pelanggan mereka.

Ia juga diharap bahawa dengan penawaran-penawaran ini, harga jualan untuk peranti-peranti ini juga akan menjadi lebih mampu milik tidak lama lagi.


10. Gabungan Gergasi Teknologi – Monopoli

2022 juga merupakan tahun di mana ia dapat diperlihatkan bahawa sejumlah syarikat mahu cuba untuk bergabung untuk menjadi konglomerat gergasi yang dapat menandingi jenama-jenama seperti Apple, Google, Intel dan sebagainya.

NVIDIA ARM

Pada tahun 2020, NVIDIA telah menyatakan hasrat untuk mengambil-alih pegangan syarikat teknologi cip pemprosesan ARM daripada Softbank dengan penawaran setinggi $40 bilion. Pengumuman ini dilihat sangat mengejutkan kerana NVIDIA dilihat mahu menakluki pasaran cip pemprosesan mudah-alih juga, dan pengambil-alihan ini adalah jalan yang termudah untuk melakukannya.

Walaupun begitu, tentangan daripada pelbagai syarikat pembuat cip pemprosesan dan juga kerajaan-kerajaan yang terlibat dengan Arm memaksa NVIDIA untuk membatalkan hasrat tersebut mengambil-alih Arm.

Isu seperti monopoli pasaran dan juga pemilikan teknologi yang boleh dimanfaatkan NVIDIA menyebabkan pihak Federal Trade Commission menyaman NVIDIA, manakala Office of Fair Trading (OFT) juga menghalang pengambilalihan tersebut kerana tidak mahu teknologi Arm berpindah keluar dari United Kingdom atas alasan keselamatan dan kestabilan industri dan negara.

Bukan itu sahaja, NVIDIA juga perlu membayar Arm sebanyak $1 bilion kerana percubaan untuk melakukan pengambilalihan ini.

Satu lagi gabungan yang hangat diperkatakan pada tahun ini ialah mengenai Microsoft dan Activision-Blizzard, di mana Microsoft mahu menambahkan permainan-permainan komputer ke senarai Xbox Game Pass tanpa perlu merisaukan had masa.

Terdapat segelintir yang mengatakan bahawa pengambilalihan ini adalah sesuatu yang sangat sesuai kerana Activision-Blizzard sebelum ini terikat dengan isu gangguan seksual yang agak serius, dan dengan Microsoft mengepalai syarikat tersebut.

Tetapi FTC sekali lagi menyekat pengambil-alihan ini kerana kebarangkalian bahawa Activision-Blizzard tidak akan membenarkan untuk permainan-permainan mereka untuk dibangunkan pada konsol lain dan kerisauan mengenai isu monopoli ke atas industri permainan video dan komputer.

Di Malaysia pula, gabungan Celcom dan Digi akhirnya selesai dengan pengenalan logo baru syarikat gabungan ini. Walaupun ia dilaporkan bahawa tiada perubahan besar akan berlaku dari segi operasi, Celcom Digi Sdn Bhd kini ialah penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar di Malaysia.

Akan tetapi, ia dijangka bahawa Yoodo, anak syarikat telekomunikasi di bawah Celcom dijangka akan dijual ataupun ditutup selepas 18 bulan gabungan Celcom dan Digi dimeterai.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd