Cari @ Amanz

Kita akan secara perlahan-lahan digantikan oleh robot. Penggunaannya semakin meluas di sektor perkilangan tetapi tahun ia mula memasuki industri yang suatu ketika dahulu dilihat hanya memerlukan tenaga kerja manusia. Apakah yang berlaku tahun ini? Ini senarai 10 berita teknologi robotik paling menarik sepanjang 2022.


1. Wayang Kulit Animatronik Dihasilkan Di Malaysia

Seni wayang kulit semakin dilupakan kerana wujud medium hiburan yang lebih moden dan interaktif di Malaysia. Jumlah tok dalang turut semakin berkurangan kerana sukarnya mencari golongan pelapis muda. Menyedari hakikat ini Ahnaf Hakimi, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dan Sarjana Instruksi Multimedia Universiti Sains Malaysia (USM) telah membangunkan Wayang Kulit Animatronik.

Wayang Kulit Animatronik dibangunkan dalam masa setahun oleh beliau dengan kos mencecah RM30,000. Sistem servo dan robotik digunakan sebagai pengganti Tok Dalang manusia. Pergerakan watak wayang kulit yang turut dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D diselarikan dengan audio dan sistem lampu di pentas. Penggunaan robot sebagai ganti penggiat seni bukan penyelesaian yang ideal tetapi menurut Ahnaf Hakimi, beliau berharap ia dapat menarik minat golongan muda untuk mencubanya sendiri selepas menonton versi animatronik.


2. Robot Menggantikan Pekerja Kedai Serbaneka Di Jepun

Penggunaan robot di kilang pada skala besar telah dipelopori oleh Jepun lebih empat dekad yang lalu. Produktiviti pengilangan terus mencanak naik membolehkan Jepun negara kedua paling maju di dunia dalam masa hanya dua generasi. Robot sebagai pengganti tugas manusia biasanya adalah untuk tugas berbahaya tetapi di Jepun sekali lagi teknologi ini dipelopori pula untuk industri baharu ialah di kedai serbaneka.

Robot RX SCARA ditawarkan oleh Telexistence boleh menyusun botol dan juga air tin, dengan kadar sekitar 1000 unit pada setiap hari. Salah satu kedai serbaneka terkemuka, iaitu Family Mart turut akan menggunakan teknologi ini pada kedai mereka dalam ujian rintis. Dengan kekurangan tenaga kerja manusia, kita mungkin akan terus melihat robot menggantikan secara berperingkat sejumlah tugasan berulang, sekaligus mengurangkan kos operasi


3. PETRONAS Menggunakan Robot Di Fasiliti O&G

Jika Jepun menggunakan robot di kedai serbaneka, Malaysia menggunakan robot di fasiliti petroleum dan gas (O&G). PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB) mengumumkan kerjasama dengan Waygate Technologies Robotics AG (WTR) untuk mengkomersialkan robot pemeriksaan untuk keperluan O&G.

Robot yang berasaskan sistem robot BIKE yang dibangunkan oleh WTR memperbaiki pengurusan data dan pemeriksaan kawasan yang sukar diakses di fasiliti O&G pesisir laut serta darat. Antara teknologi yang digunakan adalah kemampuan membersih, sistem ultrasonik tambahan dan pemeriksaan arus pusar. Di bawah perjanjian komersial ini, PETRONAS akan menggunakan robot BIKE di fasiliti mereka sementara WTR akan menawarkan latihan komprehensif dan perkhidmatan sokongan.


4. Tesla Dan Xiaomi Membangunkan Robot Berbentuk Manusia

Tesla Bots

Xiaomi berjinak-jinak dengan dunia robotik dengan menghasilkan Cyberdog tahun lalu. Tahun ini mereka tampil pula dengan robot CyberOne yang berbentuk seakan manusia. CyberOne berkemampuan berjalan sendiri serta boleh melakukan perbualan dengan manusia sama seperti CyberDog. Teknologi yang digunakan pada CyberOne menjadi batu loncatan kepada teknologi yang kemudiannya digunakan pada telefon mercu dan kenderaan elektrik Xiaomi di masa hadapan.

Tesla kemudiannya memperlihatkan Tesla Bot pada Oktober lalu dengan sasaran untuk menggunakannya di kilang. Demo Tesla Bot mengangkat kotak diperlihatkan tetapi aneh sekali di acara pelancaran robot berbentuk manusia ini tidak mampu berjalan dengan lancar seperti CyberOne. Elon Musk masih belum memberikan tarikh untuk pengenalan rasminya buat masa ini tetapi ia mungkin dijual pada harga $20,000 setiap satu.


5. Hospital Kuala Lumpur Menyediakan Perkhidmatan Pembedahan Menggunakan Teknologi Robot

PETRONAS bukan satu-satunya syarikat yang menggunakan robot dalam situasi baharu di Malaysia. Hospital Kuala Lumpur mula menggunakan teknologi Robotic Surgery Assisted (ROSA) untuk pembedahan penggantian sendi lutut dan juga pinggul pesakit.

Pembedahan menggunakan robot ini telah dilaksanakan sejak Julai 2022 lepas, dan seramai 21 pesakit dengan masalah osteoarthritis telah melalui pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul ini. Penggunaan teknologi robot dikatakan memberikan kejituan sehingga 98% berbanding sebelum ini, yang mana hanya sekitar 95% menggunakan sistem navigasi komputer.


6. Arab Saudi Menghasilkan Robot Yang Boleh Menyampaikan Khutbah Dan Azan

Lima tahun lalu kami melaporkan robot Pepper telah digunakan di Jepun sebagai pengganti paderi yang membacakan doa ketika majlis pengebumian. Ramai merasakan penggunaannya tidak sesuai kerana perjalanan terakhir si mati sepatutnya diiringi oleh doa paderi manusia.

Tahun ini sebuah robot diperkenalkan di Arab Saudi yang boleh membaca Quran, memberikan pesanan, membaca khutbah dan juga azan melalui imam serta muazin. Maklumat penuh berkaitan dengannya tidak diketahui sama ada ia akan menyimpan sejumlah rakaman, atau ia akan berfungsi sebagai sebuah speaker mudah-alih kepada para jemaah. Teknologi robotik dan automasi mula digunakan di Masjid al-Haram sebagai langkah modenisasi bagi membuktikan teknologi moden selari dengan keperluan agama.


7. Robot Dengan Kulit Manusia Yang Hidup Dibangunkan Jepun

Dalam karya fiksyen Ghost in The Shell, Blade Runner dan Aline, android sukar dibezakan dengan manusia. Tetapi fiksyen kini semakin hampir menjadi fakta selepas kejayaan penyelidik dari University of Tokyo menghasilkan robot dengan kulit manusia yang hidup.

Pasukan dari University of Tokyo menghasilkan jari untuk sebuah robot. Bahagian luar jari ini kemudiannya disalut oleh kulit hidup yang tumbuh daripada sel kulit manusia sebenar. Apabila jari robot dilentur, kulit buatan makmal ini bergerak seperti kulit pada jari manusia sebenar. Sekiranya kulit ini koyak, lapisan kolagen boleh digunakan untuk menampalnya seperti kulit hidup.

Tetapi robot dengan kulit manusia masih lagi belum sedia menjadi realiti kerana kulit buatan makmal ini memerlukan bekalan nutrien berterusan untuk hidup. Saintis dari University of Nokia kini akan cuba memberikannya kuku, saraf dan folikel bulu roma supaya ia boleh menyerupai kulit manusia sebenar.


8. Eksorangka Atalante X Membolehkan Individu Lumpuh Kembali Berjalan

Dalam filem The Avengers, Colonel James Rhodes lumpuh selepas ditembak oleh Vision. Tony Stark membina eksorangka pada bahagian pinggang bagi membolehkan Rhodes kembali berjalan. AtalanteX sebuah eksorangka yang dibangunkan oleh firma Wanderfraft dari Perancis memberikan kemampuan yang sama di dunia sebenar.

Individu lumpuh memakai Atalante X dengan diikat pada bahagian dada, paha dan betis. Dengan bantuan 12 motor elektrik pergerakan pemakai akan dibantu bagi mengurangkan beban. Ia menggunakan sepenuhnya pek bateri yang boleh ditanggalkan untuk pengecasan lebih pantas. Atalante X kini sedang diuji di 10 pusat rehabilitasi dengan 286 pesakit sudah mencubanya bagi mengembalikan mobiliti atau membantu mereka belajar semula berjalan selepas kemalangan.


9. Dyson Sedang Membangunkan Robot Untuk Digunakan Dalam Rumah

Dyson Robot

Dyson sedia membangunkan sejumlah peralatan elektronik yang mengintegrasikan beberapa teknologi asas robotik. Pada Mei lalu, Dyson secara rasminya mengatakan mereka sedia menceburi arena robotik, dan sedang membangunkan robot untuk digunakan dalam membantu tugasan dalam rumah.

Dyson memperlihatkan bagaimana ia boleh berinteraksi, termasuk mengambil barangan, meletakkan barang, melakukan penghantaran, di samping dilengkapi sejumlah sensor dalam mengenal-pasti persekitaran. Syarikat sedang mengambil sejumlah besar jurutera dalam pembangunan robotik ini dengan terdapat makmal kajian dan pembangunan di Johor.


10. Pandemik Memacu Penggunaan Robot Di Kilang Dengan 2021 Mencatatkan Pemasangan Tertinggi

Menurut laporan terkini International Federation of Robotics (IFR), tahun 2021 mencatatkan jumlah pemasangan robot industri tertinggi dalam sejarah dengan penambahan 517,000 unit berbanding 394,000 unit pada tahun 2020.

Secara keseluruhan kini terdapat 3.5 juta robot industri digunakan dalam sektor pengilangan yang juga merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah. Dalam masa enam tahun sahaja, jumlah pemasangan robot industri meningkat sekali ganda.

Benua Asia mencatatkan 74% pemasangan keseluruhan robot pada tahun 2021 dengan majoritinya berlaku di China – yang pastinya tidak mengejutkan kerana pandemik menunjukkan bagaimana apabila pekerja dikuarantin secara pukal pengeluaran kilang terjejas teruk. Ini masalah yang tidak berlaku dengan pekerja robot.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd