Tahun 2022 sudah tinggal hanya saki baki tompok-tompok di padang pasir ketika anda membaca artikel ini. Seperti tradisi di Amanz di penghujung tahun, sebuah rangkuman akan ditulis mengenai tahun yang masih teruk dihentam oleh pandemik. Di bawah ialah 10 perkara paling mengecewakan kami di Amanz tahun ini yang diharap tidak berulang kembali pada tahun 2022.
1.Harga Jualan Peranti Semakin Meningkat Di Malaysia
Harga jualan peranti-peranti elektronik di Malaysia meningkat tahun ini kerana Isu rangkaian bekalan, pandemik, kilang ditutup dan nilai Ringgit yang menjunam. Xiaomi yang terkenal dengan peranti yang dijual pada harga yang mampu milik juga terkesan dengan beberapa model baharu jauh lebih mahal berbanding model tahun 2021.
Lebih mengejutkan terdapat beberapa model lama diberikan penyelarasan harga lebih mahal pada penghujung tahun. Ini seingat kami tidak pernah berlaku dalam pasaran telefon pintar di Malaysia sebelum ini. Nilai Ringgit semakin baik sejak beberapa minggu kebelakangan ini, diharap ini akan membantu mengurangkan harga jualan peranti pintar pada tahun 2023.
2. Media Sosial Gagal Menghalang Penyebaran Berita Palsu Berbahaya
Pada tahun 2021 Facebook Paper menjadi topik tular yang meniriskan pelbagai kajian dalaman dilakukan oleh Meta yang menunjukkan platform mereka memberikan kesan negatif kepada masyarakat, menjadi platform utama penyebaran berita palsu yang boleh merosakkan masyarakat.
Facebook Papers ditiriskan oleh Frances Haugen yang merupakan bekas pengurus produk di Facebook. Akibat daripada Facebook Paper, Meta segera mengetatkan sistem penapisan kandungan mereka dengan usaha dipertingkatkan untuk menghalang kuasa luar mencampuri urusan negara Amerika Syarikat
Tahun ini giliran TikTok menjadi platform dengan masalah yang sama. Penyebaran video berunsur provokatif semasa dan selepas PRU15 menjadi bualan ramai. Walaupun video telah dipadam, impak kegagalan TikTok menapis kandung seperti ini lebih awal amatlah dikesali. TikTok dipanggil memberikan penjelasan kepada SKMM dan Kementerian Komunikasi Digital dengan mereka memberikan komitmen untuk mengetatkan sistem penapisan. Adakah mereka akan berubah seperti Facebook? Hanya masa mampu memberikan jawapan.
3. 5G Dah Ada, 4G Pula Sengsara
Secara rasminya rangkaian 5G dilancarkan di Malaysia pada November yang lalu selepas menjalani tempoh ujian menerusi syarikat telekomunikasi Yes. Kini Digi, Celcom, TM dan U Mobile menawarkan beberapa pakej mereka secara berperingkat ke seluruh Malaysia. Tinggal Maxis sahaja yang masih melakukan ujian di kawasan tertentu sahaja. Telko lain sudah berjalan mereka masih bertatih.
Kami akur dengan realiti bahawa 5G masih di peringkat awal dan akan mengambil masa beberapa tahun sebelum boleh diakses di setiap pelosok Malaysia. Ini berlaku semasa pengenalan 3G dan 4G sebelum ini. Yang tidak boleh kami maafkan ialah sejak 5G diperkenalkan dan 3G pula telah dimatikan, rangkaian 4G di Malaysia turut menjunam ke bawah kualitinya seperti terjunan Dato Pandelela Rinong.
Kawasan yang dahulunya boleh mendapat lima palang 4G LTE yang stabil kini boleh memaparkan dua palang sahaja. Kawasan yang dahulunya hanya dua palang 4G LTE pula, kini hanya menawarkan internet Edge. Bayangkan Edge di tahun 2022. Amat mengecewakan kerana kini sukar sekali hidup tanpa rangkaian internet yang pantas. Hendak membayar abang kedai burger tepi jalan menggunakan DuitNow pun tidak lepas!
4. Terma Teknologi Sekadar Ajinamoto Menjual Projek
Revolusi Industri 4.0, rantaian blok, kripto, dataraya, kecerdasan buatan, swapandu, Super App, pembelajaran mesin, pengkomputeran pinggir dan NFT adalah terma-terma yang kerap digunakan untuk pelbagai projek teknologi sepanjang 2022. Tetapi selepas kami melihat sendiri projek yang diumumkan, 90% daripadanya langsung tidak ada kaitan dengan terma-terma tadi.
Jual NFT untuk mengumpul dana untuk menghasilkan filem dengan harapan ia akan mempunyai nilai tinggi di masa hadapan. Tak perlu langsung NFT di sini sedangkan pengumpulan dana biayasama seperti yang dilakukan untuk filem Pendatang tahun ini. Maklumat vaksinasi dalam rantaian blok? Lagi idea tak guna sekadar buzzword untuk mendapatkan perhatian. Kecerdasan buatan juga satu lagi teknologi yang disalahgunakan pada sistem kamera telefon pintar.
Penggunaan terma teknologi baharu mungkin boleh membohongi Pak Menteri yang sudah berusia tetapi kami di dunia teknologi sudah bosan melihat ia disalahguna seperti ajinomoto untuk membuatkan projek nampak lebih sedap.
5. Android 13 Tidak Membawakan Banyak Ciri Baharu Menarik
Android 13 tahun ini tidak membawakan ciri-ciri baharu yang begitu menarik tahun ini. Adakah kerana Android sudah semakin matang dan lengkap sehingga tiada ciri baharu boleh diperkenalkan atau Google sudah kehilangan idea. Kekurangan ciri baharu pada Android tahun ini semakin ketara apabila melihat iOS 16 yang melakukan banyak perubahan.
Tetapi kami harus aku ciri-ciri baharu pada iOS 16 majoritinya sudahpun wujud pada Android sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu. Baharu pada iPhone tetapi tidak pada Android. Sebagai pemilik peranti Android, jurang teknologi yang sebesar gaung dengan iOS kini sudah semakin mengecil. Jika keunikan teknologi Android tidak mampu dikekalkan, mungkin semakin ramai yang akan berpindah ke iOS dalam masa terdekat.
6. Penggunaan Kamera Makro 2MP
Kamera utama pada peranti Android boleh meningkat sehingga lima termasuk sensor 3D ToF. Tetapi yang mengecewakan kami di Amanz ialah pada peranti kelas pertengahan rendah, kerap kali penggunaan tri-kamera adalah sekadar gimik murahan. Kami katakan murahan kerana sensor ketiga untuk makro sering kali hanya sebesar 2MP. Kualiti imej yang ditangkap oleh sensor 2MP adalah tidak memuaskan langsung mirip kamera peranti 12 tahun yang lalu.
Di Amanz kami telahpun menulis sebuah artikel memberikan sebab mengapa sensor 2MP yang digunakan adalah gimik yang merugikan pengguna. Ikut sahaja langkah Apple yang menawarkan lesan sudut lebar dan ultra sudut lebar sahaja pada model tidak Pro. Ia lebih daripada memadai tanpa membazir dengan sistem kamera yang lebih gimik daripada fungsi.
7. Industri Teknologi Membuang Pekerja Secara Pukal
Ketika pandemik keuntungan dikaut oleh syarikat teknologi kerana muncul permintaan untuk perkhidmatan atas talian yang lebih tinggi berbanding pra-pandemik. Pandemik kini semakin berakhir dan impaknya ialah syarikat teknologi kini mempunyai lambakan pekerja yang tidak lagi diperlukan. Keuntungan telah turun semula dan dalam beberapa situasi amat mendadak.
Google, Microsoft, Meta, Amazon, Twitter dan SEA Ltd adalah antara syarikat teknologi yang mengumumkan proses pengurangan tenaga kerja yang drastik bagi mengurangkan kos operasi syarikat.
8. Konsol Masih Sukar Dibeli Dua Tahun Selepas Dilancarkan
Sudah lebih dua tahun PlayStation 5 dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Konsol Xbox Series S dan Series X juga telah dipasarkan di Malaysia walaupun tidak secara rasmi lebih dua tahun. Kedua-duanya masih seakan kuda unicorn yang sukar untuk dibeli. Setiap kali Sony menawarkannya secara rasmi, pengguna perlu memasuki loteri nasib. Kalau untung dapatlah PS5 pada harga saranan. Tak untung PS5 harga mencekik darah sahaja pilihan yang ada.
Tidak pernah dalam sejarah konsol ia masih sukar dibeli oleh pengguna selepas dua tahun pelancaran. Sony mengatakan isu rantaian bekalan akan berakhir pada musim perayaan 2022 dengan pada tahun 2023 konsol akan lebih mudah dibeli. Kita hanya boleh melihat sama ada janji akan ditepati ataupun tidak.
9. Huawei Semakin Tertekan
Kami meletakkan nasib Huawei dalam senarai ini kerana hanya tiga tahun lalu mereka hampir memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia. Apple sudah berjaya dicantas cuma tinggal gergasi Korea perlu dilangkau untuk mencatatkan sejarah sebagai pengeluar dari China pertama menguasai pasaran telefon pintar dunia. Ini dilakukan bukan dengan menghasilkan peranti “cap ayam” tetapi siri P dan Mate yang penuh dengan inovasi serta kemampuan fotografi yang menakjubkan.
Ini dicapai juga dengan jualan peranti yang munasabah berbanding dua pesaing terbesar mereka. Di kalangan peminat teknologi, inovasi Huawei amat dinantikan saban tahun. Tetapi sekatan teknologi Amerika Syarikat menyebabkan Huawei pula seperti dicantas di bahagian lutut. Tiada lagi 5G, cip buatan sendiri, kerjasama dengan Leica dan sokongan Google Mobile Services secara rasmi. Kesemua ini menyebabkan peranti yang mereka tawarkan di Malaysia tidak lagi kompetitif.
Mengecewakan kerana Mate 50 Pro ialah peranti yang baik menurut ulasan kami tetapi sepatutnya lebih mantap yang tiada di atas dapat dikembalikan. Huawei ialah kes paling jelas betapa pentingnya kemerdekaan sebenar di zaman teknologi di abad ke-21. Jika ingin menjadi kuasa besar, pergantungan kepada teknologi luar harus dihentikan segera.
10. Scam Atas Talian Berleluasa, Masih Ramai Menjadi Mangsa
Mengikut logik akal, dengan adanya Google proses mengesahkan pelan pelaburan atas talian dan mengenalpasti pelbagai jenis scam terkemuka sepatutnya boleh diakses di hujung jari. Tetapi sebaliknya berlaku dengan jumlah kes penipuan atas talian dalam bentuk pelaburan, mencari pasangan, peras ugut gambar lucah, akaun keldai dan kripto terus meningkat.
Kerajaan telahpun menggandakan usaha supaya bahawa penipuan seperti Macau Scam dan denda LHDN diuar-uarkan kepada orang ramai. Usaha nampaknya masih belum berhasil kerana saban minggu muncul laporan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit.
Kerajaan boleh berusaha tetapi rakyat turut perlu lebih bijak. Jika yang dijanjikan nampak macam terlalu bagus ia mungkin sebuah skim penipuan. Gunakanlah Google dengan sebaik mungkin kerana usaha tangga kejayaan daripada menjadi mangsa penipuan.
2022 bukanlah tahun annus horribilis jika dibandingkan dengan 2020 dan 2021. Kerisauan mengenai masa depan dan kematian akibat Covid-19 sudah berkurangan. Namun terdapat banyak ramalan 2023 akan menjadi tahun yang lebih mencabar lebih-lebih lagi dari segi ekonomi. Diharap kita boleh belajar dari kekecewaan tahun ini sebagai persediaan untuk 2023. Selamat tahan baru kepada semua pembaca Amanz.